Nafsu . Akal Menutupi Nur Makrifat
Firman Allah :
“Dan pada dirimu itu, mengapakah kamu tidak melihat (tanda-tanda dan bukti kebesaranNya)?” (Adz-Dzaariyaat : 21)
Awal agama adalah mengenal Allah, awal mengenal Allah adalah mengenal
diri. Kata ‘arifbillah: “Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka
mengenal ia akan Tuhannya. Sesiapa yang mengenal Allah, maka binasalah
(fana) dirinya.”
Firman Allah diatas
sebagai pembuka segala rahsia dalam rahsia. Hanya Allah wajibal wujud
dan Dia wujud pada DzatNya. Adapun sekelian wujud yang lain bukan wujud
pada dzatnya, tapi wujudnya diwujudkan oleh Allah. Makhluk diwujudkan
Allah untuk menunjukkan sifat Keagungan dan KebesaranNya.
Firman Allah dalam hadis Qudsi :
ﻛﻨﺖ ﻛﻨﺰﺍ ﻣﺨﻔﻴﺎ ﻓﺄﺭﺩﺕ ﺃﻥ ﺃﻋﺮﻑ ﻓﺨﻠﻘﺖ ﺍﻟﺨﻠﻖ ﻟﻴﻌﺮﻓﻮﻧﻲ
“Aku adalah ‘Kanzun Mahfiyyan’ (yang terpendam dan tertutup). Aku ingin
ditemukan dan dikenali. Kuciptakan makhluk agar mereka mengenalKu.”
Makhluk dan diri kita tiada lain melainkan ayat-ayat Allah untuk
menunjukkan DiriNya. Pada kita Dia menunjukkan wujudNya, menunjukkan
SifatNya, menunjukkan Asma’Nya dan menunjukkan Af’alNya. Maka
barangsiapa yang melihat dirinya dan alam tanpa melihat ‘wajah Allah’,
mereka adalah golongan yang terdinding dengan waham (kegelapan awan
nafsu dan khayalan akal).
Mereka adalah golongan yang syirik dalam
penglihatan, pendengaran, sentuhan, pemikiran dan perasaan apabila hal
tersebut tiada berhubung atau bertali simpul dengan Allah. Melihat diri
dan alam tanpa melihat ‘wajah Allah’ bersamanya adalah jahil murakab;
Yakni jahil pada Tuhannya, tiada mengenal Ketunggalan sifat Allah dan
jahil pada dirinya yakni tiada mengenal hak pada dirinya!
Firman Allah :
“Dimana kamu hadap di situlah wajah Allah SWT.” (Al-Baqarah : 115)
Berkata Syaikh Ibnu ‘Athaillah Askandary dalam Syarah Hikam:
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa sesuatu itu mendindingkanNya
sedangkan Dialah jua yang menzahirkan tiap-tiap suatu daripada tiada
kepada ada.”
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa sesuatu itu mendindingkanNya sedangkan Dialah yang telah zahir dengan tiap-tiap sesuatu.”
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa sesuatu itu mendindingkanNya
sedangkan Dialah jua yang telah zahir dalam tiap-tiap sesuatu dengan
KudratNya dan dengan KeagunganNya daripada segala SifatNya.”
La ilaahaa illaLlah wahdahu laasyariikalah…Tiada tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu yang lain disisiNya!
Hak jasad adalah kaku terbujur yang tiada dapat berfungsi apa-apa
walaupun ada mata, telinga, mulut, hidung, tangan, akal dan hati. Ia
tidak dapat menepis walau seekor lalat atau nyamuk jika hinggap padanya.
Ia bisu, buta, pekak, tiada bernafas, bodoh, lemah dan tiada kehendak.
Tiada siapa mahu menyimpan jasad kaku ini dalam rumah walaupun di
kalangan ahli keluarga yang amat menyayanginya.
Jasad adalah sarung
untuk diri kita (ruh) di alam dunia ini. Diri kita telah beribu tahun di
alam ruh memuji dan memandang Allah mengikut kadar yang diizinkan. Maka
sampai saat Allah mahu diri kita melihat dan memujinya di alam zahir,
maka diri kita dimasukkan dalam sarung badan manusia dari pelbagai jenis
keturunan yang berlainan warna kulit, bentuk badan dan sebagainya.
Diri kita di alam ruh telah mengenal Allah dengan pandangan yang dibuka
secara kasyaf dan memuji Allah dengan Nur Allah. Diri kita (ruh) juga
adalah kaku, tiada baginya sifat melainkan Allah persifatkan ia dengan
diperlihatkan, diperdengarkan, diperkalamkan, diperhidupkan,
diperkehendakkan, diperilmukan dan diperkuasakan tanpa alat zahir
seperti mata, telinga dan lainnya. Apabila ia dimasukkan dalam sarung
badan manusia, maka segala alat anggota badan berfungsi dengan kadar
yang ditentukan sesuai di alam zahir pula. Tiada tujuan lain kita
dimasukkan dalam badan yang lengkap dengan alat-alat tersebut melainkan
agar tetap bertauhid dan bertasbih padaNya.
Firman Allah :
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." (adz-Dzaariyaat : 56)
Kita diperintah mentauhidkan DiriNya dalam pandangan, dalam
pendengaran, dalam pernafasan, dalam rasa, dalam sentuhan dan dalam
gerak diam.
Firman Allah :
“… Maka ke mana pun kamu menghadap disitulah wajah Allah.” (al-Baqarah: 115)
“Dan Allah bersama kamu di mana sahaja kamu berada.” (al-Hadid : 4)
“Allah menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat." (as-Shofat : 96)
Begitu juga kita diwajibkan mentauhidkan DiriNya dalam perbuatan yang
merangkumi aspek kesyumulan kehidupan insan sama ada dalam ibadah,
pendidikan, perubatan, pekerjaan, perniagaan, makan dan minum,
perkahwinan, politik, perundangan, hiburan, pergaulan, akhlak, budaya
dan lainnya.
Namun apabila diri kita berada dalam badan, segala
makrifat kita telah terdinding oleh dua daging iaitu daging pada kepala
(otak) dan daging pada sebelah kiri (jantung). Pada otak dinamakan akal
dan pada jantung dinamakan nafsu. Akal membawa kita kepada ketuhanan
logik (Muktazilah) dan nafsu mengajak kita kepada ketuhanan diri
(Qadariah).
Segala maklumat Alam Ruh, Alam Jabarut dan Alam Malakut
tersimpan kukuh dalam sirr sanubari setiap insan. Ia tiada hilang dan
perlu dibuka kembali agar tiada tertipu dengan keindahan dunia dan
mengingatkan kembali asal dirinya.
Al-Quran dan Hadis adalah cahaya
yang memberi petunjuk bagi segala rahsia dalam rahsia. Ia memberi
jawaban kepada persoalan dari mana asal manusia, apa tujuannya di alam
ini dan ke mana mereka akan pergi selepas ini. Ia membuka rahsia alam di
sebalik alam yang tiada dapat dicapai dengan akal manusia yang amat
terbatas.
Bermula alam tiada, diciptaNya qalam, alam ruh, alam
malaikat, alam jin dan syaitan, alam zahir, alam barzakh dan alam
akhirat. Sesiapa yang berpegang dengan petunjuk keduanya (Al-Quran dan
Hadis) dan memahami tafsiran keduanya mengikut jalan para ulama yang
Haq, nescaya mereka akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar