Sabtu, 26 Desember 2015

MUTHMAINNAH.

Wahai jiwa yang telah mencapai ketenteramannya, 
pulang kembalilah kepada Tuhanmu, 
dalam keadaan redha dan diredhai, 
Maka masuklah dalam golongan hambaku dan masuklah ke syurgaku.. 
Al Fajr: 27-30.

Jiwa Mutmainnah itu, adalah 
jiwa yang tenteram, aman, damai, bergembira dan jiwa yang redha meredhai. 
Bukan sahaja tenteram sesudah meninggal dunia (mati), 
tetapi berbahagia dan tenteram juga, semasa hayat masih dikandung badan. 

Jiwa yang tenteram itu, adalah jiwa yang mengenal tuannya (Allah). 
Orang yang tidak mengenal Allah, hidup mereka tidak tenteram, 
hatinya selalu dalam keresahan, dalam keadaan hampa, kosong, 
kecewa dan tidak ada hala tuju. 
Masih serasa ada sesuatu yang tidak kena 
dan serasa ada sesuatu yang belum selesai.

Bilamana kita mengenal Allah, 
barulah hati kita akan merasa aman, selesa, ikhlas, redha dan tenteram 
dalam beribadah mahu pun dalam kegiatan kehidupan seharian, 
barulah hidup ini bererti dan bermakna, 
itulah istilah pengertian mutmainnah (tenteram), 
mengikut suluhan ilmu makrifat. 

Tenteramnya hidup kita ini, 
bila kita tidak lagi bersandar kepada yang lain selain Allah. 
Tidak bersandar kepada belas kasihan orang, 
tidak khuatir bila hidup dalam kemiskinan, 
tidak resah bila tiada wang, 
tidak hiba bila ditimpa penyakit dan yang paling afdalnya, 
apabila berbuat amal ibadah kita itu, 
tidak bersandar kepada syurga atau neraka. 
Tidak tergantung kepada pahala atau ganjaran. 
Itulah istilah jiwa yang tenteram dan tenang.

Tidak takut kepada azab neraka 
dan tidak tertarik dengan ganjaran syurga. 
Didalam hatinya, 
hanya Allah titik sandaran penamat yang muktamad. 
Jiwa, nafas, nadi, hati, kalbu, atau roh yang sebeginilah 
dikatakan sebenar benar mutmainnah. 

Yang selain dari Allah itu, 
adalah gula gula atau ubat pelali yang menyebabkan 
bertambah jauhnya diri kita dari Allah. 

Menurut pandangan ilmu makrifat, 
ganjaran syurga, pahala atau peringatan azab neraka itu, 
bukan boleh mendekatkan diri kepada Allah, 
malahan lebih bertambah jauhnya diri dari Allah. 

Bila beramal nampak syurga, 
bererti kita kehilangan dari nampak Allah. 
Bila beramal melihat pahala, 
bererti pandangan terhadap Allah, semakin kabur, pudar, 
hilang malahan akan menyebabkan bertambah jauh 
dari ingat kepada Allah.

Bila hati asyik ingat kepada pahala atau syurga, 
bila masa nak ingat Allah! 

Bila hati asyik ingat takut kepada azab neraka, 
bila masa nak ingat Allah! 

Bila hati asyik ingat selain Allah, 
bila masa hendak ingat Allah! 

Ingat kepada yang selain dari Allah, 
menyebabkan ingatan kepada Allah akan terhalang. 

Sedangkan tujuan beribadah itu, 
adalah bertujuan untuk ingat dan mendekatkan diri kepada Allah. 

Jika akal fikiran asyik teringat syurga neraka, 
bila masa untuk ingat kepada Allah. 
Nak nak lagi bagi mereka mereka yang tidak tahu kaedah 
atau cara untuk mengingati Allah Taala (lagilah jauhnya dari Allah).

Jiwa yang tenteram atau mutmainnah itu, adalah jiwa yang tenteram. 
Jiwa yang tenteram itu, adalah jiwa yang hanya ingat kepada Allah.

Kaedah untuk ingat kepada Allah itu, 
caranya adalah dengan lupa kepada selain Allah. 
Cara lupa kepada selain Allah itu, 
dengan jalan tidak lagi ingat kepada balasan syurga neraka, 
lupakan kepada ganjaran nikmat pahala 
dan lupa kepada pedihnya azab neraka. 

Beribadah kita itu, biarlah benar benar karena Allah, 
bukan berniat karena pahala atau syurga. 

Tentang pahala, syurga atau neraka itu, 
biarlah kita serah kepada Allah yang menentukannya. 
Jika kita harapkan hanya Allah, 
soal syurga neraka sudah tidak lagi menjadi idaman 
dan tidak lagi menjadi tarikan hati.

Itulah yang ditakrif dan dikatakan jiwa mutmainnah (jiwa yang tenteram).

Bila kita ingat Allah dan tidak ingat lagi kepada yang lain selain Allah, 
itulah yang sebenar benar ketenteraman, 
kedamaian serta sebenar benar keamanan yang berpanjangan kekal 
yang tiada penghujungnya. 
Itulah mutmainnah! 

Untuk mendapat mutmainnah, 
kita kena kenal diri dan kenal Allah Taala 
dengan sebenar benar mengenal...

Aamiin Ya Allah...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar