Sabtu, 02 Juli 2016

RASULULLAH SAW DAN ABU DZAR


RASULULLAH SAW DAN ABU DZAR

Diriwayatkan oleh Muhammad bin Al-Husain dari Abu Idris Al-Khaulani bahawa Abu Dzar r.a. bercerita: "Pada suatu hari aku masuk ke dalam masjid dan menemui Rasulullah sedang duduk seorang diri, maka aku mendekatinya dan duduk di sampingnya, kemudian terjadilah dialog (soal jawab di antara beliau dan aku).

1. Aku (Abu Dzarr) bertanya, "Ya Rasulullah, engkau memerintahkan aku bersolat?"

Beliau (Rasulullah) menjawab: "Solat adalah sebaik-baik perbuatan, maka perbanyakkanlah atau sedikit."

2. Aku tanya, "Amal apakah yang paling afdhal?"

Beliau jawab: "Beriman kepada Allah dan berjihad fi sabilillah (pada jalanNYA)."

3. Aku tanya, "Mukmin yang bagaimanakah yang paling afdhal?"

Beliau jawab: "Ialah yang terbaik akhlaknya."

4. Tanya, "Muslim yang bagaimanakah yang paling selamat?"

Jawab: "Ialah yang menyelamatkan orang-orang dari gangguan lidahnya dan tangannya."

5. Tanya, "Hijrah bagaimanakah yang afdhal, ya Rasulullah?"

Jawab: "Ialah hijrah dari (meninggalkan) perbuatan maksiat."

6. Tanya, "Solat yang bagaimanakah yang afdhal, ya Rasulullah?"

Jawab: "Berkhusyuk yang panjang (lama berdiri)."

7. Tanya, "Hamba-hamba sahaya manakah yang paling afdhal untuk dimerdekakan?"

Jawab: "Hamba yang paling mahal harganya dan yang paling disayang oleh pemiliknya."

8. Tanya, "Sedekah bagaimanakah yang paling afdhal, ya Rasulullah?"

Jawab: "Pemberian dari orang yang masih kekurangan (tidak kaya) dan pemberian secara rahsia kepada fakir miskin."

9. Tanya, "Ayat apakah di antara ayat-ayat yang diturunkan kepadamu yg paling besar?"

Jawab: "Ayat Kursi, dan tujuh langit itu jika dibandingkan dengan Kursi, melainkan seperti sebuah cincin (atau lingkaran besi) yang berada di tengah-tengah padang pasir, dan perbandingan Arasy terhadap Kursi adalah perbandingan padang pasir itu terhadap cincin tadi."

10. Tanya, "Berapakah bilangan Nabi-Nabi, ya Rasulullah?"

Jawab: "Seratus dua puluh empat ribu." (124,000)

11. Tanya, "Berapakah yang menjadi Rasul di antara mereka, ya Rasulullah?"

Jawab: "Sebanyak tiga ratus tiga belas." (313)

12. Tanya, "Siapakah yang pertama, ya Rasulullah?"

Jawab: "Adam."

13. Tanya, "Apakah dia seorang Nabi yang diutus ?"

Jawab: "Benar, dia diciptakan oleh Allah dengan tanganNYA (zat-Nya), lalu ditiupkan roh ke dalam tubuhnya yang disempurnakan.

Dan selanjutnya Rasulullah bersabda:
"Hai Abu Dzarr, empat dari mereka adalah dari golongan Siryaniun, iaitu Adam, Syith, Nuh, dan Idris iaitu Nabi pertama yang dapat menulis dengan pensel. Dan empat Nabi dari keturunan Arab, iaitu Hud, Syuaib, Saleh, dan Nabimu, hai Abu Dzarr."

14. Abu Dzarr bertanya, "Berapa kitab telah diturunkan Allah, ya Rasulullah?"

Ar-Rasul SAW jawab: "Seratus empat kitab (104). Kepada Syith telah diturunkan lima puluh halaman, Idris tiga puluh halaman, Ibrahim sepuluh halaman, Musa sebelum Taurat ada sepuluh halaman, di samping kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Qur'an."

15. Tanya, "Ya Rasulullah, apakah isi lembaran yang diturunkan kepada Ibrahim?"

Jawab: "Isinya ialah: Hai Raja yang berkuasa, dipuji dan sombong, sesungguhnya AKU tidak mengutusmu untuk mengumpulkan dunia, melonggokkan sebahagian di atas sebahagian, akan tetapi AKU mengutusmu untuk menerima doanya orang yang teraniaya agar tidak sampai kepada-KU, kerana AKU tidak akan mengembalikannya walaupun ia datang dari seorang yang kafir. Seorang yang bijaksana akan membahagi masanya menjadi beberapa waktu untuk bermunajat kepada Tuhannya, beberapa waktu untuk bertanya pada dirinya sendiri (muhasabah), beberapa waktu untuk merenungkan ciptaan Allah, dan beberapa waktu lagi untuk mengurus keperluan makan dan minumnya. Seorang yang bijaksana tidak akan meributkan (menyibukkan) diri melainkan untuk tiga tujuan: mencari bekal untuk hari kemudian (Akhirat), mencari nafkah hidup, dan mencari kelazatan yang halal. Seorang yang bijaksana hendaklah mengenal zamannya, tekun mengurus urusannya, dan menjaga lidahnya. Barangsiapa yang menyesuaikan bicaranya dengan perbuatan, maka akan jarang berbicara melainkan dalam hal-hal yang mengenai dirinya."

16. Tanya, "Apakah isi lembaran-lembaran yang diturunkan ke atas Musa, ya Rasulullah?"

Jawab: "Isinya adalah semua peringatan dan ibarah; aku hairan dari orang yang yakin akan mati bagaimana ia dapat bersuka-ria, aku hairan dari orang yang yakin dengan adanya takdir bagaimana ia membanting tulang bekerja, aku hairan dari org yang melihat keadaan dunia yang selalu berubah bagaimana ia dapat tenang mempercayainya dan aku hairan dari orang yang yakin adanya hari hisab esok, bagaimana ia enggan beramal."

17. Tanya, "Ya Rasulullah, apakah ada yang sampai kepada kita sesuatu yang dulu ada di tangan Ibrahim dan Musa, dan apakah yang diturunkan Allah kepadamu?"

Jawab: "Ada, cubalah baca hai Abu Dzarr, 'Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman) dan ia ingat akan nama Tuhannya, lalu ia bersembahyang. Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.' Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang terdahulu (iaitu) kitab-kitab Ibrahim dan Musa."

18. Abu Dzarr bertanya,"Apakah wasiatmu kepadaku, ya Rasulullah?"

Ar-Rasul SAW menjawab: "Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, kerana itu (taqwa) adalah pokok segala urusanmu."

19. Abu Dzarr bertanya lagi, "Apa lagi ya Rasulullah?"

Rasulullah SAW menjawab: "Bacalah Al-Qur'an dan berzikirlah (ingatlah) kepada Allah, kerana itu akan menjadi zikir buatmu di langit dan cahaya bagimu di dunia."

20. Tanya, "Apa lagi, ya Rasulullah?"

Jawab: "Hindarilah banyak ketawa, kerana itu mematikan hati dan menghilangkan cahaya wajah."

21. Tanya, "Apa lagi, ya Rasulullah?"
Jawab: "Laksanakanlah kewajipan berjihad, kerana itu merupakan kerahiban perjuangan bagi umatku."

22. Tanya, "Apa lagi, ya Rasulullah?"

Jawab:"Hendaklah engkau selalu diam (tidak bercakap) melainkan untuk kebaikan, kerana itu dapat mengusir syaitan dan dapat menolongmu dalam urusan agamamu."

23. Tanya, "Apa lagi, ya Rasulullah?"

Jawab: "Lihatlah kepada orang yang di bawahmu dan janganlah melihat orang yang berada di atasmu, agar engkau tidak memandang rendah akan nikmat yang Allah berikan kepadamu."

24. Abu Dzarr bertanya,"Apa lagi, ya Rasulullah?

Jawab: "Cintailah orang-orang fakir miskin dan duduklah bersama-sama mereka, agar engkau tidak memandang rendah dan kecil nikmat Allah kepadamu."

25. Bertanya Abu Dzarr,"Apa lagi, ya Rasulullah?"

Rasulullah SAW menjawab:"Hubungilah kerabatmu, walaupun mereka memutuskan hubungannya dengan engkau."

26. Tanya Abu Dzarr,"Apa lagi ya Rasulullah?"

Jawab Rasululllah: "Katakanlah apa yang haq (yang benar) walaupun itu merupakan hal yang pahit."

27. Tanya, "Apa lagi ya Rasulullah?"

Jawab: "Janganlah engkau takut dicerca orang kerana membela agama Allah."

28. Tanya, "Apa lagi ya Rasulullah?"

Jawab: "Apa yang engkau ketahui tentang dirimu akan mencegahmu mencampuri urusan orang lain dan janganlah engkau sesalkan bahawa orang tidak melakukan apa yang engkau sukai. Dan cukup sebagai aib bahawa engkau mengetahui tentang orang lain apa yang engkau tidak mengetahui tentang dirimu sendiri."

Kemudian Rasulullah SAW memukul dadaku dengan tangannya seraya bersabda: "Tiada aqal seperti kebijaksanaan, tiada wara' seperti memahami diri dan tiada kebanggaan seperti akhlak yang baik."

-Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 2-

Tidak ada komentar:

Posting Komentar