Jalaluddin Rumi adalah penyair sufi terbesar sepanjang zaman.
Nama lengkapnya ialah Jalaluddin Muhammad bin Husayn al-Khattibi al-Bahri.
Banyak gelar yang disandangnya, yang paling popular ialah Khudawandagar,
yang dalam bahasa Turk artinya Tuan Besar.
Dalam sajak-sajaknya dia menggunakan takhallus (nama pena) Khamsuy,
yang artinya Diam.
Di Turki dia dipanggil Mevlana atau Mawlawi, artinya sama dengan Syekh.
Beberapa muridnya seperti Aflaki menyebutnya Sirr Allah al-A`zam
(Rahasia Agung Tuhan).
Gelar al-Rumi atau Mulla yi-Rum diberikan
karena dia menghabiskan sebagian besar masa hidupnya di Asia Kecil,
yaitu Turki atau Anatolia, yang pada awal abad ke-13 sebagian besar
dari wilayah itu masih merupakan bagian kekaisaran Rumawi atau Bizantium.
Rumi lahir pada 6 Rabi`ul Awwal 604 H bertepatan dengan 30 September 1207 M di Balkh, kini Afghanistan, sebuah kota yang pada abad ke-13 merupakan pusat kebudayaan Parsi. Beliau wafat pada 5 Jumad il Akhir 672 H bertepatan 16 Disember 1273 M di Qunya, Turki
Ayah Rumi,
Muhammad ibn Husyain al-Khatibi alias Bahauddin Walad ialah seorang ulama terkenal
di Balkh dan bergelar Sultan al-`Ulama.
Ibu beliau ialah ahli keluarga raja Khwarizmi.
Pada tahun 1210,
beberapa tahun sebelum kerajaaan Khwarizmi ditakluk tentara Mongol,
keluarga Rumi pindah ke Khurasan, kemudian Nisyapur.
Pada ketika tentara Mongol menakluki kerajaan Khwarizmi pada tahun 1220
keluarga Rumi mengungsi ke Baghdad dan kemudian ke Mekkah.
Dari Mekkah mereka pindah ke Damaskus, Syria,
dan akhirnya menemui tempat tinggal yang selamat di Kunya, Turki.
Tidak diketahui secara pasti
mengapa Bahauddin Walad dan keluarganya pindah dari Balkh,
provinsi Parsi bahagian Timur, menuju Khurasan.
Ada dua pendapat mengenai sebab-sebab keluarga itu mengungsi ke Barat:
pertama ialah invasi tentara Mongol.
Kedua, masalah politik dalaman kerajaan Khwarizmi.
Menurut anlisis beberapa ahli sejarah pada masa itu
raja Khwarizmi yang sangat berkuasa Muhammad Khwarazmisyah
menentang Tarikat Kubrawiyah yang dipimpin oleh Bahauddin Walad.
Namun pendapat ini diragui kerana pada waktu itu
Bahauddin Walad mempunyai kedudukan yang tinggi
dalam lingkungan kerajaan Khwarizmi.
Para sufi sendiri berpendapat bahawa invansi Mongollah
yang mendorong Bahauddin Walad pindah ke Khurasan,
kemudian ke Nisyapur.
Di Nisyapur keluarga Bahauddin Walad bertemu dengan Fariduddin `Attar.
`Attar sangat terkesan pada Rumi yang pada waktu itu berusia 7 tahun,
malahan `Attar meramalkan bahawa
pada suatu ketika nanti
Rumi akan menjadi seorang guru spiritual agung yang masyhur.
`Attar memberi hadiah buku Asrar-namah (Kitab Rahsia Ketuhanan)
kepada Rumi kecil.
Kedatangan Bahauddin Walad kerana mendapat jemputan
dari Sultan `Ala`uddin al-Kayqubad, penguasa Anatolia.
Keluarga Bahauddin Walad tinggal mula-mula tinggal di Laranda selama 4 tahun
pada tahun 1211-1215.
Di Laranda Jalaluddin Rumi menikahi Jauhar Khatun,
putri seorang ulama terkenal.
Dari perkawinannya itu Rumi memperolehi anak lelaki
yang kemudiannya masyhur sebagai seorang sufi
dan pemimpin Tarikat Maulawiyah,
iaitu Sultan Walad.
Pada tahun 1215 Sultan Kayqubad mengundang Bahauddin Walad tinggal di Kunya,
ibukota kerajaan Anatolia.
Pada waktu Kunya merupakan pusat kebudayaan Islam
menggantikan peranan Baghdad yang pada tahun 1256 M
diduduki dan dihancurkan oleh tentara Mongol
di bawah pimpinan panglimanya Hulagu Khan.
Sebagai pusat kebudayaan Kunya merupakan tempat pertemuan
kebudayaan Barat dan Timur,
serta pusat pertemuan berbagai agama khususnya Yahudi, Kristen dan Islam.
Sebagai kota pusat pengajian ilmu
Kunya menarik perhatian kaum cerdik cendekia dan pelajar
dari berbagai-bagai negeri..
Selepas Baghdad ditakluki oleh tentera Mongol pimpinan Jengis Khan,
banyak golongan terpelajar dari negeri Islam bahagian Timur mengungsi ke Kunya, sehingga kota ini segera berkembang menjadi pusat pengajian yang penting
pada akhir abad ke-13 M.
Di kota ini banyak sekali terdapat lembaga-lembaga pendidikan Islam dan Kristian. Penduduk Kunya,
sebagaimana penduduk Anatolia (Turki), terdiri dari berbagai bangsa.
Di kota ini dapat dijumpai
banyak bangsa Arab, Parsi, Turk, Greek, Armenia dan Kurdi.
Pada ketika Bahauddin Walad tiba di Kunya
beliau mendapat sambutan hangat dari masyarakat Muslim.
Dengan mendapat bantuan daripada Sultan Kayqubad Bahauddin Walad
mendirikan sebuah madrasah yang cukup besar.
Dalam masa satu tahun ratusan murid berdatangan
untuk belajar kepada ulama terkenal itu.
Pada tahun 1331 M Bahauddin Walad meninggal dunia.
Pengurusan madrasahnya dipegang oleh Jalaluddin Rumi
yang baru berusia 24 tahun.
Pada tahun 1232 M seorang ulama sufi terkenal
bernama Syeikh Burhanuddin al-Muhaqqiq al-Tirmidhi datang di Kunya
dan mendapat sambutan hangat penduduk yang ingin mempelajari tasawuf.
Rumi yang baru satu tahun menggantikan ayahnya
juga tertarik untuk belajar kepada Burhanuddin al-Tirmidhi.
Maka beliau menyerahkan pengurusan madrasahnya kepada orang lain,
dan beliau sendiri belajar ilmu tasawuf di bawah bimbingan
Syekh Burhanuddin al-Tirmidhi.
Selama sembilan tahun lamanya Rumi
mengamalkan kehidupan sebagai seorang ahli sufi,
dan selama itu beliau meluangkan masa mempelajari ilmu-ilmu agama
di Madrasah Halawiyah, Aleppo, Syria.
Pada umur 33 tahun Rumi
sudah menguasai ilmu tasawuf,
tafsir al-Qur`an, Hadits, usuluddin, ilmu syariat dan fiqih,
sejarah dan kesusasteraan Islam, serta falsafah dan teologi.
Pada tahun 1241 Rumi kembali ke Kunya
dan membina sebuah lembaga pendidikan yang mengajarkan ilmu-ilmu agama,
termasuk tasawuf.
Beliau segera masyhur sebagai guru agama
yang berpengetahuan tinggi dan mempunyai anak murid ratusan orang.
Beliau tidak hanya mengajarkan ilmu syariat dan fiqah,
tetapi juga ilmu tasawuf .
Untuk kebanyakan murid beliau mengajar ilmu formal,
namun untuk murid-muridnya yang terpilih
beliau mengajar ilmu tasawuf.
Pergaulan Rumi juga sangat luas.
Murid-muridnya bukan hanya orang Arab dan Parsi yang datang ke Kunya,
tetapi juga orang-orang Turk dan Yunani.
Pengalaman beliau mengajar ratusan murid
dari berbagai kalangan dan kaum selama lima tahun
memberi banyak hikmah kepada Rumi.
Pada akhirnya beliau menyedari bahawa
pengetahuan formal (ilmu-ilmu syariat dan fiqah)
tidak mudah mengubah jiwa manusia,
Menurut Rumi pengajaran formal
ternyata tidak sanggup membuat kepribadian seseorang berkembang
sebagaimana diharap.
Tingkah laku manusia, menurut Rumi, dapat berubah
apabila sikap jiwa dan fikiran mereka berubah terhadap dunia dan Tuhan.
Manusia akan mendapat kepribadiannya yang baik
apabila fikiran dan jiwanya terang,
serta memiliki perasaan positif terhadap segala sesuatu.
Memeluk agama apa pun seseorang, tidak berbeda.
kecuali apabila mereka menyadari
potensi tersembunyi daripada dirinya
sebagai makhluk spiritual
yang memancarkan cahaya ilahiyah
Sejak Rumi menyedari hal tersebut
beliau selalu berpendapat bahawa
undang-undang (hukum), pemikiran dan pengetahuan
tidak cukup bagi pendidikan seseorang.
Beliau pun mulai jemu kepada berbagai-bagai bentuk formalisme dan dogmatisme
yang diajarkan para ulama, pendeta dan rabbi.
Rumi menyedari bahawa
dalam diri manusia ada suatu tenaga tersembunyi,
yang apabila digunakan sungguh-sungguh dengan cara yang benar,
dapat membawa manusia
ke dalam kebahagiaan dan pengetahuan yang luas dan tak terbatas
Tenaga tersembunyi itu ialah Cinta Ilahi (`Ishq).
Pada tahun 1224-5 M.
seorang guru kerohanian yang kharismatik daripada Tabriz, Iran,
Syamsiuddin al-Tabrizi atau Syamsi Tabriz, muncul di kota Kunya..
Kedatangan Syamsi Tabriz inilah yang membawa perubahan besar
dalam kehidupan Rumi.
Selama bertahun-tahun Rumi mengikuti sufi pengembara ini
dan meninggalkan sekolah yang telah beliau bina selama 4 tahun.
Syamsi Tabriz ialah seorang darwish besar yang kharismatik.
Pemikiran beliau sangat kritis dan radikal.
Khutbah-khutbahnya memikat dan kandungan khutbah-khutbahnya sangat mendalam.
Beliau ialah seorang sufi yang sangat berbeza dengan sufi konvesional pada zamannya.
Rumi mendapati dalam diri tokoh Syamsi Tabriz
keperibadian manusia yang berpengetahuan tinggi
dan telah lama pula beliau dambakan.
Gambaran kepribadian apakah yang dijumpai Rumi dalam diri Syamsi Tabriz?
Gambaran peribadi seorang Insan Kamil, itulah jawabnya.
Syamsi mengembara ke pelbagai negeri Islam
yang penduduknya sedang putus asa dan kebingungan
disebabkan penjarahan tentara Mongol dan peperangan Salib
yang menghancurkan negeri-negeri kaum Muslimin.
Beliau pergi mengembara untuk mengkhutbahkan
perlunya manusia mencintai Tuhan
agar kepercayaan dirinya tumbuh kembali.
Beliau pula mengajarkan umat Islam agar berikhtiar sekuat tenaga
memerangi kelemahan diri mereka
dan bangkit menegakkan kembali keimanan
untuk meraih masa depan yang lebih baik.
Syamsi mengembara tanpa memikirkan harta dan keselamatan jiwanya
hanya dengan maksud:
mengajarkan perlunya manusia mengembangkan tamadun
yang sepenuhnya didasarkan atas cinta.
Demikianlah perjumpaan Rumi dengan Syamsi Tabriz
sejak awal memberi kesan mendalam
terhadap kedua-dua tokoh spiritual tersebut.
Rumi tidak dapat berpisah daripada gurunya,
kemana saja gurunya pergi beliau mengikutinya.
Lambat laun persahabatan tersebut merubah kepribadian Rumi.
Tokoh yang sebelumnya dipandang oleh penduduk Qunya
sebagai seorang guru syariat dan ilmu fiqah yang saleh dan pendiam itu
kini berubah menjadi seorang darwish dan penyair
yang gemar akan ekstase kerohanian.
Perubahan itu lebih dirasakan lagi pada tahun 1246
ketika Syamsi Tabriz tiba-tiba menghilang
dan meninggalkan Qunya menuju Damaskus,
tanpa memberi kabar kepada Rumi
Menurut setengah-setengah riwayat Syamsi Tabriz
meninggalkan Qunya kerana diusir oleh murid-murid Rumi
yang tidak menginginkan persahabatan antara Rumi dan Syamsi
berlangsung lebih lama.
Hal ini dapat dimengerti kerana sejak bertemu Syamsi Tabriz,
Rumi tidak pernah lagi hadir di kelas untuk mengajar.
Rumi menghabiskan seluruh waktunya
untuk mendengarkan khutbah-khutbah Syamsi Tabriz
dan mempraktekkan disiplin kerohanian.
Pada ketika Syamsi Tabriz pergi ke Damaskus,
Rumi mengutus beberapa muridnya untuk menemui guru kerohanian itu.
Pada tahun 1247 Syamsi Tabriz berjaya dibujuk untuk kembali ke Qunya,
tetapi tak lama kemudian beliau menghilang untuk selama-lamanya.
Rumi berikhtiar untuk mencarinya sendiri ke merata tempat.
Semakin lama kerinduan Rumi akan kehadiran gurunya semakin mendalam.
Dalam ekstase Rumi selalu membayangkan kehadiran gurunya
dan pada saat-saat sedemikian itu puisi-puisi mistikal Rumi dihasilkan.
Pada tahun 1249 Rumi kembali ke Qunya sebagai seorang penyair
dan memulai tugas barunya sebagai guru kerohanian.
Beliau mencipta tarian spiritual, iaitu
tari-tarian berputar seperti gazing
yang oleh orang Eropah disebut “the Whirling Dervish’s Dance”.
Tarian ini dipertunjukkan
oleh para pengikut Tarikat Maulawiyah dalam upacara sama`,
konser kerohanian sufi yang terdiri daripada
pembacaan azan, zikir, wirid, diiringi muzik (suling), rawatib (nyanyian kudus) dan pembacaan puisi keagamaan.
Dalam upacara sama` inilah biasanya para sufi mengalami ekstase mistikal
dan apabila yang mengalaminya seorang penyair
maka dia akan dapat menghasilkan sajak-sajaknya.
Rumi sendiri menghasilkan kebanyakan sajak-sajaknya
pada ketika beliau mengalami ekstase,
atau selepas meditasi (tafakkur).
Sajak-sajak itu diucapkan oleh penyair dan dirakam
oleh beberapa orang murid atau temannya.
Rumi dan Karya-karyanya
Rumi ialah seorang penyair sufi yang prolifik.
Menurut A. J. Arberry beliau menulis kurang lebih 34.662 bait puisi
dalam bentuk ghazal (diwan), ruba`i dan mathnawi.
Di samping itu beliau juga menulis beberapa risalah tasawuf
berdasarkan khutbah-khutbah yang disampaikan kepada murid-muridnya
dan penduduk Qunya.
Karya-karya Rumi yang terkenal ialah:
Diwan-i Shamsi Tabriz (Sajak-sajak Pujian Kepada Shamsi Tabriz).
Mathnawi-i Ma`nawi
Ruba`iyat
Fihi Ma Fihi (Di Dalamnya Ada Seperti Yang Ada Di Dalamnya)
Makatib
Majalis-i Sab`ah
1. Diwan Syamsi Tabriz.
Antologi ini terdiri daripada 36.000 bait puisi,
sebahagian besarnya berbentuk ghazal.
Dalam setiap maqta` (bait akhir) Rumi selalu mencantum nama Shamsi Tabriz
sebagai pengganti nama dirinya.
Nampak bahawa
dalam Diwan-nya itu Rumi, sebagai penyair,
mengidentifikasi dirinya dengan guru spiritualnya.
Sebahagian besar sajak dalam antologi ini ditulis pada ketika
penyairnya mengalami ekstase kerohanian.
Sajak-sajak dalam Diwan sangat muzikal dan kaya akan ritme,
sedangkan image-imagenya sangat hidup.
Pengaruh ekstase dan tarian mistikal Tarikat Maulawiyah besar
terhadap sajak-sajak dalam buku ini.
Kerana penyairnya menumpukan perhatian pada makna,
maka ghazal-ghazal dalam Diwan banyak yang menyimpang
daripada prosodi dan metrum ghazal konvensional.
2. Mathnawi-i Ma`nawi.
Kitab ini disebut juga Husami-namah (Kitab Husam).
Apabila Diwan-i Shamsi Tabriz diilhami oleh Shamsi Tabriz,
Mathnawi ditulis untuk memenuhi permintaan Husamuddin,
salah seorang murid Rumi.
Husamuddin meminta gurunya agar bersedia memaparkan
rahsia-rahsia ilmu tasawuf dalam sebuah sebuah karya sastera
seperti Hadigah al-Haqiqah karya Sana`i dan Mantiq al-Tayr karya Fariduddin `Attar.
Buku ini dikerjakan selama 12 tahun,
dibahagikan kepada 6 jilid, terdiri daripada 35.700 bait sajak.
Terjemahan dalam bahasa Inggeris tebalnya 2000 muka surat.
Abdurrahman Jami, penulis sufi abad ke-15 menyatakan bahawa
Mathnawi-i Ma`nawi merupakan Tafsir al-Qur`an dalam bahasa Persia
(Hast Qur`an dar zaban-i Pahlavi).
Yang dimaksud tafsir di sini ialah ta`wil atau tafsir spiritual
terhadap ayat-ayat al-Qur`an yang ditulis dalam bentuk prosa-puisi yang indah
atau mathnawi.
Buku ini dipandang oleh para penilai
sebagai karya sastra sufi terbesar sepanjang zaman.
Nilai didaktik dan sasteranya amat mengagumkan.
Setiap jilid memuat pendahuluan dalam bahasa Arab,
dan selanjutnya Rumi menggunakan bahasa Parsi.
Rumi menghuraikan luasnya lautan semangat kerohanian
dan perjalanan manusia menuju dunia
dan daripada dunia menuju kebenaran hakiki.
3. Ruba`iyat.
Walaupun tidak masyhur sebagaimana kedua-dua karya Rumi di atas,
namun sajak-sajak dalam buku ini tidak kurang indah dan agung.
Ruba-iyat terdiri daripada 3.318 bait puisi.
Melalui bukunya ini,
sebagaimana melalui sajak-sajaknya dalam Diwan,
Rumi menunjukkan diri sebagai penyair lirik yang agung.
4. Fihi Ma Fihi.
Himpunan percakapan Rumi dengan rakan-rakan dan murid-muridnya.
Buku ini kaya dengan hikmah
dan membicarakan persoalan-persoalan
yang dipertanyakan oleh murid-murid atau sahabat-sahabat dekat Rumi
tentang berbagai perkara kemasyarakatan dan keagamaan.
5. Makatib.
Himpunan surat-surat Rumi kepada sahabat-sahabat dekatnya,
terutamanya Shalaluddin Zarkub dan seorang menantu perempuannya.
Dalam buku ini Rumi mengungkap
kehidupan spiritualnya sebagai seorang penempuh jalan kerohanian.
Di dalamnya juga terkandung nasihat-nasihat Rumi
kepada murid-muridnya berkenaan perkara-perkara praktikal
dalam jalan tasawuf.
6. Majalis-i Sab`ah.
Himpunan khutbah Rumi di masjid dan majlis-majlis keagamaan.
Sumber: Abdul Hadi W. M.
Bibliografi
Afzal Iqbal. Life and Work of Rumi. Lahore: Institute of Islamic Culture, 1978.
Abdul Hadi W. M. Rumi, Sufi dan Penyair. Bandung: Pustaka, 1985.
A. J. Arberry. Classical Persian Literature. London: George Allen & Unwin Ltd., 1967.
Seyyed Hossein Nasr. “Jalal al-Din Rumi: Supreme Persian Poet and Sage”. Dalam Islamic Art and Spirituality. Ipswich: Golgonoza Press, 1987.p.114-147.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar