Tuan Guru Hj. Mohd Baqi Osman dipejabatnya di Madrasah Saadah al-Daraini,
Kampung Lanting, Chenor, Pahang. Temubual
sekitar ilmu tasawuf ini telah dijawab dengan begitu menarik oleh beliau.
Sebagai salah seorang ulama negeri Pahang yang dihormati,
kami berasa cukup berbesar hati kerana beliau
telah melayan semua soalan-soalan kami dengan baik sekali.
Di sini saya perturunkan sebahagian daripada temubual tersebut
untuk tatapan peminat-peminat tasawuf:
Wartawan:
Boleh Tuan Guru terangkan tentang tarekat dan hubungannya dengan tasawuf?
Tuan Guru:
Dalam amalan tasawuf memanglah ada tarekat
tetapi bukan semua tarekat boleh digunapakai,
bergantunglah kepada maklumat tarekat itu sendiri.
Kalau tarekat tersebut tiada sandaran daripada Nabi maka ia ditolak.
Keduanya,
amalan tarekat ini tiada ditekankan kepada semua umat Islam.
Sebaliknya ia lebih kepada yang lebih berminat sahaja.
Jadi yang berminat bolehlah beramal dan
kepada yang tidak berminat dan tak mampu
maka tiada apa-apa masalah.
Sebenarnya tarekat itu merupakan wirid-wirid, doa, selawat dan munajat.
Rasulullah perturunkan tarekat kepada para sahabat
tetapi ia tidak semestinya disebarkan.
Ia boleh diamalkan kepada yang mahu dan berkelayakan.
Sebab itu guru tarekat dia tahu siapa yang boleh beramal
dan siapa yang tidak boleh.
Ini kerana ujian dan tarbiah dia jauh berbeza daripada biasa.
Jadi bukan semua orang tahan dan mampu kerana
ia melibatkan masa, pergaulan, makan minum dan tidur baring kita semua.
Sebab itu zaman mutakhir ini tarekat berkurangan
dan sedikit sahaja yang diterima oleh umat Islam.
Tambahan pula guru yang boleh melatih murid sudah tidak ramai lagi yang tinggal. Ditambah lagi dengan tekanan daripada pihak pemerintah
seperti pemerintah Saudi yang tidak memberi laluan langsung
kepada tarekat ini.
Terdapat salah faham berlaku yang mengatakan tarekat
menyekat kemajuan umat Islam.
Sedangkan sebenarnya tarekatlah asas kepada kemajuan dunia.
Dunia akan rosak apabila orang tidak berpegang dengan ilmu tasawuf,
sebab ilmu tasawuf adalah ilmu yang mengawal diri
seperti amanah, qanaah, sabar dan sebagainya.
Jadi dia tidak terlibat langsung dengan perkara haram
seperti rasuah, riba bahkan yang syubhah pun ditinggalkan.
Maka berkembanglah tamadun dunia Islam.
Namun apabila sifat-sifat ini tiada pada manusia maka rosaklah dunia ini.
Itulah rahsia ilmu tasawuf.
Sebab itu kalau kata ilmu tasawuf menyekat kemajuan dunia
maka itu silap besar.
Sebab itulah kalau ilmu tasawuf ini duduk pada pemerintah,
menteri dan raja maka rahmatlah dunia.
Masalahnya sekarang ini,
ilmu tasawuf ini duduk pada rakyat tiada pada pemerintah.
Wartawan:
Apa pendapat Tuan Guru dengan amalan tawasul?
Tuan Guru:
Dikalangan ulama sufi,
tawasul tiada masalah tapi pada kalangan yang lain ada yang menolak.
Sebenarnya tawasul ini hanya “melalui” dan bukan minta dengan dia.
Macam kita nak jumpa rajalah, kalau nak terus jumpa raja begitu sukarlah.
Sebaliknya kita kenalah melalui orang yang rapat dengan raja.
Bukan raja tidak boleh terus semuka dengan rakyat….boleh!
tapi apa guna jawatan pembantu raja
kalau rakyat boleh ikut suka saja jumpa raja?
Demikian juga Allah yang memiliki kerajaan yang besar ini.
Bukan Allah tidak boleh terus dengan kita
tapi apa guna kebesaran Nabi Muhammad ?
Kebesaran sahabat dan kebesaran ulama? Terbiar…
Jadi Allah beri penghormatan kepada orang tertentu
umpamanya Nabi Muhammad sebagai khatamun nabiyin dan rahmatan lil alamin.
Jadi rahmat apanya kalau umat dia terus sahaja dengan Allah
tidak “melalui” dia?
Cuma orang salah tafsir kata kita minta pada dia….
itu salah tafsir.
Wartawan:
Boleh Tuan Guru terangkan contoh tawasul zaman nabi?
Tuan Guru:
Itu para sahabat minta Rasulullah doakan untuk mereka.
Tawasul lah tu….
Demikian juga jika kita hendak berdoa,
disuruh kita mulai dengan selawat dan akhiri doa pun dengan selawat.
Itu pun memberi makna tawasul.
Jadi Tuhan tak layan doa
yang tidak dimulai dengan selawat dan akhiri dengan selawat.
Wartawan:
Bagaimana pula bertawasul dengan para wali?
Tuan Guru:
Macam tadilah….
nak jumpa raja kenalah melalui orang bawah dia….
kerana mereka diberi mandat untuk tugas tertentu,
jadi orang macam Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan sebagainya
mereka telah diberi mandat untuk melayan dan membantu.
Wartawan:
Benarkah ayat al-Quran ada khadam?
Tuan Guru:
Memang al-Quran ada pengawal dan penjaga.
Sebab itu al-Quran tidak boleh diselewengkan seperti kitab injil dan taurat.
Injil dan taurat tiada peruntukan tersebut.
Setiap huruf al-Quran ada malaikat mengawalnya.
Macam “bismillah” ada malaikat jaga huruf “ba”, “sin” dan” mim”.
Wartawan:
Jadi khadam ayat itu malaikatlah?
Tuan Guru:
Ya…..malaikat semua bukan jin.
Wartawan:
Macamana pula dengan rijal al-Ghaib?
Tuan Guru:
Manusia… rijal al-Ghaib, Abdal, Nuqaba ….
itu semua manusia yang Allah bagi jawatan (maqam) pada peringkat tertentu.
Kerajaan manusia ada kabinet, kementerian, jabatan, unit dan macam-macam.
Maka kerajaan Allah lagilah hebat .
Allah menguasai semua pemerintahannya.
Tapi kalau Allah tak guna itu semua pun boleh…
Allah maha kuasa.
Allah itu malikul mulk, Dia ada kerajaan.
Jadi kalau ada kerajaan takkan tiada pentadbiran?
Wartawan :
Hukum istighosah dengan rijal al-Ghaib?
Tuan Guru:
Mereka sekadar boleh beri sokongan (recommend) sahaja,
Allah yang memberi dan menentukan.
Jadi istighosah itu sebenarnya minta sokongan
(supaya doa dimakbulkan Allah) saja.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar