| PERUMPAMAAN MAKRIFAT itu seperti sumbu
pada lampu, dan lampu itu disangkut pada
tiang rumah. Selama lampu itu berada di rumah,
selama itulah rumah itu akan bercahaya.
Barangkali pintu rumah dibuka pula, maka cahaya
itu akan menerobos keluar menerangi yang
di luar juga.
Bicara ahli makrifat itu, memancar cahayanya
pada hati hati orang dari kumpulan hati yang
bercahaya. Dengan sebab itu kamu lihat mata
mereka selalu mengenang air mata, dan lisan
mereka sentiasa suka mengingatkan manusia.
Firman Allah swt:
"Dan apabila mereka mendengar apa yang
diwahyukan kepada Rasul, engkau lihat mata mata
mereka berlinang air mata dari apa yang mereka
tahu dari hal kebenaran, mereka lalu mengatakan:
Tuhan kami! Kami beriman, maka tuliskanlah
kami tergolong orang orang yang menjadi saksi
kebenaran." [ Al Maidah : 83 ]
Jadi, perumpamaan diri si Arif itu laksana rumah,
dan perumpamaan hatinya seperti lampu.
Minyaknya dari keyakinan, airnya dari kebenaran,
sumbunya dari keikhlasan, kacanya dari
kesucian dan keredhaan, dan pergantungannya
dari akal fikiran.
Maka ketakutan itu adalah api di dalam cahaya,
dan harapan pula adalah cahaya di dalam api,
sedangkan makrifat adalah cahaya di dalam
cahaya.
Tegasnya, lampu itu digantung di tiang rumah,
yakni jika si Arif itu membuka mulutnya dengan
menabur hikmat (kebijaksanaan) yang tersimpan
di dalam hatinya, maka bergeloralah dari dalam
mulutnya itu cahaya dari cahaya yang terpendam
di dalam hatinya tadi, maka memancarlah sinar
cahaya itu ke dalam hati hati orang orang yang
ahli untuk menerima cahaya itu, maka akan
bersambunglah cahaya si Arif itu kepada yang ada
di dalam hati pendengarnya itu.
Ketahuilah, setengah setengah bicara itu
mempunyai cahaya yang lebih terang daripada
cahaya matahari, dan setengah setengah bicara
lagi yang gelapnya lebih gelap dari kegelapan
malam.
Dan bicara si Arif itu adalah bersumber daripada
perbendaharaan Allah taala yang disimpankannya
di dalam hati ahli makrifat itu. Allah taala telah
memerintahkan para Arif itu untuk memberikan
nya kepada orang orang yang ahli untuk menerima
nya.
Allah berfirman:
"Serulah (orang) ke jalan Tuhanmu dengan
kebijaksanaan dan nasihat nasihat yang baik, dan
berdebatlah dengan mereka dengan cara cara
yang baik! Sesungguhnya Tuhanmu itu lebih
mengetahui siapa yang sesat daripada jalanNya
dan Dia juga lebih mengetahui mengenai orang
orang yang mendapat pimpinan."
[ An Nahl : 125 ]
Pernah ditanya kepada setengah setengah
ahli Arif:
'Adakah sesuatu cahaya yang lebih terang daripada
cahaya matahari?'
'Ya, iaitu cahaya makrifat!', jawabnya.
'Adakah sesuatu yang lebih berfaedah daripada
air?' Orang itu bertanya lagi.
'Ada!' jawabnya. 'Iaitu bicara ahli makrifat.'
'Apa bendanya yang lebih wangi dari minyak
wangi?'
'Diri orang Arif itu.' Jawabnya.
'Kenapa?'
'Kerana kerja orang Arif itu ialah merenungkan
ciptaan Tuhan dan tanda tanda kelembutan
kudratNya.' Jawabnya lagi.
[ Abu Bakar Al Wasithi rahimahullah ]
Tidak ada komentar:
Posting Komentar