1)Peringkat kewalian pada jalan kesufian berbeza
dengan peringkat kewalian pada jalan kenabian.
Kewalian sufi masuk kepada suasana meninggalkan semua makhluk
dan membenamkan ingatan secara terus menerus kepada Allah s.w.t.
Kewalian sufi bergerak menghapuskan kehendak diri sendiri dan sifat-sifat kemanusiaan.
Sebutan dan ingatan yang terus menerus kepada Allah s.w.t
membawa sufi fana diri atau melupakan diri sendiri.
Di dalam fana sufi memperolehi jazbah iaitu
pengalaman yang berkaitan dengan suasana ketuhanan.
Setelah melepasi peringkat fana sufi sampai kepada peringkat baqa
atau kekal bersama-sama Allah s.w.t.
Di dalam menuju baqa,
pada peringkat fana yang paling tinggi sufi hilang kesedaran diri sepenuhnya.
Wujudnya hilang dari pandangan dan perasaannya.
Hanya Wujud Allah s.w.t sahaja yang menguasainya.
Pada peringkat tersebut sufi mengalami apa yang diistilahkan sebagai wahdatul wujud,
di mana wujud hamba dengan Wujud Tuhan tidak lagi berbeza pada alam perasaan sufi.
Suasana demikian diperolehi akibat didorong oleh rasa kecintaan kepada Allah s.w.t secara asyik mahsyuk yang bersangatan dan
pada masa yang sama kesedaran terhadap diri sendiri hilang.
Pengalaman wahdatul wujud menimbulkan apa yang diistilahkan sebagai mabuk.
Sufi hanya melihat kepada Wujud Tuhan,
tidak lagi kepada wujud dirinya dan sekalian wujud yang selain Tuhan.
Bila kewujudan diri sendiri hilang dari alam perasaan sufi
sering mengucapkan perkataan yang diistilahkan sebagai latah
seperti pengakuan bahawa dirinya adalah Tuhan atau Tuhan yang menjadi bakat dirinya.
2)Kebanyakan sufi sangat mementingkan pengalaman bersatu dengan Tuhan.
Mereka menjalani latihan yang berat-berat bagi menghilangkan kesedaran
terhadap diri sendiri, iaitu mencapai fana dan
dikuasai oleh kecintaan kepada Allah s.w.t yang mengasyikkan.
Bagi memperolehi yang demikian sufi perlu menghapuskan semua keinginannya,
sifatnya dan identiti dirinya secara menyeluruh.
Pekerjaan yang demikian sangat berat, perlu dilakukan latihan menindas jasad.
Latihan yang merbahaya dan luar biasa terkenal di kalangan para sufi
di dalam proses meleburkan kedirian mereka.
Latihan yang demikian membawa sufi melupakan dunia dan akhirat.
Orang sufi percaya rohnya adalah Roh yang dari Allah s.w.t, yang suci bersih.
Roh yang suci itu dipenjarakan oleh jasad.
Sufi berasa berkewajipan membebaskan rohnya daripada penjara jasad
dan mencapai tujuan iaitu bersatu dengan Tuhan.
Oleh yang demikian sufi mengistiharkan perang terhadap jasad
dengan cara menindas keperluan jasad
seperti makan, minum, tidur, tutur-kata, pergaulan dan sebagainya.
Selagi rohaninya tidak bebas dari pengaruh jasad sufi tidak akan berasa aman.
Sikap penindasan terhadap jasad ini menimbulkan kegelisahan, kehangatan dan kemarahan di dalam roh haiwaninya yang menghubungkan rohnya dengan jasad.
Tindak-balas daripada roh haiwani itu sering menimbulkan sikap kasar dan agressif
pada orang sufi, terutamanya bagi mereka yang berada pada peringkat permulaan melatihkan diri.
Setelah dapat menguasai peringkat roh haiwani sufi akan beransur-ansur
menjadi tenang dan kesedaran pancainderanya mengecil sehinggalah hilang terus.
Dia mencapai kehampiran dengan Tuhan dan
seterusnya memasuki suasana bersatu dengan-Nya.
Baharulah sufi merasakan kerihatan daripada jihadnya terhadap jasad.
3)Jalan yang ditempuh itu menyebabkan sufi gemar kepada yang indah-indah,
mendengar suara yang merdu, lagu-lagu kasih, puisi dan cerita-cerita percintaan.
Sebahagian daripada para sufi terbawa-bawa kepada berzikir
secara menyanyi dan menari sambil diiringi oleh muzik.
Keadaan yang demikian menambahkan rasa kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan mengubati kerinduan mereka kepada-Nya.
Kerinduan kepada Tuhan sangat menekan jiwa dan
menimbulkan kegelisahan yang amat sangat.
Aktiviti yang mengasyikkan dapat meredakan tekanan dan kegelisahan tersebut. Perjalanan yang demikian menyebabkan timbul sikap kasar dan tidak terkawal
di kalangan sebahagian sufi, selama kecintaan kepada Tuhan belum mereka kuasai
dan kerinduan kepada-Nya belum terubat.
Kerinduan dan keasyikan menyebabkan sufi lupa bukan sahaja kepada diri dan makhluk, malah sering juga terjadi peraturan syariat dan etika moral tidak diambil berat
oleh sebahagian mereka.
Sebahagian sufi masih melakukan peraturan syariat
tetapi semata-mata kerana menghormati syariat Tuhan
bukan kerana menghayati peraturan tersebut.
Para sufi yang bersungguh-sungguh dengan latihan kerohanian mereka,
setelah memperolehi keasyikan,
akan masuk ke dalam suasana kebatinan
di mana mereka menyaksikan rupa, bentuk, cahaya dan warna.
Pengalaman yang demikian banyak berlaku pada peringkat awal perjalanan sufi. Penyaksian yang demikian sangat menggembirakan mereka,
menambahkan keyakinan dan semangat untuk maju terus.
Oleh kerana penyaksian tersebut terjadi di dalam suasana kebatinan yang ghaib,
sufi mudah menghubungkan yang disaksikan itu dengan Allah s.w.t.
Timbullah konsep ketuhanan yang tidak jelas dan mengelirukan.
4) Penghujung jalan para asyikin adalah bersatu dengan Tuhan.
Sufi mengalami kefanaan, dirinya hilang dia berkamil dengan Tuhan.
Dia dikuasai oleh suasana ketuhanan.
Pada peringkat ini sering terjadi ucapan latah seperti: “Ana al-Haq!”
Ucapan latah yang meletakkan ketuhanan pada diri itu berlaku kepada sufi
ketika kesedaran terhadap diri sendiri hilang lenyap.
Suasana yang demikian diistilahkan sebagai mabuk.
Dalam suasana yang demikian hubungan hati orang sufi dengan Tuhan sangat erat.
Dia telah melepaskan segala-galanya demi Tuhannya.
Dia telah membuang makhluk dan dirinya demi kecintaannya kepada Tuhan.
Gelombang kefanaan yang melanda hati sufi itu mengubah suasana kebatinannya menyebabkan sering muncul keajaiban daripada dirinya, doanya cepat makbul, perkataannya menjadi kenyataan, dia boleh melakukan perkara yang luar biasa
seperti berjalan di atas air atau masuk ke dalam api.
Hasilnya bertambah teguhlah keyakinannya terhadap apa yang dipegangnya.
5) Perkara luar biasa yang muncul daripada sufi yang di dalam zauk itu menyebabkan orang ramai menjadi percaya kepada apa yang sufi itu iktikadkan.
Sufi yang di dalam kefanaan diri menyaksikan satu wujud
lalu memperkatakan mengenainya.
Muncullah fahaman wahdatul wujud.
Orang ramai yang melihat keajaiban pada sufi itu dengan mudah menerima fahaman wahdatul wujud yang dipegang oleh sufi itu.
Sufi membina fahaman wahdatul wujud melalui pengalaman kerohaniannya,
melalui penyaksian mata hatinya.
Dia mengalami sendiri suasana semua wujud hilang dan
hanya satu wujud sahaja yang menyata.
Orang ramai pula berpegang kepada fahaman wahdatul wujud secara ikut-ikutan,
tanpa mengalaminya dan tanpa benar-benar mengerti mengenainya.
Pegangan sufi dibentuk melalui pengalaman rasa
sementara orang lain pula melalui khayalan dan andaian.
Sufi yang berkata atau melakukan sesuatu yang menyalahi syariat,
bertentangan dengan perkataan al-Quran dan perkataan Rasulullah s.a.w
ketika dia dikuasai oleh hal atau mabuk, boleh dimaafkan
kerana dia berbuat demikian tanpa kesedaran.
Orang lain yang di dalam kesedaran biasa yang mengikuti orang sufi
secara meniru-niru perlu diberi penjelasan bahawa
perbuatan mereka adalah sesat dan kufur.
Pengalaman wahdatul wujud adalah
umpama bayangan yang muncul akibat awan mendung menutupi sinar matahari.
Setelah awan berlalu bayangan pun hilang.
Orang sufi yang berjalan terus akan melepasi peringkat bayangan tersebut.
Fahaman wahdatul wujud ditinggalkan di belakang dan
dia masuk kepada jalan kenabian, berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunah.
Kebenaran yang sejati terletak dalam al-Quran dan as-Sunah
bukan pada zauk, jazbah dan mabuk.
Oleh yang demikian orang sufi yang belum melepasi suasana mabuk
dilarang keras bercampur gaul dengan orang ramai dan
menyampaikan fahaman yang terbentuk ketika mabuk.
Wallahualam.....
Allahuakbar....
Subhanallah....
Lihat Terjemahan
Tidak ada komentar:
Posting Komentar