Rabu, 09 Maret 2016

MATA HATI

| MATA HATI ialah mata bagi hati atau boleh juga dikatakan kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati yang dipanggil BATIN dalam keadaan ghaib atau dipanggil KALBU atau hati.
Hati yang dimaksudkan bukanlah seketul daging yang berada di dalam tubuh. Ia merupakan HATI ROHANI atau HATI SENI. 
Ia termasuk di dalam perkara- perkara ghaib yang diistilahkan sebagai LATIFAH RABBANIAH atau hal yang menjadi Rahsia Ketuhanan.
Apabila di dalam keadaan suci bersih ia dapat mendekati Tuhan dan ia adalah suatu utama yang dinilai oleh Allah iaitu niat atas sesuatu amalan itu.
Hati rohani ini juga memiliki nyawa yang dibahasakan sebagai ROH. Mata hati juga mempunyai sifat yang berkemampuan mencetuskan pemahaman dan pengetahuan yang dipanggil AKAL yang juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah yang tidak mampu dihuraikan.
Akal jenis ini berguna bagi pengajian tentang ketuhanan. Batin juga mempunyai deria yang mengenal perkara ghaib dan deria ini dinamakan BASIRAH atau MATA HATI yang syuhud atau menyaksikan kepada yang ghaib.
CONTOH: 
Bila diletakkan pada lidah terasalah manisnya. Ketika menikmati kemanisan itu kita seolah-olah memandang jauh kepada sesuatu yang tidak ada di hadapan mata. Kelakuan merenung jauh itu sebenarnya adalah terjemahan kepada perbuatan mata hati memandang kepada hakikat gula iaitu manis. Bagaimana rupa manis tidak dapat diceritakan tetapi mata hati yang melihat kepadanya mengenal bahawa gula adalah manis. Mata hati yang hanya berfungsi setakat mengenal manis, tajam, pedas dan yang seumpamanya masih dianggap sebagai mata hati yang BUTA kerana mata hati hanya dianggap celik sekiranya ia mampu melihat urusan ketuhanan di sebalik yang nyata dan yang tidak nyata.
Kekuatan suluhan mata hati bergantung kepada kekuatan hati itu sendiri. Semakin bersih dan suci hati bertambah teranglah mata hati.
Fungsi mata hati ialah melihat yang hakiki. Mata hati yang mampu melihat dunia secara keseluruhan sebagai satu wujud akan mengenali apa yang hakiki tentang dunia itu. Oleh sebab penyaksian mata hati bersifat tidak dapat dinyatakan secara terang, mata hati berfungsi mengenal perkara yang ghaib.
Makrifat atau pengenalan kepada keabadian atau hari akhirat akan melahirkan kesungguhan pada menjalankan amanat Allah s.w.t iaitu mengerjakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya. 
Amanat itu akan terus dibawa oleh para hamba untuk diserahkan kembali kepada Allah s.w.t yang meletakkan amanat tersebut kepada mereka.
Makrifat mata hati yang demikian melahirkan sifat takwa dan beramal salih. Apabila takwa dan amal salih menjadi sifat seorang hamba maka masuklah hamba itu ke dalam jaminan Allah s.w.t.
Wallahu 'alam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar