JALAN MAKRIFAT
APABILA TUHAN MEMBUKAKAN BAGIMU JALAN UNTUK MAKRIFAT,
MAKA JANGAN HIRAUKAN TENTANG AMALMU YANG MASIH SEDIKIT
KERANA ALLAH S.W.T TIDAK MEMBUKA JALAN TADI
MELAINKAN DIA BERKEHENDAK MEMPERKENALKAN DIRI-NYA KEPADA KAMU.
Kalam-kalam Hikmat yang diuraikan terlebih dahulu mengajak kita merenung
secara mendalam tentang pengertian amal, Qadak dan Qadar,
tadbir dan ikhtiar, doa dan janji ALLAH S.W.T ,
yang semuanya itu mendidik rohani agar melihat kecilnya
apa yang datangnya daripada hamba dan
betapa besar pula apa yang dikurniakan oleh ALLAH S.W.T.
Rohani yang terdidik begini akan membentuk sikap beramal
tanpa melihat kepada amalan itu
sebaliknya melihat amalan itu sebagai kurniaan ALLAH S.W.T yang wajib disyukuri.
Orang yang terdidik seperti ini tidak lagi membuat tuntutan kepada ALLAH S.W.T
tetapi membuka hati nuraninya untuk menerima taufik dan hidayat
daripada ALLAH S.W.T.
Orang yang hatinya suci bersih akan menerima pancaran Nur Sir
dan mata hatinya akan melihat kepada hakikat bahawa ALLAH S.W.T,
Tuhan Yang Maha Mulia, Maha Suci dan Maha Tinggi
tidak mungkin ditemui dan dikenali kecuali jika
Dia mahu ditemui dan dikenali.
Tidak ada ilmu dan amal yang mampu menyampaikan seseorang kepada ALLAH S.W.T. Tidak ada jalan untuk mengenal ALLAH S.W.T. ALLAH S.W.T hanya dikenali
apabila Dia memperkenalkan ‘diri-Nya’.
Penemuan kepada hakikat bahawa
tidak ada jalan yang terhulur kepada gerbang makrifat
merupakan puncak yang dapat dicapai oleh ilmu.
Ilmu tidak mampu pergi lebih jauh dari itu.
Apabila mengetahui dan mengakui bahawa
tidak ada jalan atau tangga yang dapat mencapai ALLAH S.W.T
maka seseorang itu tidak lagi bersandar kepada ilmu dan amalnya,
apa lagi kepada ilmu dan amal orang lain.
Bila sampai di sini seseorang itu tidak ada pilihan lagi
melainkan menyerah sepenuhnya kepada ALLAH S.W.T.
Bukan senang mahu membulatkan hati untuk menyerah bulat-bulat kepada ALLAH S.W.T.
Ada orang yang mengetuk pintu gerbang makrifat dengan doanya.
Jika pintu itu tidak terbuka maka semangatnya akan menurun
hingga boleh membawa kepada berputus asa.
Ada pula orang yang berpegang dengan janji ALLAH S.W.T bahawa
Dia akan membuka jalan-Nya kepada hamba-Nya yang berjuang pada jalan-Nya.
Kuatlah dia beramal agar dia lebih layak untuk menerima kurniaan ALLAH S.W.T sebagaimana janji-Nya.
Dia menggunakan kekuatan amalannya untuk mengetuk pintu gerbang makrifat.
Bila pintu tersebut tidak terbuka juga maka dia akan berasa ragu-ragu.
Dalam perjalanan mencari makrifat seseorang
tidak terlepas daripada kemungkinan menjadi ragu-ragu,
lemah semangat dan berputus asa
jika dia masih bersandar kepada sesuatu selain ALLAH S.W.T.
Hamba tidak ada pilihan kecuali berserah kepada ALLAH S.W.T,
hanya Dia yang memiliki kuasa Mutlak dalam menentukan
siapakah antara hamba-hamba-Nya yang layak mengenali Diri-Nya.
Ilmu dan amal hanya digunakan untuk membentuk hati
yang berserah diri kepada ALLAH S.W.T.
Aslim atau menyerah diri kepada ALLAH S.W.T adalah
perhentian di hadapan pintu gerbang makrifat.
Hanya para hamba yang sampai di perhentian aslim ini
yang berkemungkinan menerima kurniaan makrifat.
ALLAH S.W.T menyampaikan hamba-Nya di sini adalah tanda bahawa
si hamba tersebut dipersiapkan untuk menemui-Nya.
Aslim adalah makam berhampiran dengan ALLAH S.W.T.
Sesiapa yang sampai kepada makam ini
haruslah terus membenamkan dirinya ke dalam lautan penyerahan
tanpa menghiraukan banyak atau sedikit ilmu dan amal yang dimilikinya.
Sekiranya ALLAH S.W.T kehendaki dari makam inilah hamba diangkat ke Hadrat-Nya.
Jalan menuju perhentian aslim iaitu
ke pintu gerbang makrifat secara umumnya terbahagi kepada dua.
Jalan pertama dinamakan jalan orang yang mencari dan;
jalan kedua dinamakan jalan orang yang dicari.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar