Jumat, 04 Desember 2015

Jalan Makrifat - Pesanan Guru

Pembersihan Jiwa untuk mencapai makrifat.


Para Anak-anakku Sekalian,

Untuk membolehkan dirimu terbang ke alam makrifat, kamu perlu bermujahadah dengan melepaskan diri kamu dari kegelapan selubung jasad ini, kerana ia menyebabkan kamu kelam dan lupa, menyebabkan kamu menjadi lemah dan jahil. Roh kamu dimasukkan ke dalamnya ketika sempurna ciptaannya. Firman Allah SWT, “Maka apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan padanya Roh-Ku, maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya.”


Jasad mengandungi empat unsur iaitu api, air, tanah dan angin. Ia bersifat haiwani dengan naluri berkehendak kepada makan-minum, tidur, syahwat dan bersukaria. Pengembara rohani perlu melemahkan kurungan ini dengan mengurangkan makan, tidur serta keselesaannya. Puasa sunat adalah bagi orang awam yang menuntut pahala, puasa ahli KeTuhanan pula bertujuan untuk meleburkan pengaruh jasad pada rohani sehinga rohaninya menjadi kuat. Mereka bukannya mencari pahala tetapi mencari Tuhan. Selagi kehidupan jasad lebih kuat menguasai kehidupannya, janganlah diharap terpancar rahsia KeTuhanan kepada rohaninya. Janganlah kamu menjadi golongan yang berangan-angan, bercita-cita tinggi tetapi seorang dayus untuk berjuang dan berkorban.

Pada diri kamu juga telah dibekalkan nafsu yang menguasai dirimu dan akan menghalang dirimu untuk menuju kepada Allah, penolongnya adalah syaitan. Ulama tasauf telah membahagikan nafsu kepada tujuh martabat iaitu nafsu Ammarah ditingkat yang paling rendah dan al-Kamil pada peringkat yang tertinggi. Nafsu ammarah cenderung kepada kejahatan, ia tidak merasa apa-apa apabila melakukan kejahatan atau kebaikan.

Nafsu boleh ditingkatkan dengan zikir dan mujahadah. Berzikir tanpa bermujahadah melambatkan proses pembersihan hati, begitu juga bermujahadah tanpa berzikir juga tidak memberi kematangan pada diri kamu dalam perjalanan ini. Kesan dari zikir dan mujahadah yang bersungguh-sungguh akan membantu berlakunya peningkatan kepada kerohanian. Kamu akan merasa perubahan pada jiwa dan yang paling penting hati telah hidup dengan Allah dan jiwa kamu boleh melihat keaiban diri sendiri.

Apa yang kamu perlu lakukan sebelum berbaiah dengan guru ialah bertaubat dari segala dosa-dosa yang besar. Perjalanan ini amat menekankan penumpuan kalimah Allah kepada jantung dengan bersungguh-sungguh. Isikan setiap gerak jantung dengan kalimah Allah sehinggalah ia benar-benar meresap kepada jantung hati. Kalau pada peringkat permulaannya ia merasa payah untuk melakukan hal demikian, banyakkan zikir jihar sama ada secara berseorangan atau berjamaah. Jika tidak merasai apa-apa kesan juga, perlu meneliti dimanakah hijabnya, pandangkan dosa-dosa yang dilakukan apatah lagi yang berkaitan dengan manusia.

Diam, lapar dan banyak bersendirian amat ditekankan dipermulaan perjalanan ini. Kamu perlu mempunyai keazaman yang kuat untuk makrifat dengan-Nya. Guru hanya menunjuk jalan bagaimana kaedah yang perlu dilakukan, sedang pada dirimulah terletak segala kemahuan dan kejayaan, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika ia mengubahnya sendiri”.Hal makrifat adalah urusan kamu dengan Tuhanmu, berdirilah dipintu-Nya dengan penuh kefakiran dan kecintaan. Hanya hati yang benar-benar kuat dengan perasaan rindu dan cinta akan dapat menerobos benteng rahsia-Nya. Firman Allah, “…Hanya dengan kekuatan kamu boleh naik ke langit”.

Bersungguh-sungguhlah dengan dengan latihan ini, walaupun pada permulaannya terasa payah, tetapi ingatlah janji Allah SWT, “Barang siapa yang bersungguh dijalan-Ku nescaya Aku tunjukan jalan bagi mereka”. Apabila datangnya pertolongan Allah, itulah natijah di mana segala kepayahan yang kamu alami selama ini akan menjadi ringan dan kamu akan merasai kenikmatan padanya. Kamu akan dibantu dalam mujahadahmu memerangi hawa nafsu, hatimu akan dicahayakan dengan kemanisan asyik dengan Asma’ Allah. Kalimah Asma’-Nya hidup dalam jantung hatimu tanpa dipaksa-paksa, ia berbunyi pada telinga batinmu dan terang pada mata rohanimu. Ketika itu tidur, makan atau berbicara dengan manusia menjadi musuhmu. Inilah yang disebut oleh hadis Nabi SAW, “Sesiapa yang mencapai kemanisan iman, ia akan meninggalkan perkara yang tiada memberi manfaat kepadanya.” Inilah permulaan untuk berlakunya perubahan yang lebih hebat.

Kuatkan lagi zikirmu, meditasi (tafakur), ibadah dan mujahadah sehingga berlakunya perubahan pada hati. Ketika itu kamu akan merasa dan melihat berlakunya perpindahan kelazatan zikirmu ke tempat yang berlainan. Ia akan hidup dalam seluruh dadamu sama ada di kanan, kiri, tengah, atas dan bawah. Ada ketikanya ia terus naik ke ubun-ubun dengan kalimah zikir yang berlainan. Hal ini berlaku disebabkan pertukaran alam rohani. Ia bukan sengaja ditukar atau dilatih begitu. Kamu akan melalui 12 maqam zikir dan muraqabah yang tersusun sehingga kamu akan mencapai pelbagai hal ehwal kerohanian yang begitu hebat dan asyik. Penyusunan perjalanan zikir itu adalah sama dengan ibarat kamu mengerjakan haji di mana kamu melalui 12 tempat. Kaabah isyarat bagi hati dan di situlah bermulanya safar (musafir) rohanimu .

Amalan kerohanian 

Pembersihan untuk mencapai hakikat Ketuhanan melalui jalan zikir, yakni latihan yang berterusan serta penumpuan.

Semoga Allah SWT memberi kamu kefahaman akan jalan yang dibawa dan menjadi orang yang benar-benar beramal dengannya. Semoga Allah sentiasa merahmati kita dan mengampuni dosa kita jika di sana adanya hawa nafsu yang tersembunyi. Tekunlah beramal dengan amalan yang dibai’ahkan. Tumpukan bersungguh-sungguh ke arah qalbu (jantung)mu dengan kalimah Allah. Hidupkan ia sentiasa, walau bagaimana sekalipun keadaan kamu dan di mana kamu berada. Jika terasa lalai, beristighfarlah dengan segera, jadikan kecintaan menyebut nama-Nya sebagai keutamaan sehingga hati kamu menjadi istiqamah dengan asma’-Nya.

Setiap asma’ yang akan terlimpah pada hatimu penuh dengan keasyikan, kamu akan rasai dzauk yang berbeza. Setiap asma’ juga mengandungi muraqabah yang tersendiri. Jadikan diri kamu benar-benar memperolehi maqam dalam kerohanian. Setiap maqam rohanimu mengandungi hal yang berbeza. Bersungguh-sungguhlah kamu mencapainya dengan sentiasa bertaubat, menjaga syariat dengan baik, menjaga makan minum dengan teliti, jaga tutur-katamu, jaga penglihatanmu, kuatkan amalan sunat, biasakan berlapar, banyakkan tadabur Al-Quran dan qiam di malam hari. Di mana saja kamu berada, rendahkan hatimu, cintailah majlis ilmu, muliakanlah ulama-ulama, para hafiz, para syeikh dan khalifah sufi yang benar, para mujahid, para pendakwah yang ikhlas, pemimpin yang baik dan orang-orang yang soleh.

Tekunlah berzikir, sebaik-baiknya kamu memperuntukkan masa yang lama untuk berzikir sama ada zikir secara jihar atau sirr. Tambahkan tempoh masa zikirmu dari semasa ke semasa, gunakan masa luangmu untuk menumpukan rohanimu pada Tuhan, biarkan ia mengembara ke Alam KeTuhanan. Kamu mesti memperuntukkan waktu untuk berkhalwat dalam sebulan sebaik-baiknya tiga hari dan sekurang-kurangnya sehari.

Pada hari-hari biasa, waktu khalwat yang baik ialah pada waktu antara Maghrib dan Isyak atau pada jam 4 pagi hingga subuh, atau selepas subuh sehingga matahari naik atau lepas solat asar. Ia mengandungi rahsia rohani jika diamalkan. Pilihlah waktu mengikuti kesesuaian dirimu. Lebih lama masa yang diperuntukkan adalah lebih baik. Bagi ahli sufi, kurang lima jam berzikir masih lagi dianggap bermain-main. Ia tidak akan memberi kesan yang hebat pada dirimu. Oleh itu, peruntukkan masamu dengan baik seperti mencintai khalwat kerana ia membolehkan kamu memberi tumpuan yang baik tanpa ada gangguan.

Segalanya bergantung pada diri kamu. Dalam amalan kerohanian, tiada istilah ‘orang lama’ atau ‘orang baru’. Walaupun seseorang itu baru, jika dia bersungguh-sungguh beramal dan bermujahadah, dia mampu memperolehi natijah yang hebat berbanding orang lama yang malas bermujahadah. Begitu juga, murid boleh mengatasi guru dalam kerohanian, semuanya dalam kudrat Illahi untuk melimpahkan kurniaan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Pengamalan yang bersungguh-sungguh akan melahirkan natijah pada kamu dari segi kerohanian. Jika berlaku hal-hal yang berkaitan dengan kerohanian sama ada dalam bentuk mimpi, ilham, kasyaf, pertukaran zikir atau perasaaan dzauk atau datang pengajaran dari alam ghaib, ia perlu dirujuk kepada guru. Jangan terus diamalkan arahan yang berbentuk zikir atau wirid atau pengajaran yang menerangkan rahsia KeTuhanan kerana dibimbangi ia datang dari alam tipu daya iaitu syaitan dan jin.

Setiap perubahan zikir adalah di bawah pendidikan dan pengawasan Guru. Murid jangan sesekali memindahkan maqam zikirnya sendiri kerana ia tiada memberi natijah kerana setiap perpindahan mengandungi hal ehwal tertentu dari segi dzauk dan muraqabah. Semoga Allah memberi kekuatan untuk beramal dan bermujahadah.

Pesanan dari Syeikh Tokku Ibrahim Mohamad

Tidak ada komentar:

Posting Komentar