2: NABI MUHAMMAD S.A.W INSAN FITRAH.
Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang manusia fitrah
yang sejak awal kejadian baginda s.a.w sentiasa bergerak
di atas landasan fitrah insan yang suci murni.
Fitrah yang suci bersih lagi murni akan mencetuskan perjuangan
dalam jiwa apabila insan itu dibaluti oleh suasana
yang penuh dengan kemunkaran,
kezaliman,
penyembahan berhala dan benda-benda alam,
perebutan kuasa,
kegilaan kepada harta dan
berbagai-bagai adat serta kebudayaan
yang menyimpang jauh daripada sifat fitrah yang asli.
Perjuangan dalam jiwa Nabi Muhammad s.a.w sampai ke kemuncaknya
apabila baginda s.a.w mencapai usia 36 tahun.
Kejahilan, kesyirikan, kekafiran, kemunkaran dan kezaliman yang berleluasa
di dalam masyarakat menjadi beban yang sangat berat
menghimpit jiwa fitrah baginda s.a.w.
Tekanan tersebut menjadi lebih kuat lantaran segala kerosakan itu terjadi
kepada orang-orang yang hampir dengan baginda s.a.w,
kaum keluarga dan masyarakat yang sama keturunan dengan baginda s.a.w,
sedangkan jalan untuk menyelamatkan mereka tidak terbuka.
Jiwa fitrah yang sangat mengasihi sesama manusia
sangat menginginkan keselamatan dan kesejahteraan kepada sekalian manusia.
Jiwa yang seperti inilah yang selalu menderita
apabila melihat kerosakan yang terjadi kepada orang lain.
Fitrah yang suci murni memiliki bakat yang istimewa iaitu
kebolehan untuk mengenal dan mengerti tentang sesuatu yang benar
dan juga memiliki keupayaan untuk bergerak kepada yang benar itu.
Apabila mencapai usia 36 tahun Nabi Muhammad s.a.w diheret oleh fitrah suci
baginda s.a.w ke Gua Hiraa, kira-kira 10 km ke utara Makkah.
Gua tersebut terletak di atas Gunung Hiraa,
kira-kira 20 meter dari puncak gunung.
Seorang lelaki yang kuat memerlukan masa kira-kira 40 minit
untuk mendaki dari bawah hingga ke aras Gua Hiraa.
Laluan masuk ke dalam gua tersebut sangat sempit,
di celah dua buah ketulan batu besar yang hampir-hampir bertaut.
Seseorang yang ingin melaluinya perlu menyusup dengan bersusah payah.
Setelah berjaya melepasi laluan yang sempit itu
seseorang itu akan masuk ke dalam satu ruang kosong yang sempit juga.
Ruangnya tidak memadai untuk seorang manusia tidur dengan selesa di dalamnya.
Gua tersebut disembunyikan oleh batu-batu besar,
hampir-hampir tidak ada cahaya matahari yang masuk ke dalamnya.
Batu-batu di sekitar gua itu berwarna hitam kemerah-merahan
yang boleh menimbulkan rasa gerun dalam hati sesiapa
yang menyaksikan pemandangan di sana.
Bahagian yang terdapat Gua Hiraa merupakan bahagian yang paling menggerunkan
di antara semua bahagian Gunung Hiraa.
Tarikan Fitrah telah membawa Nabi Muhammad s.a.w
ke tempat yang tidak ada manusia mahu pergi,
apa lagi tinggal beberapa hari di sana siang dan malam.
Bulan Ramadan merupakan tempoh yang paling baginda s.a.w gemar berkhalwat
di Gua Hiraa. Baginda s.a.w berulang-alik ke Gua Hiraa
sehinggalah wahyu yang pertama turun ketika usia baginda s.a.w
menjangkau 40 tahun.
Suasana Gua Hiraa menceritakan bahawa hanya insan yang berjiwa besar
dan sangat berani serta bersemangat waja sahaja yang sanggup tinggal di sana
seorang diri, siang dan malam dan berhari-hari lamanya.
Hanya tawakal dan keyakinan yang teguh membuat seseorang mampu bertahan
di dalam kegelapan Gua Hiraa,
tidak dapat melihat binatang bisa seperti ular dan jengking
yang mungkin muncul pada bila-bila masa sahaja.
Insan yang boleh tinggal di sana pastilah di dalam jiwanya
tidak ada sebesar zarah pun rasa takut kepada makhluk,
kecintaan kepada dunia, harta benda, pangkat dan kemuliaan.
Hanya jiwa Islam (berserah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t) yang sempurna
dapat tinggal sendirian di dalam Gua Hiraa.
Tujuan, harapan dan pergantungan hanyalah Allah s.w.t, T
uhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.
Semakin mendekati usia 40 tahun semakin kerap Nabi Muhammad s.a.w
mengunjungi Gua Hiraa.
Apabila berada di luar gua, terutamanya pada waktu malam,
baginda s.a.w merenung bangunan alam maya,
melihat kerapian susunannya dan keindahan gubahannya.
Apabila berada di dalam gua baginda s.a.w
merasakan ketenangan, kedamaian dan kelazatan.
Gua Hiraa yang gelap gelita dan sunyi sepi
memisahkan baginda s.a.w daripada seluruh alam dan sekalian makhluk.
Kegelapan membungkus jasad hinggakan pengaruh jasad
tidak lagi menghijab hati nurani.
Apabila terpisah daripada segala yang maujud,
fitrah suci akan merdeka dari segala sesuatu kecuali Allah s.w.t.
Cahaya fitrah yang suci lagi murni memancar dengan terang benderang
menyuluh ke seluruh pelusuk alam maya menyaksikan dengan jelas
apa yang tidak mampu dipandang dengan mata.
Tiap sesuatu menjadi terang benderang di dalam sinaran fitrah suci
Nabi Muhammad s.a.w.
Tidak ada satu zarah pun yang terlindung daripada pandangan mata hati
baginda s.a.w.
Semuanya jelas dan nyata namun,
masih ada satu yang tidak dapat disingkap oleh fitrah,
walaupun seseorang itu manusia suci.
Fitrah mampu menyingkap rahsia kemanusiaan
sehingga manusia boleh membentuk tatasusila kehidupan yang sesuai
untuk dijalani oleh semua umat manusia.
Fitrah boleh membentuk sistem moral yang baik.
Fitrah dapat menguruskan pentadbiran negara dan perdagangan.
Fitrah dapat meneroka alam maya dan benda-benda alam.
Tetapi apabila berhadapan dengan Pencipta manusia
dan alam sekaliannya dan juga Pencipta fitrah itu sendiri
maka fitrah hanya mampu berkata, “Allah!”
dan masuk kepada penyerahan tanpa takwil.
Apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w di Gua Hiraa
pernah dialami juga oleh Nabi Ibrahim a.s, sebagaimana diceritakan oleh al-Quran:
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim
kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi,
dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya
dengan sepenuh-penuh yakin.
Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap,
ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata:
“Inikah Tuhanku?”
Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula:
“Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.”
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya),
ia berkata: “Inikah Tuhanku?”
Maka setelah bulan itu terbenam berkatalah ia:
“Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku,
nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.
Kemudian apabila ia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya),
berkatalah ia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar!”
Setelah matahari terbenam, ia berkata pula:
“Wahai kaumku,
sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah
yang menciptakan langit dan bumi,
sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan
bukanlah aku dari orang-orang yang menyengutukan Allah
dengan sesuatu yang lain)”.
( Ayat 75 – 79 : Surah al-An’aam )
Tafakur membawa Nabi Ibrahim a.s berhujah
dengan fahaman-fahaman yang menjadikan benda-benda alam
sebagai tuhan-tuhan.
Tafakur dan hujah berakhir pada tahap:
“Aku hadapkan wajahku kepada yang menciptakan semua langit dan bumi.
Aku hadapkan dengan fitrah yang hanif.
Aku tidak mempersekutukan-Nya dengan apa-apa pun”.
Tahap terakhir ini Allah s.w.t bukakan kepada para hamba-Nya yang Dia kehendaki.
Hadapkan fitrah suci kepada-Nya dengan penuh keikhlasan
tanpa mengadakan sebarang takwil mengenai-Nya
dan tidak mengadakan sekutu bagi-Nya.
Dia sendiri menentukan
bila dan bagaimana Dia berkehendak mengadakan pembukaan
kepada hamba-Nya.
Pada 17 Ramadan,
tahun 41 daripada umur Nabi Muhammad s.a.w,
datanglah malaikat Jibrail a.s membawa wahyu yang pertama
daripada Tuhan Azza wa Jalla,
sebagai menyempurnakan lagi fitrah Nabi Muhammad s.a.w,
menaikkan fitrah insan kepada darjat fitrah Muslim,
menjawab segala yang terkilan,
menghuraikan segala yang kusut dan membukakan segala yang tertutup.
Sempurnalah kesempurnaan
Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim
dipersiapkan untuk menanggung mahkota seluruh alam,
menjadi penutup sekalian nabi-nabi,
menjadi penyelamat umat manusia dan dunia seluruhnya,
menjadi rahmat kepada sekalian alam dan menjadi kekasih Allah!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar