Maka segala amal dan segala Hal itu hanya sanya yang menetapkan(meneguhkan) dia
di dalam hati oleh wujud Zikir pada Hati dan Lisan.
Dan kesempurnaannya(zikir) itu ialah dengan Hudur(hadir hati) dalamnya (zikir).
Dan jangan ditinggalkan kerana ketiadaan Hudur
tetapi sebut oleh mu akan Tuhan mu atas tiap-tiap hal seperti yang dikata oleh Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) dalam kalam hikmahnya;
Jangan engkau tinggalkan Zikir kerana ketiadaan Hudur mu
serta Allah di dalamnya(zikir) kerana bahawasanya
lalaimu daripada tidak berzikir akan Allah itu
telebih sangat jahatmu daripada kelalaianmu dalam berzikir.
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Jangan engkau tinggalkan Zikir kerana ketiadaan Hudur mu
serta Allah di dalamnya(zikir) kerana bahawasanya lalaimu daripada ketiadaan wujud zikir akan Allah itu telebih sangat jahatmu daripada lalaimu dalam wujud zikir akan Dia.
(Ini adalah kerana) kerana bahawasanya
lalai daripada zikir itu menjauhkan daripada Allah Taala dan
berpaling pada KulliahNya(semua halmu kepada Allah) dan
lalai dalam zikir itu Hudur pada Juziyyahnya(sesetengah masa atau waktu) dan
kerana bahawasanya dalam zikirnya itu menghiasi anggotanya dengan ibadat dan
lalai itu menghilangkan akan dia (anggota daripada berbuat ibadat)
Keterangan Suluk (Zikir secara umum)
Menurut guru suluk,
Zikir secara umumnya ialah apa sahaja amalan dan perbuatan zhohir dan batin
yang membawa seseorang itu kepada mengingati Allah.
Amal ibadat dan perbuatan sama ada yang zhohir atau batin
yang berlandaskan hukum syarak yang dikerjakan dengan tujuan
untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhoan Allah dikatakan ianya sebagai zikir.
Ini adalah kerana zikir itu terbahagi kepada kepada beberapa bahagian dan martabat seperti
Zikir Anggota,
Zikir Lisan,
Zikir Qalbi dan
Zikir Sir serta
Zikir yang tenggelam dalam Mazkurnya
yang akan dinyatakan oleh Tok Pulau Manis
melalui keterangan selanjutnya nanti.
Melalui kalam hikmah dan keterangan Tok Pulau Manis di atas,
seseorang hamba itu dianjurkan supaya sentiasa berzikir dan
terus berzikir walaupun hatinya lalai daripada mengingati Allah atau
tidak hadir pada hati akan makna-makna dan rahsia zikir(Hudur)
semasa melaksanakannya.
Inilah adalah kerana perbuatan/amalan berzikir ini
walaupun dikerjakan dalam keadaan lalai,
ianya sudah dianggap sebagai satu ibadat atau amal kebaikan
jika dibandingkan dengan hal-ahwal seorang yang langsung tidak berzikir
di mana secara terang dan nyata menunjukkan penderhakaan dan kejahatannya
terhadap Allah.
Orang yang langsung tidak berzikir adalah
mereka yang jauh dari Allah dan
kejahatan mereka itu menjauhkan lagi dari Allah
kerana dengan kesombongan mereka itu menyebabkan mereka
berpaling dari hal-ahwal atau tindak-tanduk kewajipan yang perlu dilaksanakan
sebagai seorang hamba kepada TuhanNya.
Berbeza dengan orang yang sentiasa mengerjakan ibadat seperti sholat, puasa,
di samping berzikir serta lain-lainnya;
walaupun mereka lalai sewaktu mengerjakannya,
sekurang-kurangnya ada juga pada waktu atau ketika/saat-saat yang tertentu
akan hudur hati mereka dengan Allah atau setidak-tidaknya terhias zhohir anggota
dan perbuatannya dengan amal-ibadat yang dituntut oleh syarak.
Bukankah boleh dikatakan satu kebaikan pada orang bersholat atau berpuasa
berbanding dengan mereka yang langsung tidak sembahyang dan berpuasa?.
Demikain juga lidah yang sentiasa basah dengan zikir
walaupun hatinya lalai itu terlebih baik dan mulia
daripada lidah yang kosong hampa dengan kalimah-kalimah yang suci itu.
Dari kerana inilah,
Tok Pulau Manis meneruskan lagi keterangannya yang seterusnya seperti berikut;
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan kata Wasthi r.a.;
Bermula lalai daripada menyebutnya(zikir) itu terlebih sangat (jahat)
daripada lalai dalam zikirnya.
Dan dikata orang bagi Abi Osman An-Nahdi r.a.;
Kami zikir akan Allah dan tiada kami dapat akan manis dan Hudur.
Maka katanya (Abi Osman);
Puji jua oleh kamu akan Allah atas(kerana) menghiasi anggota
daripada segala anggota kamu dengan taatnya.
Dan kata setengah mereka itu (kaum sufiah);
Syukurlah engkau akan Allah atas barang yang dikurniakanNya daripada Zikir Lisan dan jikalau melakukan (lidah) kepada tempat mengumpat-ngumpat
nescaya tiada ada engkau berbuat dia (zikir).
Dan Allah Taala terlebih memuliakan daripada bahawa
diHudurkannya hambanya dengan lisannya (walaupun)
tiada mengurniai atasnya dengan Hudur hatinya.
Dan sebut olehmu dengan lisanmu dan
bersungguh-sungguh dirimu dalam Hudur hatimu.
Keterangan Suluk (Tingkatan Pertama; Zikir Lisan)
Ketiga-tiga petikan yang didatangkan oleh Tok Pulau Manis di atas
seakan ingin menunjukkan kepada kita bahawa
betapa perlunya seorang hamba itu membasahi lisannya dengan berzikir.
Terlebih-lebih lagi bagi orang-orang Salik yang ingin berjalan kepada TuhanNya,
tuntutan untuk melakukan Zikir ini adalah sangat-sangat ditekankan
sebagai senjata dan alat pencuci jiwa
semasa dan sepanjang perjalanannya menuju kehampiran.
Walaupun lalai atau merasa pahit dan berat untuk berzikir,
mereka digalakkan juga untuk mengistiqamahkan Zikir Lisan ini
mengikut awarid dan bilangan-bilangan tertentu.
Pandangan di atas juga menegaskan agar para Salik sentiasa bersyukur
dengan anugerah dan Kurnia Allah yang sedikit
dimana Allah menghiasi anggota zhohir mereka
dengan amal taat dan patuh kepada Allah.
Lidah yang digunakan untuk berzikir
sekurang-kurangnya dapat mengelakkannya
daripada mengumpat-umpat dan mengeji orang lain
atau ucapan yang sia-sia atau lagho.
Inilah wajah-wajah kemuliaan yang dikurniakan Allah
kepada mereka yang berzikir walaupun hatinya lalai.
Kemampuan untuk berzikir secara lisan tanpa hudur hati ini
hendaklah disyukuri agar nanti mendapat kurnia dan anugerah Allah
yang lebih lagi sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
“Dan sekiranya kamu bersyukur, nescaya kami(Allah) akan tambah lagi”.
Dengan kemuliaan kurnia Allah yang sedikit
dan kelebihan yang ada pada orang yang bersyukur inilah,
maka Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari)
mendatangkan kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana berikut;
Maka mudah-mudahan bahawa diangkatkan oleh Allah akan dikau
daripada Zikir(lisan) serta diperoleh lalai kepada Zikir serta diperoleh jaga
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Maka mudah-mudahan bahawa diangkatkan oleh Allah akan dikau daripada Zikir
serta diperoleh lalai kepada Zikir serta diperoleh jaga(Yaqozhoh)
dengan LathifNya dan InayahNya
kerana bahawasanya jaga itu ingat hati daripada mengantuk ghoflah dan tidur juhalah kepada Hadirat Al-Wafah(sempurna sebagai seorang hamba) dan Adab Al-Khidmat.
Dia sanalah berpindah ia daripada zikir lisan daripada zikir qalbi yang Hudur
daripada melazimkan dia (zikir lisan).
Keterangan Suluk (Tingkatan Kedua; Zikir Qalbi)
Apabila seorang hamba/Salik mengistiqamahkan dan sentiasa bersyukur dengan Zikir Lisan mereka, Insya Allah….
Allah Yang Maha Lemah Lembut dengan pertolongan dan limpah kurniaNya
akan mengangkatkan martabat Zikir Lisan mereka kepada Zikir Yaqzhoh.
Dengan Zikir Yaqzhoh ini,
hati hamba yang sebelum ini lalai atau ghoflah
dengan gangguan-gangguan keduniaan akan terjaga dan tersedar
untuk mula melihat kepada hakikat Zikir Lisan serta segala suatu yang lain.
Mata hati yang sebelum ini tertutup sewaktu berzikir akan terbuka
untuk memandang Keesaan dan Keagungan Allah.
Zikir-zikir lisan yang diucapkan akan terlancar dan bergerak selari
dengan gerakan hati di samping dapat merasai makna-makna dan rahsia zikir
mengikut kadar yang dikurniakan Allah.
Hati yang sebelum ini,
buta dan jahil dengan hakikat dan makrifat
mula mengenali dan memahami makna-makna di Alam Malakut
yang terpancar pada zhohir sesuatu.
Mereka dapat melihat akan hikmah dan pengajaran
di sebalik sesuatu yang zhohir yang mendatangi mereka.
Hiduplah hati atau jiwa mereka menuju ke Hadirat Al-Wafah
yang akan menyempurnakan kebersihan hati
untuk layak dipanggil sebagai seorang hamba
dengan tahu melaksanakan adab-adab kehambaan dan adab-adab Ketuhanan
dengan pelbagai hal-ahwal hati
yang merujuk kepada kepatuhan dan ketundukkan
yang penuh dengan kesedaran batin.
Dengan sebab inilah Zikir serta jaga ini dinamakan juga sebagai Zikir Qalbi
kerana hidup hati itu dengan mengingati dan memandang Allah
pada setiap kali memandang “ghair” atau sesuatu yang zhohir;
sedar dan terjaga hati itu untuk mengenal dan memahami
akan hakikat bagi segala sesuatu.
Dengan Zikir Qalbi inilah,
bermulalah satu perjalanan hati untuk meneroka dan memasuki alam-alam batin
atau alam-alam rahsia atau Alam Ketuhanan Yang Maha Tinggi.
Dan dengan kerana inilah diisyaratkan pula Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) sebagai menyambung dalam kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana beriknya;
Dan daripada zikir serta diperolehi jaga (Zikir Yaqozhoh)
kepada zikir serta wujud Hudur serta Allah (Zikir Sir).
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan daripada zikir serta diperolehi jaga pada zikir serta oleh Hudur serta Allah.
Dan adalah Hudur kepada mereka itu iaitu Hudur dengan Haq Taala
tatkala ghaibnya daripada sekelian pancaindera dan daripada memandang agyar.
Dan dalam Maqam ini berpindah ia daripada Zikir Qalbi kepada Zikir Sir.
Zikir Sir itu ghaib ia daripada barang yang lain daripada Mazkor.
Keterangan Suluk (Tingkatan Ketiga; Zikir Sir)
Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Dengan kasih-sayangNya Yang Maha Tinggi,
Allah mengangkatkan Maqam Zikir Qalbi seorang hamba pilihanNya
kepada tingkat yang seterusnya iaitu Zikir Sir.
Zikir Sir ini sebagaimana keterangan Tok Pulau Manis di atas
merupakan Zikir yang telah datang kehadiran hati serta Allah.
Dan Zikir ini juga merujuk kepada kehadiran Rahsia diri yang terpendam sebelum ini.
Hidup Sirnya dengan TuhanNya di mana seluruh ingatan,
seluruh pandangan(syuhud) dan seluruh “rasa” tertumpu kepada Yang Haq.
Ingat dengan Yang Haq;
Syuhud kepada Yang Haq dan
“merasa” dengan Yang Haq.
Dengan kata lain,
seluruh anggota badan yang zhohir dan batin sentiasa dalam keadaan Zikir
Inilah adalah kerana,
jiwa atau hati hamba telah hapus atau hilang atau qhaib
daripada pengaruh pancaindera dan memandang kepada Agyar
pada pihak tidak diiktibarkan
apa yang dilihat, apa yang didengar, apa yang dirasa, apa yang diucapkan;
malah setiap hal-ahwal zhohir mereka adalah merupakan Zikir
kerana mereka tidak melihat sesuatu itu melainkan dilihatNya Allah
dan tidaklah mereka dilakukan sesuatu perbuatan atau amalan
melainkan dengan “perintah” yang datang dari Allah.
Sungguhpun demikiannya
hal keadaan hati yang sentiasa ingat akan kehadiran Allah dalam tiap-tiap sesuatu itu berzikir dan berzikir dengan Sirnya,
namun ianya belum sampai kepada puncak kesempurnaannya yang Hakiki.
Hati ini masih melihat dan memandang kepada dirinya sendiri,
hati ini masih terpesona dengan keajaiban rahsia dirinya
di mana hal ini menunjukkan bahawa masih ada lagi wujud yang lain iaitu dirinya.
Ini merupakan satu kecacatan pada Tauhid yang menjadi intipati dan rahsia Zikir itu.
Dan dengan kerana inilah diisyaratkan pula Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) sebagai menyambung dalam kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana beriknya;
Dan daripada zikir serta diperoleh Hudur (Zikir Sir) kepada Zikir
serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkor
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan daripada zikir serta diperoleh Hudur kepada zikir
serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkor ia
hingga masuklah orang yang zikir itu ke dalam MazkorNya
dan ghaib Sirnya tatkala ZuhurNya (nyata Allah).
Maka adalah ghaib zikirnya dengan zikirnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar