Sabtu, 26 Desember 2015

Sir Solat

Sir Solat

Ketahui olehmu 
yang dikehendaki dengan kata menghadhirkan Zat Sembahyang itu ialah Niat. 
Manakala Niat itu adalah bekas Nur Sir Kalam Allah 
yang tiada berhuruf dan bersuara ya'ni rahsia qalam qadimNya. 
Yang demikian itulah dibilangkan berkata kata kita dengannya.

Maka hendaklah kamu ketahui 
sesungguhnya tatkala mengangkat Takbiratul Ikhram itu hal keadaannya mati 
sebagaimana sabda Nabi s.a.w. pada mengisyaratkan dengan katanya:

"Mutu Qabla Anta Mutu" Matikanlah diri kamu sebelum kamu mati. 
Maka adalah maksudnya itu 
fana'kan dirimu yang kasar, 
fana'kan panca inderamu yang bangsa zahir. 

Maka tatkala itu 
disuruh tilik atau pandang dirimu yang halus atau batin 
dengan menggunakan panca indera yang batin, 
kerana adalah yang batin itu berpakaian dengan Sifat Maani, 
manakala Sifat Maani itu adalah sifat yang lazim atau tetap 
bagi Zat Allah yang Wajibal wujud lagi Baqa'. 
Maka jika telah tetaplah bahawa 
Sifat Maani itu adalah Sifat Zat Allah 
wajiblah baginya dihukumkan Maanawiyah.

Maka untuk mendapatkan kata putus 
atau putus bicara mengena'i ta'arif pada Sifat Maani dan Maanawiyah 
perlu dibicarakan dengan teliti dan halus, 
bagi memahami Sifat Maani dan Maanawiyah.

Adapun dikatakan dalam pembicaraan taarif Sifat Maani itu demikian:-

"Hiya kullu sifatin maujudatin qa'inatin bimaujudin aujabat lahu hukman."

Tiap tiap sifat yang sedia ada yang berdiri dengan Zat Yang Sedia Ada diwajibkan 
yakni ditetapkan baginya satu hukum. 
Maka dalam perkara ini Sifat Maani itu wajib dihukumkan Maanawiyah.

Manakala hakikat Sifat Maani itu adalah 
"La hiya huwa hiya ghairuhu" Sifat itu bukan Zat, tetapi tiada lain dari Zat.
(Kelakuan Sifat ini tidak berdiri dengan sendirinya 
tetapi lazim dia berdiri dengan Zat 
sebab antara zat dan sifat tidak boleh berpisah).

Adalah taarif Sifat Maanawiyah pula dikatakan:- 
"Hiyyal khaluth thabitu lizzati mada matizzatu mu'allalatin bi illatin" 
Hal yang sabit yakni tetap bagi Zat selama kekal Zat itu 
dikeranakan dengan satu kerana yakni Sifat Maani. 
Maka hakikat Sifat Maanawiyah itu " La hiya ghairuhu" Tiada lain dari Zat. 
Yang demikian nyatalah atau jelaslah sudah bahawa 
yang dihukum Maanawiyah itu adalah Sifat Maani 
atau Sifat Maani itulah Sifat Maanawiyah.

Maka hendaklah kamu ketahui dengan sempurna pengetahuan pengenalan 
bahawasanya Hakikat dirimu yang batin itu dipakaikan dengan rahsia Sifat MaaniNya. Rahsia Sifat Maani itulah Ruh Latifurrabaniah yang jadi hakikat bagi dirimu 
yang sebenar benar diri. 
Manakala adalah hakikat diri yang sebenar diri itu sebagai dzil 
yakni bayang bayang bagi kelakuan atau Sifat wujud Zat Allah yang mutlaq 
lagi tiada seumpama dengan sesuatu.

Maka ketahuilah bahawa 
tatkala mengangkat Takbiratul Ikhram itu dengan berkata Allahu Akbar 
kamu berada didalam Maqam Tauhid. 
Yang mana dituntut atas kita mentauhidkan 
akan ZatNya, SifatNya, Asma'Nya dan Af'alNya. 
Oleh kerana itulah bahawa tempat atau Maqam Tauhid kepada Allah itu 
didalam Takbiratul Ikhram pada lima waktu Solat Fardhu.

Maka untuk mendapatkan jalan Tauhid yang sebenar benarnya itu 
hendaklah kita ketahui dengan sempurna pengetahuan 
didalam bicara berkenaan Nafi dan Isbat. 
Oleh kerana didalam Nafi dan Isbat itulah duduknya Tauhid dan Ma'rifat.

Hakikat Nafi Yang sebenar.

Adapun sebenar benar hakikat Nafi itu Isbat dan hakikat Isbat itu Tauhid, 
manakala hakikat Tauhid itu Ma'rifat. 

Oleh kerana itulah sabda Nabi s.a.w.
 " La yufarriqu bainan nafi wal ithbat, man faraqa bainahuma fahuwa kafirun" 
Tiada becerai diantara Nafi dan Isbat, barang siapa memisahkan maka kafirlah dia. 

Oleh kerana hal keadaan Nafi mengandung Isbat dan Isbat mengandung Nafi, 
yang demikian bererti bilamana kamu Nafikan sesuatu yang mustahil bagi Allah, 
maka tak dapat tidak yang kamu Isbatkan itu sesuatu yang mustahil bagi Allah.
 AWAS. 
Bilamana kamu nafikan sesuatu yang haq bagi Allah 
maka tak dapat tidak yang kamu Isbat pun haq bagi Allah jua tiada lain. 
Maka faham daripada kata kata ini bahawa 
tidak syak lagi bilamana kamu Nafikan Zat kamu maka yang diisbatkan Zat Allah, 
Nafikan sifat kamu, diisbatkan Sifat Allah, 
Nafikan A'fal kamu diisbatkan A'fal Allah, 
Nafikan asma' kamu, diisbatkan Asma' Allah. 

Demikianlah adanya Hakikat Nafi/Isbat yang dikehendakki dibawa didalam sembahyang.

www.facebook.com/maulabiilah
www.facebook.com/tradezara

Tidak ada komentar:

Posting Komentar