Selasa, 19 April 2016

Bagaimana adanya Allah Ta'ala itu?

Soalan : Bagaimana adanya Allah Ta'ala itu?

Jawapan : Ialah nafi daripada empat - iaitu tiada bersebab, dan tiada berkerana, dan tiada bertempat dengan suatu tempat, dan tiada bermasa.

[Petikan soal jawab daripada risalah Naafi'ul Awthon oleh 'Abdul Majid bin Qadir, hlm 8, cetakan tahun 1358H/1939M.]

Nota Huraian :

1] Risalah ini ditulis sewaktu penulis masih di alam pengajian, iaitu pada masa sedang belajar di masjid besar Kota Bharu, Kelantan. Cetakan pertama di Bunut Payong, Kelantan, dan cetakan kali keduanya di Bukit Mertajam. Pengarang ini merupakan junior kepada Tok Guru Pak Man Bukit Besar yang terkenal itu.

2] Corak penulisan dalam risalah ini yang berbentuk soal jawab serta topik perbahasan yang dipilih berbeza sedikit daripada tulisan-tulisan lain berkaitan i'tiqad.

3] Penulisan berkaitan i'tiqad dalam membicarakan 50 'aqaidul iman sentiasa berkembang.

4] Faham i'tiqad yang benar menolak bebatilan faham tajsim, faham bertempat dan bermasa, dan faham berarah.

Bagaimana adanya Allah Ta'ala itu?

Allah itu ada, yakni wujud yang disebut wajib al-wujud itu ialah :

1] Ada, yakni wujud Allah itu - Ertinya ada Allah itu tiada kerana 'illat atau bersebab; dengan maksud bahawa yang lainnya itu [selain Allah] tidak memberi kesan pada mengadakan Allah Ta'ala. Ini berbeza dengan wujud yang lainnya [yakni kawniyat atau kejadian] seperti wujud kita ini umpamanya; ia adalah dengan perbuatan Allah Ta'ala.

2] Ada, yakni wujud Allah itu - Ertinya ada Allah itu tiada berkerana; dengan kefahaman bahawa Allah itu Qiyamuhu Ta'ala binafsihi "Bersendiri Allah Ta'ala dengan sendiriNya" yang menjelaskan bahawa "Tiada berkehendak Dia kepada zat dan tiada berkehendak Dia kepada fa'il [yakni pembuat] yang menjadikan Dia". Ini kerana, yang berkehendakkan kepada fa'il itu adalah segala kawniyat atau kejadian yang sifatnya adalah baharu, tidak qadim [kekal].

Dan surah al-Ikhlas itu menurut para ulama, menafikan 8 jenis kekufuran, iaitu :

1 - Firman Allah - [Qul HuwAllahu Ahad itu menafikan "katsrah", ertinya banyak dan berbilang-bilang kerana "Ahad" itu Esa pada zatNya dan Esa pada sifatNya, dan Esa pada af'alNya]

2 - Firman Allah - [Allahus Shomad itu menafikan kekurangan dan sedikit, ertinya Allah sahaja yang dituju pada segala keperluan]

3 - Firman Allah - [Lam Yalid itu menafikan 'illat bagi wujud yang selainNya]

4 - Firman Allah - [Walam Yuulad itu menafikan "ma'lul" ertinya dikeranakan atau dikerana akan Allah itu oleh yang selainNya]

5 - Firman Allah - [Walam Yakullahu Kufuwan Ahad itu menafikan "syabihun" iaitu menyerupai yang sangat hampir serupa, dan "nazirun" iaitu menyamai walau pun pada sebahagian rupa]

Semoga penjelasan ringkas ini memberikan pencerahan. WALLAHU A'LAM.

[Gambar hiasan : Naskhah manuskrip yang menjelaskan Sifat 20 ]

Tidak ada komentar:

Posting Komentar