Zaman Akhir
Orang Yang Tak Sedarkan Diri
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda "Jika
ada seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata
itu sendiri yang paling rosak di antara mereka" (HR Muslim)
Menjual Agama Kerana Dunia
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
"Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia
dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan
pakaian yang diperbuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari
dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih
manis daripada gula, padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah SWT
berfirman kepada mereka "Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu?
Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku
bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan
mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi
bingung" (HR Tirmizi)
Pendusta Dan Pengkhianat
Daripada Abu
Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Akan datang
kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan. Pada waktu itu si
pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta.
Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan
pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba membetulkan)
hanyalah golongan "Ruwaibidhah". Sahabat bertanya "Apakah Ruwaibidhah
itu wahai Rasulullah?" Nabi SAW menjawab "Orang kerdil, hina, dan tidak
mengetahui bagaimana hendak mengurus orang ramai" (HR Ibnu Majah)
Penindasan Terhadap Umat Islam
Daripada Tsauban r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Hampir
tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang
mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas
hidangan mereka" Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana kami
sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab "Bahkan kamu pada hari itu
terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan
mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan
Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'. Seorang
sahabat bertanya "Apakah 'wahan' itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah
menjawab "Cinta dunia dan takut mati" (HR Abu Daud)
Namanya Saja Islam
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. beliau berkata, telah bersabda
Rasulullah SAW "Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi
dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran
kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong
daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di
bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua
fitnah itu akan kembali " (HR Al-Baihaqi)
Budaya Barat Ikutan Umat Islam Kini
Daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a. beliau berkata, bahawasanya
Rasulullah SAW bersabda “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat
sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga
jikalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut
mereka" Sahabat bertanya "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang
Tuan maksudkan?" Nabi SAW menjawab "Siapa lagi?" (HR Muslim)
Ulama Tidak Dipedulikan
Daripada Sahl bin Saad as-Sa 'idi r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW
bersabda "Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan daku dan mudah-mudahan
kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah
tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan
lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah
orang Arab" (HR Ahmad)
Ulama Agama Semakin Berkurang
Daripada Abdullah bin Amr bin 'Ash r.a. beliau berkata, aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda "Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut
(menghilangkan) ilmu dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah
SWT menghilangkan ilmu agama dengan mematikan para ulama. Apabila telah
ditiadakan para ulama, orang ramai akan memilih orang-orang jahil
sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka
akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang
lain" (HR Muslim)
Golongan Anti Hadis
Daripada Miqdam bin
Ma'dikariba r.a. beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda
"Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk
bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah
hadis dari hadisku maka dia berkata "Pegangan kami dan kamu hanyalah
kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan, dan
apa yang ia haramkan kami haramkan" (Kemudian Nabi SAW melanjutkan
sabdanya) "Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah
hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT" (HR Abu Daud dan Ibnu
Majah)
Berbangga-Bangga Dengan Masjid
Daripada Anas bin
Malik r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda "Tidak terjadi hari
Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid" (HR Abu
Daud)
Tak Ada Imam Untuk Solat Berjemaah
Daripada Salamah
binti al-Hurr r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda
"Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri tegak
beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat
mengimami mereka solat" (HR Ibnu Majah)
Penyakit Umat Islam Masa Kini
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa
umat-umat terdahulu" Sahabat bertanya "Apakah penyakit-penyakit
umat-umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab "Penyakit-penyakit itu
adalah, 1.Terlalu sombong, 2.Terlalu mewah, 3.Mengumpulkan harta
sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia,
5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki sehingga menjadi zalim menzalimi"
(HR Hakim)
Perangkap Riba
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau
berkata, Rasulullah SAW bersabda "Akan tiba suatu zaman, tidak ada
seorang pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia
tidak memakannya secara langsung, dia akan terkena debunya" (HR Ibnu
Majah)
Manusia Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW,
"Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan daripada mana dia
mendapatkan harta, apakah daripada sumber yang halal atau pun haram"
(Riwayat Muslim)
Khamar
Daripada Abu Malik Al-Asy'ari r.a.
katanya Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya akan ada sebahagian dari
umatku yang meminum khamar dan mereka menamakannya dengan nama yang
lain, sambil diiringi dengan alunan muzik dan suara biduanita. Allah SWT
akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah SWT akan mengubah
mereka menjadi kera atau babi" (HR Ibnu Majah)
Banyaknya Perzinaan
Daripada Anas r.a. beliau berkata "Aku akan menceritakan kepada kamu
sebuah Hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah
aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Di antara tanda kiamat
ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum
perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan
mengurus lima puluh orang perempuan" (HR Bukhari Muslim)
Berpakaian Tetapi Telanjang
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
''Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka, keduanya belum
pernah aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai
cambuk bagaikan ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang. Kedua,
perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, lenggang-lenggok sewaktu
berjalan, mengayun-ayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol
(belakang unta). Kedua golongan ini tidak akan masuk syurga, bahkan
tidak akan dapat mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman syurga itu
akan terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh (HR Muslim)
Perilaku Manusia Masa Kini
Daripada Aisyah r.a. beliau berkata "Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda "Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi
sebab kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi panas, akan
bertambah banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik,
anak-anak menjadi berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani
melawan orang-orang baik” (HR Thabrani)
Anak Menjadi Tuan Kepada Ibunya
Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang),;
…kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah SAW " Maka khabarkan
kepadaku tentang hari kiamat?" Lalu Nabi SAW menjawab, "Orang yang
ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka
Jibrail berkata "Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya"
maka Nabi SAW menjawab "Bahawa hamba akan melahirkan tuannya, dan engkau
melihat orang berjalan tanpa kasut, dan orang yang bertelanjang lagi
miskin yang hanya menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat
binaan" (Riwayat Muslim)
Peperangan Demi Peperangan
Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda "Hari kiamat
tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak
fitnah dan sering terjadi al-Harj. Sahabat bertanya "Apakah al-Harj itu
wahai Rasulullah?" Nabi SAW menjawab "Peperangan, peperangan,
peperangan” Beliau mengucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah)
Perang Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana Berebut Kekayaan
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda "Tidak
terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, Iraq)
menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak
orang yang terbunuh kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh
sembilan daripada seratus orang yang berperang, dan masing-masing yang
terlibat berkata "Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu" Dalam
riwayat lain disebutkan "Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat
akan menjadi surut airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari emas, maka
sesiapa sahaja yang hadir di situ janganlah dia mengambil sesuatu pun
dari harta tersebut" (HR Bukhari Muslim)
[Terdapat sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas dalam Hadis ini merujuk kepada petroleum]
Islam Akan Pudar Secara Perlahan-Lahan
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW
bersabda "Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian,
sehingga orang tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan puasa,
apakah yang dimaksudkan dengan solat, apakah yang dimaksudkan dengan
nusuk (ibadah), dan apakah yang dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran
akan hilang semuanya pada satu malam sahaja, maka tidak ada yang
tertinggal di permukaan bumi ini daripadanya walaupun hanya satu ayat.
Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di antaranya
orang tua, lelaki, dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami
sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH,
lalu kami pun mengucapkannya juga” (HR Ibnu Majah)
Perselisihan Yang Banyak
Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. beliau berkata "Telah
menasihati kami Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati
kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami
berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir
sekali maka berikanlah pesanan kepada kami" Lalu baginda pun bersabda
"Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan
mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu
hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada
kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah
kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin
Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat
pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi
geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang
diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat"
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Golongan Yang Selamat
Daripada 'Auf bin Malik r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
"Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan,
maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh
akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh
dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya
satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku dalam
kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga
golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh
dua akan masuk neraka. Sahabat bertanya "Golongan mana yang selamat?"
Nabi SAW menjawab "Mereka adalah jemaah” (HR Ibnu Majah)
Orang Asing
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Bersabda Rasulullah SAW
"Islam mula berkembang dalam keadaan asing, dan ia akan kembali asing
pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing" (HR Muslim)
Kepayahan Orang Yang Beriman
Daripada Anas r.a. Rasulullah SAW bersabda ''Akan datang kepada manusia
suatu zaman di mana orang yang berpegang teguh di antara mereka kepada
agamanya laksana orang yang memegang bara api. (HR Tarmizi)
Kesusahan Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. "Bahawasanya kami sedang duduk bersama
Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a.
Dan tidak ada di badannya kecuali hanya selembar selendang yang
bertampal dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya.
Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan
Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh
ibunya), dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di
Madinah sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda
dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda
"Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti, pergi pada waktu pagi
dengan satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang
lain pula. Dan apabila diberikan satu hidangan, diletakkan pula satu
hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana
kamu memasang kelambu Kaabah?” Maka jawab sahabat "Wahai Rasulullah,
tentunya keadaan kami pada waktu itu lebih baik daripada keadaan kami
pada hari ini. Kami akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada masalah
ibadat sahaja dan tidak bersusah payah lagi untuk mencari rezeki" Lalu
Nabi SAW bersabda "Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah lebih baik
daripada keadaan kamu pada hari itu" (HR Tirmizi)
Golongan Yang Sentiasa Menang
Daripada Mughirah bin Syu'bah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW
bersabda "Sentiasa di kalangan umatku ada golongan yang sentiasa menang
(dalam perjuangan mereka), sehingga tiba pada suatu waktu yang
dikehendaki Allah SWT. Mereka senantiasa menang. (HR Bukhari)
Pertempuran Dengan Dajal
Daripada Nafi' bin Utbah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
“Kamu akan bertempur dengan Jazirah Arab, dan Allah akan memberi
kemenangan kepada kamu, kemudian kamu akan bertempur dengan Parsi, dan
Allah akan memberi kemenangan kepada kamu; Kemudian kamu akan bertempur
dengan Rom, dan Allah akan memberi kemenangan kepada kamu; Kemudian kamu
akan bertempur dengan Dajjal, dan Allah akan memberi kemenangan kepada
kamu.” (HR Muslim)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar