*AKU BUKAN ROH*
Ada kalangan ahli makrifat menegaskan bahwa AKU itu adalah Roh.
Dengan ertikata lain maka yang sebenar-benar Diri itu adalah
Roh yang tiada kaitannya dengan Rabbul Izzati
walaupun Roh itu adalah urusanNya dan tajalliNya.
Ibarat Roh itu setitik air dan lautan itu adalah Rabbul Izzati.
Setitik air itu berasal dari lautan dan kembali jua kepada lautan.
Seorang yang mengenal dirinya bererti mengenal Roh
lantas Roh itulah pula yang kembali kepada Allah serta mengenal Allah,
bukan badan wadaknya yang akan kiamat dan musnah.
Pendapat ini memang ada benarnya dari sudut yang mereka faham dan lihat.
Namun bagi para ahli sufi yang berfahaman Wahdatul Wujud dan Wujudiah,
mereka berpandangan lebih dalam lagi dan lebih jauh
dari apa yang dikatakan pada awal tadi.
Sebagaimana kefahaman sufi besar Syekh Abdul Karim al-Jili,
penulis kitab termasyhur Insan Al-Kamil,
beliau lebih cenderung memandang kepada ‘Wujud Mutlak’
sebagai Yang Qadim daripada memandang ‘yang lain’ sebagai yang hudus.
Justeru itu beliau berpendapat,
rumusan seperti tentang Haqiqat Muhamadiyah atau Roh Muhammad itu
yang menjadi titik-tolak sumber segala kejadian adalah
sebenarnya tidak Qadim dan merupakan yang baru.
Ini berbeda dengan pendapat Syekh Ibnu Arabi yang mengatakan
Haqiqat Muhammadiyah atau Roh Muhammad itu
antara yang Qadim dan yang bukan Qadim,
maka dengan itu dikatakan sebagai Mumkinul Wujud.
Dikatakan Qadim ketika Haqiqat Muhammadiyah atau Roh Muhammad itu
berada di dalam aspek Ketuhanan,
tidak dikatakan Qadim pula apabila ianya di dalam aspek kemakhlukan.
Namun Mansur Al-Hallaj, orang pertama yang mengasaskan gagasan Haqiqat Muhammadiyah atau Roh Muhammad itu mengatakan adalah
semata-mata Qadim dan tidak lain dari Kunhi Zat itu sendiri.
Lantaran itulah mengapa Al-Hallaj dihukum bunuh
atas pengisytiharan dirinya adalah Ana Al-Haq.
Syekh Abdul Karim al-Jili mengatakan bahwa
Haqiqat Muhammadiyah atau Roh Muhammad itu tidak Qadim
kerana beliau berpandangan ‘Wujud’ yang sebenarnya ada ialah
hanya satu sahaja iaitu ‘Wujud Allah’.
Dengan itu ahli sufi lebih memfokuskan pandangan mereka tentang Wujud sahaja
dan siapakah sebenarnya yang Wujud,
tidak lagi memperdulikan aspek-aspek yang lain
seperti Qalbu, Roh, Nur, Rahsia Insan dan seluruh Alam Semesta.
Apabila mereka ‘tenggelam’ di dalam Wujud Murni,
di sana tidak ada ‘hamba’ dan ‘Tuhan’,
malah yang dikatakan ‘Tuhan’ sendiri dan disembah oleh setiap makhluk pun tidak ada, maka yang sebenarnya ada hanya Wujud Allah yakni
DIA Yang Maha Ghaib yang memuji dan mengagungkan DiriNya sendiri.
Lantaran itu sesetengah ahli sufi yang arifbillah
berpegang teguh kepada sabda Nabi saw,
“Barangsiapa yang mengenal dirinya, kenallah ia akan Allah”.
Justeru itu pada hakikatnya mengenal diri itu sebenarnya adalah mengenal Allah,
bukan sebagaimana mengenal diri itu adalah semata-mata mengenal diri.
Diri yang sebenar-benarnya Diri itu tidak lain adalah Allah semata-mata,
bukan qalbu, bukan Roh, bukan Nur dan juga bukan Sirr.
Maka di sini timbul pertanyaan,
siapakah pula AKU dalam diri manusia itu?
Adakah ianya Roh, Qalbu, Sirr atau yang sewaktu dengannya?
AKU itulah yang hidup dan wujud di dalam diri manusia.
AKU itu Esa dan sebenarnya bukan bertempat
yakni tidak di dalam manusia atau di luar manusia dan
tidak pula berpisahan dengan manusia, tetapi AKU meliputi diri manusia itu.
Maksud meliputi di sini ialah kebersamaan AKU pada diri manusia.
Jika AKU tidak bersama manusia,
maka bagaimanakah AKU dapat dikenal?
Siapakah AKU?
Yang mengaku ‘aku si orang kaya’, ‘aku si orang alim’, ‘aku si cantik molek’,
‘aku yang punya keturunan dan ‘aku..., aku..... aku seterusnya....”
itu semua bukanlah Diri Yang Haqiqi dan AKU Yang Mutlak,
melainkan itu semua adalah gambaran-gambaran yang muncul di Alam Mitsal sahaja,
ibarat buih-buih ombak di atas permukaan lautan,
apabila hilangnya buih-buih ombak itu maka
jelaslah rata-rata akan lautan yang sebenarnya.
Adanya ‘aku dan keakuan’ itu disebabkan
kesan dari perlimpahan sifatKu yang banyak dan berbeda-beda supaya mengenali AKU.
AKU adalah zahirnya DIA dan DIA adalah batinnya AKU.
AKU adalah Diri yang sebenar-benar Diri.
RohKu itu bukan AKU tetapi adalah Cermin HayatKu.
Dengan RohKu itulah maka dapat menghidupkan dan menggerakkan semua makhlukKu. Dalam RohKu itulah AKU melihat DiriKu di luar Diri.
AKU hanya dapat melihat KesempurnaanKu
hanya dalam RohKu yang Kuhembuskan dalam jasad manusia.
Manusia itulah BayanganKu di dunia ini dan dialah KhalifahKu.
Justeru itu hanya manusia yang boleh mengenal AKU dengan sempurna
sebagaimana AKU patut dikenali,
manakala makhluk-makhluk lain hatta para malaikat sekalipun
hanya boleh mengenali AKU setakat mana mereka mampu mengenal diri mereka sendiri.
Tetapi RohKu itu terlalu hampir dengan AKU.
Hampirnya RohKu dengan AKU adalah sewujud,
maka tiada yang wujud kecuali AKU.
Ibarat orang yang memandang cermin, dalam cermin terbayang Wajah, itulah WajahKu.
Saat WajahKu memandangku kembali dan berkata-kata kepadaKu,
sesungguhnya
pandangannya itu dan kata-katanya itu adalah pandanganKu dan kata-kataKu jua.
Pada zahirnya tampak dua tetapi hakikatnya satu.
Yang Satu itulah Jauhar yang menzahirkan yang banyak
tetapi tidak merubah hakikat Yang Satu itu.
AKU bukan Roh,
bukan yang ada di dalam cermin,
cermin itu kosong semata-mata!
AKU adalah Ana Al-Haq!
KesempurnaanKu terwujud pada manusia menurut citraKu.
Jika hendak melihat bagaimanakah AKU,
lihatlah pada wajah manusia yang sedang tersenyum,
di situlah AKU sebegitu terang dalam makrifatmu!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar