Selasa, 08 Desember 2015

AKU AKUAN DAN KEAKUAN

Awal bermula ilmu itu telah sedia di dalam hidangan ini seumpama mutiara 
yang dikandung oleh ibuan, 
yakni tertutup dengan beberapa hijab yang zhulumah 
maka tiada mengetahui ia daripada segala orang yang awam 
melainkan yang dapat mengetahui bagaimana yang tersebut itu ialah orang yang alim billah, yakni orang yang mengetahui Zat-Nya, Sifat-Nya dan Asma-Nya dan Af’al-Nya 
dengan jalan mendapat khasyaf dari Rabbil a'lamin.

Adapun dizahir akan ia kerana hendak menunjuki akan adanya khazanah tasawuf sufiyah bertoriqah yang diakhir zaman ini diangkari oleh kaum cerdik pandai islam sendiri akan ini difitnah orang-orang bertoriqah itu bidaah lagi sesat adanya. 
Ketahui oleh mu bahawa orang bertoriqah haq itu 
amat menjaga adab akhlak syariatan amalan jasaddiyah. 

Yang lima tetap ia lima dan yang enam tetap ia juga enam 
dan ihsan itu rahsia ubudiyah kepada Tuhan, 
sebagaimana Jibril a.s bertemu Rasullullah shalallahu alaihi wassalam 
bertemu empat mata dan bertemu dua lutut bertanyakan 
apa itu islam apa itu iman dan apa itu ihsan.

Bermula Nur itu dua. 
Satu Nur pada khariz dan kedua Nur pada zihin. 
Pada ibarat sahaja bukan ianya pada makna dan makna Nur itu satu jua adanya. 
Yakni satu Nur yang nyata bagi diri kamu itu ghaib ia 
dengan segala asma dan satu Nur yang nyata bagi diri kamu bekasnya 
daripada langit dan bumi, syurga dan neraka.

Maka Nur yang awal itu maujud pada khariz dan Nur yang kedua itu maujud pada zihin, murad dengan bekasnya itu bagaimana kenyataan dalam sanubari itu atau pun sebagainya. Murad dengan Nur itu suci dan tahkid dan tetap barang itu adanya dan terangnya ada.

Maka di sabdanya Nabi Rasullullah shalallahu alaihi wassalam.

Mafhumnya bahwasanya di dalam jasad Anak Adam ada segumpal daging, 
apabila baik ia nescaya baik sekelian badan dan 
apabila binasa ia nescaya binasa sekelian badan dan kata Imam Ghazali rahmatullahi taala. 

Bahawasanya telah nyata dengan hadith Nabi Rasullullah shalallahu alaihi wassalam ini, bahawsanya asal kemuliaan manusia itu adalah perkerjaan ihwal hati. 
Maka adapun hati itu seperti raja yang diikuti di dalam alam jasad itu. 
Dan segala anggota yang zahir yakni lain daripada hati itu tenteranya dan 
rakyatnya yang mengikuti akan dia. 
Yakni hati itu seperti raja dan badan itu seperti negeri tempat kerajaan 
dan segala anggota yang zahir itu seperti tenteranya dan rakyatnya, 
murad dengan anggota yang zahir itu iaitu 
seperti mata dan hidung dan teliga dan lidah dan tangan dan faraj dan perut dan kaki.

Syahadan bermula Lafaz Qolbi dan Lafaz Ruh dan Lafaz Nafas dan Lafaz Akal itu 
sebab inilah menyatakan Imam Ghazali Rahmatullahi Taala dengan katanya

Yakni mengenal hati dan makna ruh dan makna nafas dan makna akal. 
Adapun Lafaz Qolbi yakni hati iaitu di ithalakkan (semata-mata) bagi dua makna.

Ada pun makna pertama ianya segenggam daging, 
rupanya seperti buah sanubari yang ditaruh letak dalam pihak kiri pada dada 
dan di dalam bathin itu berlubang tempat diam darah yang hitam iaitu 
tempat terbit Ruh dan tempat keluarnya. 
Dan daging yang dinamakan hati yang di atas rupa buah sanubari itu 
ada pula baginya khayal angan-angan, haiwan binatang, syaitan dan iblis 
bagi nafsu orang-orang yang mati hati.

Maka ada pun ertinya makna yang kedua itu ianya Latiful Rabbaniah Ruhaniah 
yakni jisim yang halus yang dibangsakan kepada Tuhannya, 
ya itulah Haqiqat Ruh manusia seperti friman Allah Taala.

Mafhum ertinya katakanlah oleh mu Ya Muhammad, 
bermula Ruh itu perbuatan Tuhanku dan tidak mengetahui akan rahsianya 
melainkan orang yang sedikit. 

Adalah baginya berhubung dengan daging yang bernama hati sanubari 
dan adalah hati yang bernama Latiful Rabbaniah iaitu 
yang mengetahui akan Allah Taala yang mendapat ia 
bagi barang yang tiada mendapat akan dia oleh khayal dan waham 
maka ada pun hati yang bernama Latifatul Rabbaniah ia itulah Hakikat Insaniyah 
dan yang di Qhitab (ditentukan) oleh Allah Taala di dalam Alam Ruh dengan firman-Nya Alastu Birabbikum dan di jawab Qolubala..

Dan adapun yang bernama Ruh Thobii namanya iaitu 
seperti asap yang tempat ternyatanya darah yang hitam yang di dalam bathin daging dan terhembur dengan segala urat-urat yang bergerak dan 
urat-urat yang memalu-malu di dalam segala suku-suku sekelian badan.

Yakni dimisalkan itu seperti cahaya pelita di dalam rumah 
kerana terang segala penjuru yang di dalam rumah itu ialah 
daripada cahaya pelita jua. 
Maka yang dikehendaki oleh segala ahli tholib dengan ithlak 
akan dia itu akan ruh Thobii hayat itu ruh dan dengan dialah hidup sekelian jasad ini dengan dia itu keluar masuk segala nafas dan 
dengan dialah kekal darah di dalam sekelian badan dan
apabila sabitnya keluar Ruh Thobii itu daripada badan 
maka ia itu matilah sekelian badan dan putuslah nafas dan hilanglah darahnya.

Adapun Latiful Rabbaniah yakni 
jisim yang halus maujud ia di dalam badan yang dibangsakan kepada perbuatan Tuhan iaitu makna Haqiqat Hati 
dan adapun Ruh dan Qolbi itu kedua-duanya itu 
atau bilangan dengan makna yang satu iaitu dinamakan Al-Latifatul Rabbaniah 
yang tersebut dahulu itu di datangkan kedua-duanya itu atas anuar yang satu 
pada hal tiada berbeza dan tiada berlainannya 
pada ibarat makna yang pertama jua dan kepada makna yang kedua itu 
kerana haqiqat Ruh itu tiada mengetahui akan dia melainkan Allah Taala 
ataupun orang yang diberi ilmu laduni namanya.

Maka segala nyawa manusia itu didalam Qolbi 
dan bermula Qolbi itu jantung yakni Rumah Qolbi 
dan bermula jantung itu Rumah Nyawa 
dan bermula Rumah Nyawa itu ialah Aku 
tetapi Aku itu didalam Qolbi seperti firman Allah
 "Wa fi am pusakum apala tubsirun" 
yakni "akan apa yang ada (Aku) didalam diri kamu tiadakah kamu lihat."

Dan bermula Qolbi itu yang bernama Ha, 
bermula yang bernama Ha itu hati, 
bermula hati itu ialah bernama Muhammad, 
maka nyawa kita dan sirr kita pada Muhammad dan 
adapun Hu itu ia sendiri tiada sekelian. 

Maka firman Allah Taala Kun Fayakun 
maka jadilah Nur Muhammad di dari sumber Nur Allah Taala 
setelah lengkap jadi Nur Muhammad 
maka Allah pun ghaib didalam Nur Muhammd 
maka Nur Muhammad pun menilik ia 
akan keelokan dirinya Lam Jalalah 
maka keluarlah nyawa sekelian alam ini.

Yakni terpancarlah kenyataan Nurnya itu 
diibarat seperti satu lampu yang sangat terang 
maka ditetap kepada lampu itu dengan satu raga itu 
dibalut dengan kertas bermacam-macam warnanya 
maka cahaya lampu itu terpancar kepada lubang raga 
yang dibalut dengan kertas kertas itu 
maka keluarlah dengan bermacam-macam warna 
daripada lubang raga itu
maka apabila koyak satu kertas pada lubang raga itu
 nescaya hilang cahaya kembali kepada lampunya.

Maka Nur Muhammad itu ghaib ia pada sekelian badan hamba Allah Taala yang mukmin. 

Yakni bersama dengan cahaya lampu yang terpancar 
kepada lubang raga yang tersebut dahulunya. 
Dan adapun hati, 
bermula ia itu sirr yang latif di taruhkan Allah Taala 
bagi manusia di dalam dada pada pihak limbungan kiri 
dan dibungkus dengan daging segumpal menempa kenderaannya 
dan tiap-tiap anggota jasad itu askar 
dan rakyat dan hati itu Raja baginya 
dan Raja itu dua sifat mukanya.

Satu muka menilik ia kepada dirinya dan satu muka menilik ia kepada Tuhannya. 

Maka muka yang awal itu menunding di dalam matanya segala rupa-rupa Akuan 
dan Mata Hati itu Akal dan selama lagi Akal itu dibawah Akuan 
maka Hati itu ditawannya hingga apabila hilangkan Akuan daripadanya 
maka hilanglah Akal yang bertambah itu dan zahirlah bekasnya yang ghaib 
dan bercahaya-cahayalah Nur Ma’rifat itu 
maka meniliklah ia dengan Nur Ma’rifat yang ditaruhkan didalam bathin itu 
iaitu mata yang halus (basyirah) 
dan telah datanglah yang Haq dan hilanglah yang Bathil.

Adapun Ha itu daripada hati 
dan jika sirr pun daripada hati jua 
kerana inilah dikata takala hati itu cenderung kepada segala keinginan dunia 
seperti makanan, lemak, manis atau qpun barang sebagainya, 
maka takala itu dinamai Nafsu. 
Dan apabila hati itu cenderung kepada segala kebaktian dunia dan akhirat 
maka ia ibadat namanya akan dia.

Dan takala hati itu berahi akan Allah Taala sah akan pertemuan Allah Taala, 
maka ketika itu Ruh dinamai akan dia dan 
takala hati itu memancarkan sesuatu maka ketika itu Akal namanya dan 
budi pun namanya dan takala hati itu mengetahui dirinya itu baik dan jahat dan
sakit ketika itu Hati Yang Halus namanya dan 
takala ia berkehendakkan kepada sesuatu Nafsu namanya dan 
takala ia mengetahui Hamba dan Tuhan 
ketika itu Qolbi Zarah namanya dan Cermin Ikhlas pun namanya juga. 

Dan Takala ia mengEsakan Allah Taala ketika itu Tauhidan namanya dan 
Perisai pun namanya juga dan 
takala ia melihat Kebesaran Tuhan Ma’rifat namanya dan Arash pun namanya juga dan takala ia sudah ketahui Zat dan Sifat dan Asma dan Af’al ketika itu Ummi Kitab namanya dan Nur pun namanya juga dan 
takala ia mengetahui Tuhan lengkapnya sekelian alam tetap dengan Zat dan Sifat iaitu sekelian alam kepada Tuhan Ma’rifat Nur namanya dan Ahadiah Takdir pun namanya juga dan takala ia tetap Ma’rifat dan Tauhidnya ketika itu Lufh namanya dan Qalamul U’lia pun namanya juga dan 
takala ia sudah ketahui didalam ghaib Qalamul Arash namanya dan Qalam Naps pun namanya juga dan 
takala ia tetap seketika didalam ghaib dengan hairan tercengang ketika itu Irradat namanya dan Qudrat pun namanya dan Rahsia pun namanya. 

Takdir Rahsia itu mengembalikan Amanah Kepada Yang Empunya Amanah, 
Amanat namanya. 
Dan takala ia sudah mengetahui didalam ghaib hamba yang menanggungkan Amanah hairanlah ia akan dirinya Khazaan namanya dan 
takala ia mengetahui tubuh dan dirinya dengan Dia Kunhu namanya dan 
takala ia mengetahui keadaan dirinya ada sekelian alam umpama banjir sebanjir 
di tengah pasir ataupun seperti sebuah jong di tengah laut Kunhu Kazal namanya dan 
Qolbi Mukmin namanya.

Dan adapun semua ini adalah kiasan umpama jua 
dari ilmu amal kerja para sufiyah tiada dapat melainkan dari 
talkin Mursyhidin 
yang punya sanad bukan ia angan-angan cita 
juga dogengan syahadan 
maka barang siapa jihad mujahadah 
mendapat ia Rahsia Bathin Islam ini. 

Bukan ia dengan membaca kitab bergedung, fasih arabnya, 
berlipas-lapis jubah pakaian dan besar serbannya diatas kepala.

Walahualam.

Wassalammualaik.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar