*Bahasa Ahli Sufi*
tulisan oleh H.B. Johar
Ahli sufi memiliki bahasanya yang tersendiri
dari sudut pengucapan mahu pun penulisan.
Walau pun kadangkala bahasa ahli sufi itu tampak mudah dan biasa saja
sebagaimana bahasanya orang awam,
tetapi sebenarnya prinsip dan hakikat pengertian serta kefahamannya
saling jauh berbeda dari apa yang disangkakan oleh fikiran orang awam.
Lantaran itulah mengapa bahasa ahli sufi
sering mengundang kontroversi dan pelbagai tuduhan
yang tidak menyenangkan orang awam seperti sesat dan sebagainya.
Hanya ahli sufi sesama ahli sufi itu sahaja
yang benar-benar faham akan ungkapan atau istilah tertentu
apa yang mereka ingin maksudkan dalam konteks wilayah kesufian
yang begitu halus dan tersembunyi.
Di antara bahasa ahli sufi yang dianggap pelik dan aneh itu ialah:
• Menyembah Tuhan itu syirik bagi ahli sufi
tetapi menyembah Tuhan itu wajib bagi orang awam.
• Ahli sufi tidak menganggap sholat itu seperti sembahyang
seperti keadaan hamba dan Tuhan.
Sholat bagi ahli sufi ialah penyaksian dengan kesedaran matahati
terhadap Diri Yang Sebenar Diri iaitu
Hakikat Muhammad kepada Diri Yang Berdiri dengan sendiri-Nya iaitu
Ujud Allah yang meliputi keEsaannya tampak pada zahir si sufi yang sedang sholat, sedangkan pelaku sebenar sholat itu adalah Allah jua.
Tetapi pada konsep orang awam pula bahwa
sholat itu ialah penyembahan kepada sosok sesuatu
seperti menempatkan yang disembah itu yakni
Allah ada di langit dan si penyembah itu ada di bumi.
• Pada orang awam bahwa akhir tujuan sholat itu ialah
memperolehi ganjaran atau pahala.
Tetapi bagi ahli sufi bahwa sholat itu adalah
dari Allah dan matlamatnya kepada Allah jua.
Maka pada hakikatnya
tidak ada pahala bagi tuntutan si hamba
yang sepertimana diwarwarkan pada zahirnya
kerana semua nikmat itu adalah kepunyaan Allah jua
dan segala kepujian adalah
bagi Af’al, Asma’, Sifat dan Zat-Nya Rabbul Izzati Rabbul ‘Alamin.
Justeru,
masuk syurga setelah dihisab amal seseorang adalah
kerana rahmat Allah dan kasih-sayang-Nya.
• Di dalam maksud kalimah ‘Lailahaillallah’
– orang awam mengertikan tiada Tuhan melainkan Allah.
Tetapi bagi ahli sufi,
selagi perkataan ‘Tuhan’ itu ada disebutkan
selagi itulah berupa syirik.
Bermakna orang awam masih mengakui ada Tuhan lagi
yang perlu dinafikan untuk mencapai istbatul yakin kepada Allah.
Sedangkan ahli sufi
tidak perlu bersandar kepada penafian buat selama-lamanya,
itulah pencapaian kesempurnaan tauhid.
Bagi ahli sufi, kalimah ‘Lailahaillallah’ sebenarnya mengandungi erti
tiada yang ujud secara hakiki serta mutlaknya melainkan Dia,
kerana ahli sufi hanya menghadap ke satu arah sahaja iaitu
ke arah Yang Hakiki.
Justeru itu,
ahli sufi mengatakan bahwa
mereka sentiasa dapat memandang Wajah Allah
ketika di dunia ini tanpa hijab
kerana pandangan mereka
telah telus dan tidak memandang kepada makhluk lagi,
dan tidak perlu menunggu nanti
masa perhimpunan hari akhirat untuk melihat Wajah Allah.
• Menurut orang awam bahwa
syurga itu hanya terletak di akhirat sahaja
dan hanya boleh dimasuki sesudah hari kiamat.
Tetapi menurut ahli sufi bahwa
di dunia ini pun telah sedia ada satu syurga.
Barangsiapa yang dapat memasuki syurga ini
tidak akan menginginkan syurga di akhirat lagi,
kerana syurga di akhirat itu hanya merupakan sebahagian kecil sahaja
dari syurga yang mereka memasukinya sejak di dunia ini
yang merupakan kurnia makrifat kepada Allah.
Isnin 8 Februari 2016
Singapura
Tidak ada komentar:
Posting Komentar