Sewaktu Nabi Allah Adam (a.s.) hendak diciptakan Allah (s.w.t.) telah mengumpulkan para malaikat untuk memberitahu hal tersebut. Allah (s.w.t.) menceritakan tentang reaksi para malaikat terhadap berita penciptaan Nabi Allah Adam (a.s.) itu melalui firman-Nya:
قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ
سورة البقرة (2) : 30
Maksudnya: Para malaikat bertanya (tentang hikmat ketetapan Allah s.w.t. itu dengan berkata): “Adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri?”
Q.s. al-Baqarah (2) : 30
Di dalam ayat di atas ada disebutkan kalimah وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ yang bermaksud menumpahkan darah atau berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
Inilah yang disebut oleh para malaikat di hadapan Allah (s.w.t.) sewaktu Dia (Allah) memberitahu para malaikat bahawa Dia (Allah) akan menciptakan Nabi Adam (a.s.) dan keturunannya.
Ertinya menumpahkan darah dan berbunuhan sesama sendiri memang
sudah menjadi sifat semula jadi manusia sejak azali lagi.
Dalam Islam pertumpahan darah itu sebagaimana yang tercatat di dalam kitab-kitab klasik Melayu ialah perang, hukuman rejam kerana zina, murtad dan qishash.
Tetapi pada kali ini saya ingin membincangkan tentang perang dan adab-adabnya sahaja. Tentang hukuman rejam, murtad dan qishash itu kita akan bincangkan juga pada masa-masa akan datang. Insya Allah.
PERANG DALAM ISLAM.
Perang itu ada yang wajib dan ada yang haram demikianlah pendapat ulama Melayu klasik itu. Pendapat mereka ini bersesuaian dengan dengan hadits:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوهُ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ [إِلاَّ بِحَقِّهَا]، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ».
صحيح مسلم ، صالح آل الشيخ ، رقم : 129
(((Teks Shahih Muslim, Ahmad, Egypt, hlm. 34; menyebut فَإِذَا فَعَلُوا عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّهَا، berbeza dengan teks yang disebut oleh teks Shahih muslim, Shalih Aali al-Syeikh sebagaimana diatas. Iaitu perbezaan pada perkataan فَعَلُوا yang disebut oleh teks Ahmad sementara teks Shalih Aali al-Syeikh menyebut فَعَلُوهُ.
Teks di atas adalah sebagaimana yang tercetak pada teks Shahih Muslim, Shalih Aali al-Syeikh, no. 129.
Sementara terjemahannya menurut apa yang saya fahami dari kedua-dua teks tersebut.
Sekiranya berlaku sebarang kesilapan harap diperbetulkan
bagi menjaga kesucian agama dan terlebih dahulu diucapkan ribuan terima kasih.
Harap maklum))).
Maksudnya: Dari Abdullah bin Umar (r.anhuma) yang berkata:
Bersabda Rasulullah (s.a.w.): Diperintahkan oleh Allah (s.w.t.) akan daku untuk memerangi umat manusia sehingga mereka itu memperakui bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah dan Muhammad (s.a.w.) itu persuruh Allah, mendirikan shalat dan menunaikan zakat.
Mana-mana mereka yang melakukan yang sedemikian itu
maka mereka mendapat jaminan keselamatan dariku tentang harta dan darahnya. Melainkan atas alasan sebab-sebab perundangan, sedang pertimbangannya terserah kepada Allah (s.w.t.).
Hadits: Shahih Muslim, Shalih Aali al-Syeikh, no.129
Dari hadits di atas nyatalah bahawa peperangan yang dibenarkan di dalam Islam itu
bagi menegakkan agama. Iaitu supaya manusia itu memperakui bahawa Allah (s.w.t.) adalah Tuhannya dan memperakui bahawa Nabi Muhammad (s.a.w.) itu adalah Rasulullah. Setelah itu supaya mereka mengerjakan shalat dan mengeluarkan zakat.
Setelah bersyahadah memperakui ketuhanan Allah (s.w.t) dan kerasulan Nabi Muhammad (s.a.w.), mendirikan shalat maktubah dan menunaikan zakat
maka haramlah mereka itu diperangi.
Nyawa dan harta mereka dijamin keselamatannya oleh sistem pemerintah Islam sebagaimana disebut di dalam hadits di atas.
Kecuali jika mereka telah didapati bersalah oleh seorang hakim yang adil atas pertuduhan hukuman rejam kerana zina, murtad dan qishash.
PEPERANGAN YANG DIWAJIBKAN
Ada beberapa jenis atau sebab peperangan dalam Islam.
Di sini saya berikan tiga daripadanya sebagai renungan bersama.
Pertama
Antara sebab diwajibkan berperang dalam Islam ialah
untuk mempertahankan diri dan melindungi agama dari ancaman tentera kuffar.
Apabila umat Islam diancam dengan kekuatan tentera kuffar maka
wajiblah dari sudut syara` dan adab bagi pemerintah negara Islam itu menyerang balas. Allah (s.w.t.) berfirman:
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya:
Dan perangilah mereka kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah
jika mereka memerangi kamu, dan
janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan);
kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang menceroboh.
Q.s. al-Baqarah (2) : 190
Ayat ini adalah antara ayat yang paling awal diturunkan mengenai perang.
Ia termasuk ayat-ayat yang diturunkan selepas berlakunya peristiwa hijrah.
Sejak turunnya ayat ini Rasulullah (s.a.w.) telah mula memerangi mana-mana puak kuffar yang memerangi umat Islam.
Ia bertujuan bagi mempertahankan diri dan agama dari pencerobohan.
Ayat ini juga memberi satu pengajaran tentang salah satu adab mengenai peperangan iaitu kita dilarang memulakan api peperangan.
Mereka yang meniupkan api peperangan akan jauh dari rahmat Allah (s.w.t.).
Ini disebutkan pada penghujung ayat di atas وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
(dan janganlah kamu meniupkan api peperangan;
kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang memulakan peperangan).
Ayat ini adalah membawa maksud umum iaitu larangan memulakan peperangan itu
bukan sahaja terhadap orang bukan Islam tetapi terhadap orang Islam juga.
Jika memulakan peperangan dengan kaum kuffar pun dilarang
apatah lagi meniupkan api peperangan sesama Islam. Wallahu a`lam.
Kedua:
Selain dari sebab di atas bagi menjaga penyatuan umat Islam di sesebuah negara Islam; Rasulullah (s.a.w.) memerintahkan supaya memerangi pemberontak
atau mereka yang merebut kuasa. Dalam sebuah hadits ada disebutkan:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ، فَاقْتُلُوا الآخَرَ مِنْهُمَا».
صحيح مسلم ، صالح آل الشيخ ، رقم : 4799
Maksudnya: Dari Abi Said al-Khadri (r.a.) yang berkata:
Telah bersabda Rasulullah (s.a.w.):
“Apabila diangkat dua orang khalifah (pemerintah)
maka perangilah yang terkemudian di antara keduanya.”
Hadits: Shahih Muslim, Shalih Aali al-Syeikh, no.4799
Hadits ini bermaksud, apabila di dalam sesebuah negeri atau negara Islam yang sudah ada pemerintahnya tidak boleh dilantik atau diangkat seorang lagi calon pemerintah.
Mereka yang terlibat dengan mana-mana calon pemerintah yang dilantik sesudah adanya pemerintah yang telah dinobatkan akan dianggap sebagai pemberontak.
Bagi menjaga kestabilan dan kemakmuran sesebuah negara Islam supaya rakyat hidup aman, makmur dan tenteram;
Rasulullah (s.a.w.) memerintahkan supaya kumpulan pemberontak itu dihapuskan.
Menjadi satu adab pula bagi pemerintah Islam yang memegang tampok pemerintahan menawarkan perundingan dan perdamaian dengan pihak pemberontak jika sesama Islam. Perundingan itu hendaklah dilakukan bersungguh-sungguh
bagi mencari jalan penyelesaian.
Ini adalah bersesuaian dengan firman Allah:
رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ
Maksudnya: Umat Nabi Muhammad (s.a.w.) itu bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).
Q.s. al-Fath 48 : 29
Juga kerana datang padanya hadits:
عَنْ عَائِشَةَ رضى الله عنها عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «إِنَّ أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الأَلَدُّ الْخَصِمُ».
صحيح البخاري ، صالح آل الشيخ ، رقم : 2457
Maksudnya: Dari `Aisyah (r.a.), dari Nabi (s.a.w.) yang bersabda:
“Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah itu ialah
orang yang paling suka bermusuh-musuhan.”
Hadits: Shahih al-Bukhari, Shalih Aali al-Syeikh, no. 2457. (Hadits ini pada asalnya ditujukan kepada kaum yang memusuhi Nabi s.a.w. tetapi mempunyai maksud yang umum iaitu mengenai semua pihak tidak kira muslim atau non-Muslim. Wallahu a`lam.).
Tetapi jika pihak yang memberontak menolak tawaran perundingan maka mereka hendaklah diperangi sehingga pemberotakan itu dapat dihapuskan kerana adanya perintah dari hadits (Shahih Muslim, Shalih Aali al-Syeikh, no.4799) di atas tadi bagi menjaga perpaduan dan kemashlahatan umat.
Ketiga:
Kumpulan murtad yang mengingkari ajaran Islam dan membentuk pasukan ketenteraan lalu melancarkan pemberontakan wajib diperangi.
Di masa pemerintahan Saiyidina Abu Bakar ash-Shiddiq (r.a) mereka yang murtad telah enggan membayar zakat dan jumlah mereka begitu ramai.
Mereka ini telah mewujudkan pasukan ketenteraan mereka sendiri. S
aiyidina Abu Bakar ash-Shiddiq (r.a) mengambil keputusan untuk memerangi mereka ini.
Antaranya termasuklah Musailamah al-Kazab dari Bani Hanifah dan berjaya ditumpaskan dalam peperangan al-Yamamah, dan Aswad al-‘Anash dari Yaman yang berjaya ditumpaskan di dalam peperangan di Shan’a. Peristiwa ini diceritakan oleh sebuah hadits:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: لَمَّا تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاسْتُخْلِفَ أَبُو بَكْرٍ بَعْدَهُ، وَكَفَرَ مَنْ كَفَرَ مِنَ الْعَرَبِ، قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ لأَبِي بَكْرٍ: كَيْفَ تُقَاتِلُ النَّاسَ، وَقَدْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، فَمَنْ قَالَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، فَقَدْ عَصَمَ مِنِّي مَالَهُ وَنَفْسَهُ إِلاَّ بِحَقِّهِ، وَحِسَابُهُ عَلَى اللَّهِ تعالى؟». فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: وَاللَّهِ! لَأُقَاتِلَنَّ مَنْ فَرَّقَ بَيْنَ الصَّلاَةِ وَالزَّكَاةِ، فَإِنَّ الزَّكَاةَ حَقُّ الْمَالِ، وَاللَّهِ! لَوْ مَنَعُونِي عِقَالاً كَانُوا يُؤَدُّونَهُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَاتَلْتُهُمْ عَلَى مَنْعِهِ، فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: فَوَاللَّهِ! مَا هُوَ إِلاَّ أَنْ رَأَيْتُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ شَرَحَ صَدْرَ أَبِي بَكْرٍ لِلْقِتَالِ، فَعَرَفْتُ أَنَّهُ الْحَقُّ.
صحيح مسلم ، صالح آل الشيخ ، رقم : 124
Maksudnya: Dari Abi Hurairah (r.a.) yang berkata: Setelah Rasulullah (s.a.w.) wafat dan Saiyidina Abu Bakar ash-Shiddiq (r.a) diangkat menjadi khalifah (pengganti kepada kepimpinan Rasulullah s.a.w.), sebahagian bangsa Arab kembali murtad.
Saiyidina Umar al-Khatab (r.a.) berkata kepada Saiyidina Abu Bakar ash-Shiddiq (r.a): Kenapa tuan hendak memerangi mereka itu pada hal Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan La Ilaha illAllah. Oleh itu sesiapa yang mengucapkan kalimah La Ilaha illAllah mesti dilindungi harta dan jiwanya, kecuali apabila dia melanggar hukum; sementara perhitungannya terserah kepada Allah.
Jawab Saiyidina Abu Bakar ash-Shiddiq (r.a.): Demi Allah akan aku perangi mereka yang membezakan antara perintah shalat dan zakat. Sesungguhnya zakat itu kewajipan mengenai harta. Demi Allah! Sekalipun mereka hanya enggan memberikan zakat senilai tali unta yang pernah mereka berikan kepada Rasulullah (s.a.w.) akan aku perangi juga mereka.
Maka berkatalah Saiyidina Umar al-Khatab (r.a.): Demi Allah! Kini baharulah aku tahu, sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla memberi petunjuk kepada Saiyidina Abu Bakar ash-Shiddiq (r.a.) untuk berperang. Dan sekarang aku yakin, dialah yang benar.
Hadits: Shahih Muslim, Shalih Aali al-Syeikh, no. 124.
Bagi individu yang murtad dan tidak mengancam keselamatan umat Islam maka ianya tertakluk kepada kebijaksanaan dan keilmuan alim-ulama dalam negeri kemurtadan itu berlaku. Mereka hendaklah menasihat dan membantu pihak pemerintah untuk mengada dan menguat kuasakan undang-undang mengenai murtad tersebut. Perundangan murtad termasuk dalam hukum di mana ijtihad para mufti dan ulama fiqh diperlukan.
PEPERANGAN YANG DIHARAMKAN
Ada beberapa peperangan yang diharamkan di dalam Islam. Antaranya adalah haram di sisi syara` dan salah dari segi adab tentera Islam memerangi tentera Islam yang lain. Ini kerana pada hari Haji Wada` Rasulullah (s.a.w.) telah memesankan kepada kita supaya menjauhi peperangan atau berbunuhan sesama sendiri. Ini disebutkan dalam sebuah hadits:
عَنْ جَرِيرٍ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ لَهُ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ: اسْتَنْصِتِ النَّاسَ، فَقَالَ: «لاَ تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ».
صحيح البخاري ، صالح آل الشيخ ، رقم : 121
Maksudnya: Daripada Jarir bin Abdullah al-Bajali (r.a.) yang berkata: Adalah Rasululullah (s.a.w.) bersabda kepada beliau: “Himpunkanlah orang ramai.” Kemudian setelah orang ramai behimpun Rasulullah (s.a.w.) pun bersabda: “Janganlah kamu kembali kepada sifat kekafiran sesudah kewafatanku di mana sebahagian kamu membunuh sebahagian yang lain (saling berbunuh-bunuhan sesama sendiri).”
Dalam sebuah hadits yang lain ada disebutkan:
عَنِ الأَحْنَفِ بْنِ قَيْسٍ، قَالَ: ذَهَبْتُ لأَنْصُرَ هَذَا الرَّجُلَ فَلَقِيَنِي أَبُو بَكْرَةَ فَقَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قُلْتُ: أَنْصُرُ هَذَا الرَّجُلَ، قَالَ: ارْجِعْ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: «إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ». فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ! هَذَا الْقَاتِلُ فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: «إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ».
صحيح البخاري ، صالح آل الشيخ ، رقم : 31
Maksudnya: Dari Hanafi bin Qais, beliau menceritakan: Pada suatu ketika aku telah pergi untuk menolong seorang lelaki yang sedang berkelahi. Tiba-tiba dipertengahan jalan aku bertemu dengan Abu Bakrah. Dia bertanya kepadaku: “Kemanakah kamu hendak pergi?” Aku menjawab: “Aku hendak menolong seseorang yang sedang berkelahi.”
Abu Bakrah berkata: Pulanglah engkau jangan pergi menolong orang itu. Aku pernah mendengar Rasulullah (s.a.w.) pernah bersabda: “Apabila dua orang Islam berbunuhan dengan senjata di tangan masing-masing maka orang yang membunuh dan yang terbunuh masuk neraka.”
Aku (Abu Bakrah) bertanya: Wahai Rasulullah, orang yang membunuh tidak syak lagi akan masuk neraka tetapi kenapa pula orang yang kena bunuh pun masuk neraka juga? Rasulullah (s.a.w.) bersabda: “Kerana orang yang kena bunuh itu sudah tentu memang berniat untuk membunuh saudara se Islamnya.”
(Hadits: Shahih al-Bukhari, Shalih Aali al-Syeikh, no. 31).
AHLI SUFI DAN PEPERANGAN
Pada masa kegemilangan Islam dahulu, panglima tentera kebanyakannya dipegang oleh ahli thariqat muktabarah. Di Nusantara Syeikh Abdul Samad Palembang iaitu salah seorang pengamal Thariqat Samaniah telah pergi berperang untuk mempertahankan kerajaan Islam Kedah dari serangan Kerajaan Siam. Beliau juga pernah berperang dengan beraninya bersama rakannya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pengamal Thariqat Syatariah dalam mempertahankan Kerajaan Islam Fathani. Sehingga akhirnya Syeikh Abdul Samad Palembang syahid di tangan tentera Kerajaan Siam dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani terpaksa berundur dan menjadi buruan. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani akhirnya menetap dan meninggal di Mekah.
Di perbatasan Kurdistan pula sewaktu kegemilangan Kerajaan Islam Utsmaniah, angkatan tenteranya dipimpin oleh seorang panglima yang mengamalkan Thariqat Naqsyabandiyah. Ramai para pengamal thariqat muktabarah terutamanya ahli Thariqat Naqsyabandiyah yang berkhidmat sebagai anggota tentera di zaman kerajaan Uthmaniah itu termasuk di Tanah Hijaz (Mekah, Madinah dan Thaif). Sehinggalah di saat-saat akhir pemerintahan Kerajaan Islam Uthmaniah apabila sultan dan para pembesarnya telah lalai dalam bermewah-mewah, amalan kesufian mula menjauhi istana. Fahaman sekular barat yang mula berkembang dalam istana telah menghalau jauh jiwa kesufian dari lubuk hati sanubari mereka. Pegawai tinggi kerajaan dan pegawai angkatan tentera yang hidup zuhud, tawadhu` dan berjiwa murni telah tiada tempat dan sudah tidak bernilai lagi dalam pentadbiran Kerajaan Islam Utsmaniah.
Dan di Tanah Jawa sesudah Islam diterima sebagai anutan angkatan tenteranya dipimpin oleh ahli-ahli sufi. Keadaan ini berlarutan sehinggalah kepada zaman kejatuhan Islam di Tanah Jawa kerana perpecahan yang ditiupkan oleh musuh-musuh Islam. Pembesar-pembesar yang tamakkan kuasa dan pegawai yang rasuah telah meruntuhkan institusi istana. Panglima dari kalangan ahli thariqat muktabarah di Tanah Jawa yang paling ditakuti oleh pihak Portugis ialah Pateh Yunus yang disebut oleh Portugis sebagai Parte Unos.
Ramai lagi tokoh-tokoh ahli thariqat muktabarah yang menjadi panglima angkatan tentera. Nama-nama di atas adalah sebilangan yang amat kecil dari senarai mereka itu. Anda boleh membaca kisah-kisah menarik mengenai strategi peperangan mereka yang ditulis oleh ahli sejarah Islam dan pihak orientalis. Kebanyakan kaedah strategi itu diwarisi mereka dari percaturan perperangan Rasulullah (s.a.w.), Saiyidina Abu Bakar ash-Shiddiq dan Saiyidina Umar al-Khatab (r.anhuma). Sebahagian dari strategi peperangan itu dipakai oleh tentera dari negara besar pada hari ini. Termasuklah menggunakan kekuatan barisan hadapan dengan kekuatan maksima berbanding dengan strategi lama negara penakluk yang menghantar tentera berjalan kaki, tentera miskin yang lemah, tentera upahan dan hamba abdi ke barisan hadapan dan menyimpan kekuatan tentera di lapisan kedua.
Kerana ramainya ahli sufi yang menjadi anggota tentera dari barisan hadapan dan dalam berbagai pangkat maka pada masa zaman klasik dulu kita dapat melihat banyak kitab-kitab adab yang menyebut adab-adab dalam peperangan. Ini kerana bagi seorang ahli sufi itu menjaga adab adalah sebahagian dari amalan dalam thariqat. Tanpa adab gugurlah amalan thariqat dan tanpa thariqat runtuhlah kesufian. Adab-adab dalam peperangan juga adalah antara adab-adab yang tidak pernah ditinggalkan oleh ahli sufi yang mengamalkan thariqat muktabarah.
Di antara adab dalam peperangan; sebelum menyertai mana-mana peperangan ahli sufi di zaman dahulu mereka itu akan masuk ke tempat khalwat mereka dan beribadah untuk beberapa hari. Setelah itu baharulah mereka turun menghadapi musuh. Mereka akan dapat berperang dengan jiwa yang tenang, dada yang lapang dan iman yang teguh. Inilah rahsia angkatan perang seperti Wali Songo, Gerakan Sanusiyah dan tentera-tentera mereka dalam menghadapi musuh.
Sekiranya musuh sudah berada di sempadan negeri mereka akan turun sebahagiannya terlebih dahulu sementara sebahagian yang lain akan masuk berkhalwat. Ini memberi hikmah yang amat besar. Kerana apabila tentera yang berkhalwat tadi mula memasuki medan peperangan menjadikan seolah-olah pasukan tentera yang sedang dalam pertempuran mendapat tentera bantuan. Keadaan ini sedikit sebanyak akan menggentarkan musuh. (Mengenai pendapat ahli sufi yang menyebut jihad mempunyai fadhilat yang lebih baik dari khalwat itu akan dibincangkan kemudian (InsyaAllah) kerana perbahasannya agak panjang).
Setelah dunia beransur moden, kemewahan semakin merata dan teknologi persenjataan barat telah berkembang, umat Islam sudah tidak menghiraukan lagi tentang kekuatan ahli thariqat muktabarah dalam peperangan. Banyak kaedah penyusunan strategi yang dibentuk oleh tentera yang mengamalkan kesufian yang dahulunya milik istana dalam pemerintahan Islam telah jatuh ke tangan barat dan blok komunis. Dan kita terpaksa mempelajari semula taktik ahli-ahli sufi ini melalui negara-negara barat. Wallahu a`lam.
Perhatian sebentar wahai hubaya-hubaya ahli mayshadat pesbuk sekalian:
Anda bebas untuk like, share dan komen kiriman ini. Anda juga boleh edit untuk disiarkan dalam mana-mana bentuk untuk mana-mana media dan penerbitan. Anda juga bebas untuk copy & paste. Anda juga bebas untuk menyebarkannya untuk tujuan dakwah. Dan segalanya terserah pada anda atas tanggung jawab anda sendiri. Mudah-mudahan Allah memberi pahala yang banyak kepada saya, anda dan kita semua. Amin. Amin. Amin ya Rabbal `alamin.
Sehingga jumpa lagi. Wassalaaam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar