Rabu, 22 Juni 2016

DI SEBALIK FARDU SEMBAHYANG

Rukun dan Hukum Sembahyang

DI SEBALIK FARDU SEMBAHYANG

Siapa Sebenarnya Yang Bersembahyang?
Tuan-tuan yang dirahmati Allah S.W.T sekalian. Semua orang boleh dan semua orang tahu menunaikan atau mengerjakan rukun sembahyang (rukun 13) dengan taat. Sayangnya, tidak ramai di kalangan kita yang tahu mengerjakan sembahyang. Perkara mengerjakan sembahyang dengan perkara mengerjakan rukun 13 sembahyang itu, adalah suatu perkara yang berbeza dan suatu perkara yang berlainan (sembahyang dengan rukun sembahyang itu berbeza). Perkara sembahyang dan perkara rukun sembahyang, akan kita bicarakan pada tajuk di bawah nanti. Dalam bab ini, mari kita tumpukan perhatian kepada perkara, siapakah yang sebenar-benar bersolat?
Perlu diingatkan di sini bahawa sebelum kita mendirikan sembahyang (solat), hendaklah terlebih dahulu kita mengetahui siapakah sebenar-benarnya yang bersembahyang? Untuk menentukan siapakah yang bersolat, hendaklah kita mempelajari terlebih dahulu perkara seperti berikut:
1) Sembahyang sebelum sembahyang (solat sebelum solat atau fardu sebelum fardu)
2) Sembahyang semasa sembahyang (solat semasa solat atau fardu di dalam fardu)
3) Sembahyang sesudah sembahyang (solat sesudah solat atau fardu sesudah fardu)
Sesudah kita benar-benar tahu akan ketiga-tiga perkara di atas, barulah boleh dikatakan yang kita ini benar-benar sembahyang. Barang siapa yang berhajat untuk mengetahuinya, mari kita sama-sama ikut pelayaran ilmu ini
siapakah yang bersolat sebelum kita solat? Siapakah terlebih dahulu mengerjakan sembahyang, sebelum tuan-tuan bersembahyang? Bolehkah solat kita itu, dibuat-buat sendiri, ditetapkan, dikerjakan atau diperlakukan dengan kuasa diri kita sendiri?
Bolehkah kita berkuasa untuk berdiri mengerjakan solat, jika tidak “terlebih dahulu didirikan”? Siapakah yang mendirikan kaki tuan-tuan, sebelum tuan-tuan berdiri, siapakah yang mendatangkan gerak sebelum tuan-tuan bergerak untuk bersembahyang? Siapakah yang menetapkan tuan-tuan untuk mengerjakan sembahyang? bolehkah kaki kita ini berdiri tanpa didahulukan oleh berdirinya Allah S.W.T? Bolehkah kita berniat, sebelum diniatkan terlebih dahulu oleh Allah S.W.T? Bolehkah kita rukuk, sebelum terlebih dahulu dirukukkan oleh Allah S.W.T? Siapakah yang memulakan pekerjaan sembahyang, jika tidak dimulai oleh Allah.
Adakah kuasa sembahyang itu, kita? Adakah yang memulai sembahyang itu, kita? Adakah yang rukuk itu, kita? Adakah yang sujud itu, kita?, mana kuasa, mana kudrat dan mana kehendak serta kemahuan kita? Jika tidak digerakkan, dimulai dan jika tidak bermula dengan kudrat dan iradat Allah. Jika tidak dengan kehendak, kemahuan dan cita rasa kudrat dan iradat Allah, bolehkah kita bersembahyang?
Sebelum kita bersembahyang, sebenarnya Allah S.W.T telah terlebih dahulu mendirikan sembahyang kita di Luh Mahfuz. Sebelum kita beranak atau sebelum kita dilahirkan ke dunia ini, sebenarnya kita telah pun didirikan oleh Allah S.W.T untuk bersembahyang. Berdirinya kita untuk bersembahyang, sebenarnya adalah berdiri yang telah Allah S.W.T dirikan. Kita sebenarnya telah ditetapkan oleh Allah S.W.T untuk mendirikan sembahyang, semasa di dalam kitab Luh Hul Mahfuz. Allah S.W.T telah terlebih dahulu mendirikan kita untuk bersolat, semasa di alam sebelum kita dilahirkan, Allah S.W.T sudah mendirikan kita sembahyang, semasa di dalam perut ibu lagi.
Jika tidak ditetapkan oleh Allah S.W.T di dalam Luh Hul Mahfuz, masakan kita boleh berdiri sembahyang. Pekerjaan sembahyang yang kita laksanakan itu, adalah pekerjaan yang telah siap dikerjakan oleh Allah S.W.T, sedari di alam Luh Hul Mahfuz. Perbuatan kita itu, sebenarnya bukan atas ketetapan atau kerajinan kita. Kita hanya mengikut garis yang telah Allah S.W.T tetapkan sedari dahulu. Kita hanya lalu, hanya ikut dan hanya turuti apa yang telah ditetapkan olehNya.
Kita hanya ikut apa yang sudah Allah S.W.T tetapkan. Pekerjaan sembahyang yang kita dirikan itu, bukan pekerjaan baru atau bukan perbuatan baru, ianya telah sedia ada di dalam kitab Luh Hul Mahfuz. Kita ini, hanya ajuk atau hanya sekadar melakonkan semula skrip yang telah disiapkan oleh Allah S.W.T. Kita seolah-olah melakukan pekerjaan yang telah siap dikerjakan oleh orang lain. Apakah boleh kita mengaku yang sembahyang itu kita punya? Apakah boleh kita mengaku yang mengerjakan sembahyang itu, kita?
Kuasa kaki untuk berdiri sembahyang milik orang. Kehendak untuk berniat sembahyang, milik orang. Yang menggerakkan solat, milik orang. Setelah semua seisi solat itu, milik orang, mana yang dikatakan bersolat itu kita?
adakah diri tuan-tuan itu, masih bersifat ada? Tidakkah sifat ada itu, hanya bagi Allah S.W.T? Bilamana Allah S.W.T bersifat ada dan tuan-tuan juga bersifat ada, tidakkah telah ada dua sifat wujud? Menduakan sifat Allah S.W.T itu, hukumnya syirik. Barang siapa yang menduakan Allah S.W.T, dosanya tidak akan diampun olehNya?
Sekiranya tuan-tuan sudah tidak ada, siapakah yang mengerjakan sembahyang? Hendak kata kita ada, bermakna kita telah menduakan sifat Allah S.W.T. Hendak kata tidak ada, yang membaca tulisan saya ini siapa? Hendak kata ada, salah dan hendak kata tidak ada pun salah. Hendak kata ada, seperti tidak ada dan hendak kata tidak ada, seperti ada. Bagaimanakah kesudahannya pegangan kita?
Siapakah sebenar-benarnya yang bersifat ada? Apakah yang ada itu, kita atau yang ada itu Allah S.W.T ataupun kedua-duanya dan adakah sekejap ada kita atau sekejap ada Allah S.W.T? Siapakah yang hendak mengerjakan sembahyang, sekiranya diri kita sudah tidak ada? Sekiranya tidak ada, ke mana perginya diri kita? Sekiranya kita mengaku bahawa diri kita ada dan Allah S.W.T juga ada, bermakna sudah kita adakan dua sifat Allah S.W.T. Di mana tempat duduknya iktikad kita? Beriktikad itu, biarlah putus.
Bagi mendirikan sembahyang itu, hendaklah dengan mengunakan anggota kaki. Sekiranya tidak berkaki, bagaimana hendak berdiri? Siapakah pemilik anggota kaki kita?. Dalam geran asal (dalam rekod kad pendaftaran yang asal), siapakah sebenarnya yang menjadi pemilik asal yang sah kepada anggota kaki kita,
Inilah yang hendak kita perhatikan, hendak kita tilik dan hendak kita amati betul-betul sebelum mengerjakan solat, supaya solat kita itu dikerjakan dengan kaedah yang betul (benar), tidak salah atau dikerjakan dengan cara sebenar-benar mengikut yang dikehendaki oleh solat, bukan hanya sekadar mengerjakan perbuatan sembahyang (mengerjakan perbuatan rukun 13).
Mari saya sebut lagi sekali, sekiranya segala anggota tubuh badan (diri) kita ini adalah hak kepunyaan Allah dan hak milik Allah, apakah lagi yang berbaki untuk kita, yang tersisa dan yang tertinggal untuk kita? Di sini bererti bahawa segala jasad tubuh badan kita ini, adalah milik Allah, sekiranya segalanya milik Allah, bererti sebesar zarah sekalipun, tidak ada hak kita, tidak ada milik kita dan tidak ada kepunyaan kita.
Yang ada, yang wujud dan yang maujud itu, adalah hanya Allah, hanya Allah dan hanya Allah.
Bahawa sesungguhnya wal awallu, wal akhiru, wal zahiru dan wal batinu itu, adalah Allah. Setelah segalanya telah kembali kepada Allah, manakah lagi adanya diri kita? Itulah sebabnya yang dikatakan berdiri kiam semasa berdiri solat itu, adalah dikatakan berdiri kiam (berdiri mati). Kiam itu, adalah bererti mati. Bila saja kita berdiri solat, itu adalah bererti kita berdiri mati atau bermaksud kita mati.
Semasa berdiri untuk bersolat itu, bererti diri kita sudah mati, iaitu hendaklah dimatikan diri kita atau diserah kembali diri kita kepada Allah. Setelah segalanya telah kita serah kepada Allah, itulah yang dimaksudkan dengan perkataan kiam (mati). Kiamkan dirimu di kala bersolat itu, adalah bererti hendaklah kita matikan diri di kala bersolat. Setelah kita berdiri kiam atau berdiri mati, mana mungkin ada lagi gerak kita. Seandainya kita masih mengaku kita yang bergerak (mengerjakan solat), bererti kita masih hidup, sedangkan makna, maksud atau erti perkara berdiri kiam itu, adalah merujuk kepada maksud “berdiri mati”. Bilamana berdiri mati, bererti kita mati, setelah kita mati, jadilah segala perbuatan solat itu, bukan lagi dikatakan kita, melainkan segalanya adalah kudrat dan iradat Allah
RUKUN DAN HUKUM SEMBAHYANG
Selain dari rukun 13, sembahyang itu ada hukumnya. Hukum sembahyang itu ada 3 perkara, iaitu seperti berikut:
1) Hukum Fekli
2) Hukum Qauli
3) Hukum Qalbi

Di sini tidak bertujuan untuk kita membicarakan soal rukun 13, kerana rata-rata di antara kita kebanyakannya sudah maklum dan sudah mengerti perkara rukun 13. Mari kita guna ruangan yang terhad ini, untuk memberi lorong kepada “hukum sembahyang” dalam tafsiran ilmu makrifat.
1) Hukum Fekli
Soalan:
Apakah maksud, makna atau erti hukum fekli?
Jawapan:
Makna, maksud atau eri hukum fekli itu, adalah perkara “perbuatan” dalam solat. Persoalan perbuatan atau gerak geri dalam sembahyang itu, semua orang tahu dan semua orang mengerti untuk melakukannya. Seumpama berdiri, takbir, rukuk, sujud dan sebagainya itu, adalah dikenali sebagai perbuatan sembahyang. Apa yang kita lakukan di ketika bersolat itu, itulah yang dikatakan hukum fekli atau perbuatan sembahyang. Perbuatan sembahyang itu, adalah suatu perbuatan atau pekerjaan gerak tubuh yang boleh dilakukan oleh siapa sahaja, tidak kira kanak-kanak, dewasa, orang tua, oleh bangsa lain atau yang boleh dilakukan oleh agama-agama lain.
2) Hukum Qauli
Soalan:
Apakah maksud, makna atau erti hukum qauli?
Jawapan:
Hukum qauli itu, adalah bermaksud, bermakna dan bererti bacaan, iaitu bacaan surah-surah atau ayat-ayat suci Al-Quran. Barang siapa yang hafal surah Al-Fatihah, sekalipun surah-surah lazim, ianya sudah memadai untuk dibuat sembahyang. Dihafal bacaan rukuk, iktidal, sujud, antara dua sujud, tahayat dan salam, ianya sudah memadai untuk dibaca ketika dalam bersolat.
3) Hukum Qalbi
Soalan:
Apakah maksud, erti dan makna hukum qalbi?
Jawapan:
Hukum qalbi itu, adalah bererti, bermakna dan bermaksud bahawa solat itu bukan sahaja tertakluk kepada perbuatan dari anggota tubuh atau bacaan dari anggota bibir sahaja. Bersolat (bersembahyang) dengan hukum qalbi itu, adalah bersembahyang yang berserta dengan perbuatan batin dan bacaan batin. Berniat dengan batin (rohani), berdiri dengan batin (rohani), bertakbir dengan batin (rohani), rukuk dan sujud dengan batin (rohani). Perbuatan (pergerakan) zahir itu, hendaklah juga berserta, bersama dan bergandingan dengan perbuatan (pergerakan) batin (perbuatan rohani).
Soalan:
Hukum qalbi itu, terbahagi kepada berapa peringkat?
Jawapan:
Hukum qalbi itu, terbahagi kepada tujuh peringkat, tujuh bahagian atau tujuh tangga. Bahagian, peringkat atau tangga itu, adalah terdiri daripada perkara:
1) Qosad
2) Takrukh
3) Takyin
4) Ehram
5) Mikrah
6) Munajat
7) Tabdi

Tidak ada komentar:

Posting Komentar