Senin, 27 Juni 2016

KEHAMBAAN

KEHAMBAAN.
 
Kalau engkau ingin memuji
Pujilah akan Tuhanmu dengan sebenar puji-pujian
Kalau engkau ingin mengabdi
Abdikan dirimu kepada Tuhanmu dengan kehambaan sejati

Sesungguhnya 
ibadah itu bermaksud pengabdian dalam kehambaan
Tidak dinamakan ibadah tanpa ada rasa kehambaan 

kepada Sang Khaliq di dalamnya.

Sekadar engkau beribadah 
hanya untuk melepaskan tanggungjawabmu 
dan berbuat hanya seperti melepaskan batuk ditangga 
tanpa rasa kehambaan dalam ibadahmu, 
maka itulah kesia-siaan namanya

Tiada dijadikan jin dan manusia melainkan supaya mengabdi kepadaNya
Maka setiap pekerjaanmu 

akan menjadi ibadah jika engkau menyadari dan memahami 
bahawa engkau adalah seorang hamba 
yang mengabdikan hidupmu kepada Tuhan
Sebaliknya 
andai engkau beribadah sekalipun 
namun tiada rasa kehambaan 
dan engkau berbuat itu 
hanya ingin di pandang atau dipuji oleh manusia 
atau ingin mengejar pangkat gelaran 
maka itu bukanlah ibadah namanya hanya kepura-puraan 
dan kehampaanlah sudahnya.

Sadarlah 
bahawa konsep kehambaan atau pengabdian itu 
bukan hanya dalam solatmu, puasamu atau apa -apa ibadah yang engkau kerjakan
Namun 

kehambaan itu adalah dari bermulanya nafas pertamamu atas dunia 
sehingga ke akhir nafasmu , 
sentiasa engkau menyadari dan mengingati akan Tuhanmu 
di segenap perkara dan segenap ketika, 
tiada sedetik engkau memutuskan tali kehambaanmu kepada Tuhanmu itu.

Kerana kehambaan dirimu bukan hanya ketika ibadah saja,
 namun setiap saat dan detik hidupmu itu adalah 
dalam kehambaan kepada TuhanMu, 
baharulah segala pekerjaanmu akan digelar ibadah 
bukan hanya membaca Bismillah sahaja 
namun merasakan kehambaan itulah sebenar hakikat ibadah.

Mengertilah akan persoalan ini 
dan jangan lagi terkeliru bahawa 
engkau adalah hamba Tuhan 
walau dimana engkau berada dan 
walau apa taraf darjatmu atas dunia ini

Jangan engkau memisahkan dirimu dari pentadbiran Tuhan atas dirimu 
dan jangan engkau sesekali merasa bahawa 
engkau berupaya berbuat sesuatu mengatasi upaya Tuhan atas dirimu...

Dan engkau memisahkan kehambaan dirimu dari Tuhan di luar ibadahmu 

kerana menyangka kehambaan itu hanya dalam ibadah solat, puasa dan lainnya...
maka itu keliru namanya.

Dan sadarlah juga 
bahawa tidak akan ada kehambaan sebelum engkau berserah diri 
dan meletakkan pergantungan dirimu kepada As Somad Tuhanmu

Sesungguhnya 
jika engkau menyadari akan kehambaanmu itu 
dalam segala niat, gerak lakuanmu dan 
senantiasa dalam pasrah kepada Tuhan, 
maka itulah ibadah, 
baharulah engkau dinamakan seorang hamba Tuhan 
yang mengabdikan diri dalam kehambaan sejati.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar