Jumat, 27 Mei 2016

[Utamakan Ahli Keluarga]

[Utamakan Ahli Keluarga]
Habib Ali Zainal Abidin berkata,
.
Suatu ketika, Nabi Muhammad s.a.w. berhenti rehat di sebuah kebun yang dimilki oleh seorang lelaki daripada golongnan Ansar yang digelar dengan nama Talhah.
.
Kebunnya begitu luas dan padanya terdapat sumber air yang sering dijadikan penduduknya sebagai air minuman.
.
Kedudukan kebun ini dahulunya dekat dengan Masjid Nabawi. Dan kebiasaannya apabila Nabi singgah di kebun berkenaan, Nabi akan meminum air yang berada dalam kawasan kebun itu. Allah s.w.t. mengurniakan kebun yang subur kepada Talhah.
.
Bukan itu sahaja, air bersih yang mengalir dalam kebunnya itu juga mempunyai rasa yang sungguh lazat, tidak sama dengan air yang mengalir dari sumur di kebun milik orang lain yang berada di sekitarnya. Dikatakan air dari sumur miliknya itu begitu jernih dan menyegarkan.
.
Pada suatu hari, Talhah menghampiri Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata kepada Baginda, “ Wahai Rasulullah, saya adalah lelaki yang paling kaya dalam kalangan masyarakat Ansar. Dalam kesemua harta yang saya miliki, kebun yang memiliki sumur air yang kamu minum ini adalah yang paling saya sayangi.
.
Maka kerana seruan Tuhan, dengan ini saya mewakafkan kebun saya pada jalan Allah. Jadi sebagai seorang ketua bagi kami, kamu berhak menentukan siapa selayaknya mengambil manfaat dari kebun ini, wahai Rasulullah.”
.
Akhlak Para Sahabat. Betapa indahnya akhlak para sahabat. Sifat pemurah dan dermawan mereka tidak ditandingi oleh sesiapa pun.
.
Mereka tidak berkira-kira untuk bersedekah ataupun mewakafkan harta kepunyaan mereka. Paling menakjubkan, mereka pasti memberi dan menyumbang harta yang paling mereka sayangi untuk Islam.
.
Sekarang, masih adakah sikap sebegitu? Hakikat manusia sekarang makin sayang, semakin disimpan harta itu. Jangan harap hendak disedekahkan kepada orang lain. Yang disedekahkan itu pasti bahagian lebihan ataupun yang kurang disayangi, begitulah kebiasaannya.
.
Penulis tidak maksudkan semua orang, tetapi kebanyakannya begitu. Lihat sahaja pakaian yang disedekahkan kepada fakir miskin, koyak di situ, tampal di sini, sedangkan baju baru disimpan sahaja di dalam almari.Penulis tidak menyatakan slah menderma barang sebegitu.
.
Yang ingin penulis terangkan adalah perbezaan sifat dermawan para sahabat dan sifat dermawan manusia pada masa kini.
.
Para sahabat berlumba-lumba mahu menjadi penderma yang baik di sisi Allah s.w.t.Sebab itu mereka tidak kedekut ataupun berkira-kira bagi menderma apa sahaja, meskipun harta kepunyaan itu sungguh mereka sayangi.
.
Itu adalah sebaik-baik sedekah dan wakaf dalam Islam. “Selepas mengambil kira nilai keikhlasan dalam memberi, penderma yang terbaik adalah mereka yang sanggup menderma harta yang paling baik, paling elok, dan paling berharga kepunyaannya, meskipun ia hanya sekecil buah tamar.”
.
Yang Paling Berhak. Mendengar ucapan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w. dalam keadaan penuh ketenangan seolah-olah mengetahui dan dapat merasakan bahawa masih terdapat sesuatu yang menjadi kekurangan dalam diri Talhah.
.
Dan pasti sahaja segala keputusan dan arahan Nabi Muhammad s.a.w. kepadanya akan dituruti sehabis baik. Ini kerana, Nabi adalah sebaik-baik insan yang diutuskan bagi memberi petunjuk kepada umatnya perihal apa yang terbaik untuk mereka lakukan.
.
Kemudian Nabi menjawab, “Sesungguhnya aku sudah mendengar kesemua yang dibicarakan oleh kamu. Seperti kata-kata kamu sebentar tadi, aku mempunyai peluang bagi menentukan siapa yang berhak ke atas kebun ini. Maka dengan itu wahai Talhah, orang yang berhak ke atas kebun yang kamu sayangi ini adalah ahli keluarga kamu.”
.
Mengapa Keluarga Perlu Diutamakan? Dalam Islam, kita diajar supaya mendahulukan ahli keluarga dan kaum kerabat dalam memberikan pertolongan. Ini kerana, dalam keluarga sendiri hanya kita yang lebih mengetahui siapa yang lebih memerlukan dan siapa yang lebih susah berbanding orang lain.
.
Sekiranya setiap daripada kita memahami nilai ini, pasti nasib setiap keluarga akan terbela dan terjaga. Ukhwah antara keluarga boleh diibaratkan sebagai segenggam benih yang diikat dalam karung guni. Hanya benih dalam ikatan itu mengetahui benih mana yang sedang subur membesar ataupun akan rosak dan mati.
.
Amat tidak masuk akal sekiranya dibiarkan benih yang tidak subur untuk terus mati kekeringan, kerana ingin membantu benih dalam karung lain yang belum tentu sama jangka hayatnya. Pendek kata, keluarga sendiri, hanya kita lebih mengetahui keadaan mereka berbanding orang lain.
.
Susah dan sedih mereka hanya kita yang lebih memahami. Maka, jangan pula kita menanti orang lain datang menolong mereka tanpa kita terlebih dahulu cuba menolong. Siapa yang akan membantu, bila bantuan akan muncul? Ya, kita tidak tahu.
.
Jangan salah faham, bukan bermakna agama Islam tidak menggalakkan umatnya menolong mereka yang bukan darah daging mereka, bukan begitu.
.
Cuma ia membawa maksud, sekiranya ada dalam keluarga ataupun saudara-mara yang mengalami kesusahan, maka kita terlebih dahulu yang wajib dan bertanggungjawab menolong mereka.
.
Adakah kita sanggup membiarkan mereka berjalan ke sana dan ke mari mengetuk pintu rumah orang lain yang bukan darah daging mereka bagi meminta bantuan, sedangkan ahli keluarganya sendiri yang tinggal dalam kesenangan dan keselesaan hidup, hanya menggoyangkan kaki?
.
Dalam Islam perkara sebegini tidak sepatutnya terjadi dan ia adalah satu kesalahan yang besar dalam institusi kekeluargaan. Tidak salah bagi menolong orang lain. Cuma, rajin-rajinkan diri bertanya khabar dan bertanya hal ehwal saudara keluarga dengan kita.
.
Indahnya ajaran Islam, betapa makmur dan bahagianya institusi keluarga sekiranya perkara ini menjadi prinsip yang sebati dalam hidup semua umat Islam.
.
Selain itu, menjadi keutamaan bagi setiap Muslim supaya mendahulukan ahli keluarganya kerana ia dapat menutup pintu cemburu dan hasad dengki yang dapat membawa kepada jalan perpisahan antara keluarga.
.
Masakan tidak, pasti ahli keluarga yang terlebih dahulu berasa sedih dan kecewa sekiranya mereka tidak dapat berasa apa-apa pemberian daripada kita walaupun sedikit, kerana sikap kita yang lebih mengutamakan orang lain.
.
Ya, sekiranya ahli keluarga sudah senang dan juga kaya-raya tidak mengapa. Mungkin mereka tidak mudah terasa hati dengan perkara ini, namun bagaimana sekiranya mereka miskin dan begitu memerlukan? Bukankah kita sudah berlaku zalim kepada mereka kerana sanggup mengenepikan mereka yang lebih memerlukan?
.
Utamakan kebajikan mereka. Kadangkala bagi ahli keluarga kita yang berharta, mereka tidak pun menginginkan pemberian harta ataupun wang. Cukup sekadar hadiah ikhlas sebagai tanda ingatan.
.
Jangan pula ada dalam kalangan kita yang salah faham dan bersikap berlebih-lebihan dalam berbuat baik kepada ahli keluarga, hingga saudara Islam lain yang benar-benar memerlukan pula tidak dibantu.
.
Fahami konsep dan prinsip ini dengan sebaiknya. Juga, jangan pula menutup hak orang lain semata-mata bagi melebihkan ahli keluarga sendiri, kerana ia langsung tidak menepati tuntutan dan keinginan Islam.
.
Siapa yang melakukannya sudah bercanggah dengan ajaran yang sebenarnya. Sekiranya benar hak itu kepunyaan orang lain, maka jangan diceroboh dan diambil atas nama memerlukan kebajikan kepada ahli keluarga.

[Nasihat bagi hati]

Tidak ada komentar:

Posting Komentar