Kamis, 18 Februari 2016

Tuhan Manusia - Faisal Tehrani

Tuhan Manusia - Faisal Tehrani
.

Judul : Tuhan Manusia
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
Genre : Novel
Mukasurat : 340 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9789833991372




"Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama."

Setelah sekian lama, menunggu, akhirnya novel Tuhan Manusia ini lahir di pasaran. Apa yang saya cari dan tidak berjumpa dalam Bila Tuhan Berbicara saya temui dalam novel ini. Novel Tuhan Manusia, memang satu novel yang ambisius seperti kata Faisal Tehrani.

Ianya cuba meneroka isu yang jarang ditulis oleh penulis novel tempatan. Novel ini membedah dengan sungguh-sungguh problem yang menyerang umat Islam pada masa ini iaitu faham pluralisme agama dan juga faham Islam liberal. Faham penuh kekeliruan ini perlu ditentang kerana ianya sudah mula menular ke dalam masyarakat Melayu dalam Negara kita.

Pluralisme agama adalah faham yang bermula dari cubaan untuk menyamakan semua agama. Semua agama dianggap sama dan semua penganutnya akan ke syurga. Bukan hanya Islam sahaja yang betul, yang lain pun betul juga. Pendokong faham ini malah menyelewengkan kata-kata Jalaludin Rumi dengan mengatakan, lampu berbeza tetapi cahayanya sama, sebagai menyeru kepada pluralisme agama.

Seingat saya sangat sedikit buku-buku yang ditulis dalam Bahasa Melayu tentang pluralisme agama. Buku Bahaya Islam Liberal susunan Asri Zainal Abidin dan terbitan Karangkraf mungkin merupakan satu-satunya buku yang menghimpunkan kertas kerja yang cuba membedah faham Islam Liberal. Itupun, menurut bacaan saya ditulis dengan kurang cermat dan dan tidak berlaku adil kepada ramai tokoh pembaharuan Islam, kerana secara borong meletakkan ramai tokoh pemikir Islam dalam bakul pemikir Islam Liberal. Mungkin Asri terpengaruh dengan buku Wacana Islam Liberal tulisan Charles Kurzman yang terkenal di Indonesia dan dikatakan telah menjadi pencetus fahaman Islam liberal di Indonesia. Charles Kurzman lebih jahil hingga meletakkan Bapak M Natsir dan Yusuf Qardhawi dalam kelompok pemikir Islam Liberal.

Satu lagi buku yang menulis tentang pluralisme agama adalah buku Islam dan Pluralisme yang disusun oleh Al Mustaqeem dan Khairul Anam Che Menteri. Buku ini memuatkan tulisan pendokong pluralisme agama seperti Nurcholish Madjid, Asghar Ali Engineer dan juga tokoh John Hick dan Hans Kung.

Tulisan dari pemikir Islam tanah air sangat-sangat kurang, tentang bahaya pluralisme agama. Saya berbicara tentang buku bukan fiksyen, belum lagi karya fiksyen!

Kita punya ramai lulusan agama tetapi tidak ramai yang mahu berjuang untuk mencerahkan pemikiran umat tentang bahaya pemikiran sebegini. Tokoh-tokoh agama lebih senang mengulang-ulang berbahas tentang soal talqin dan qunut, soal doa arwah, solat terawih lapan rakaat atau 20 dan seumpamanya. Lebih malang lagi, bila ada tokoh agama yang diberi sedikit kuasa mengubah hala senjata ke arah golongan agama, lalu dicari soal titik bengik untuk dibahas.

Kita juga tidak kurang penulis fiksyen dari golongan agama. Malangnya untuk mencari mereka yang sungguh-sungguh berdakwah dan memanfaatkan ilmu dalam bidang penulisan, bagaikan mencari jarum di tengah padang rumput. Kalau adapun, akan mencari jalan mudah menulis cerita cinta yang dikatakan novel Islami. Kononnya sebuah novel sudah jadi Islami bila sering sebut assalamualaikum dan bila watak di dalamnya suka ber`ana anta'. Geli geleman tenggorok tua saya bila baca cerita cinta enta-enti, akhawah akhawat ini. Zaman saya membaca cerita begitu sudah berlalu. Umur sudah tua. Banyak lagi buku bagus yang tak akan sempat saya baca.

Saya dari lulusan bukan agama, dan saya mengkaji dan menyelongkar segenap ceruk mencari bahan bacaan tentang pluralisme agama dan Islam Liberal dari banyak sumber yang terpaksa saya cari sendiri. Pencarian itu memang perit kerana bahan bacaannya sukar dicari. Saya banyak membaca buku dan majalah dari Indonesia yang serius membahaskan tentang kekeliruan fahaman ini. Saya tak berselindung dengan mengatakan saya kecewa dengan sesetengah lulusan agama yang tidak berlaku adil dengan ilmu yang mereka perolehi. Mereka segan berdakwah dan kedekut ilmu untuk dikongsi, menyimpan ilmu untuk diri sendiri, mungkin mahu dibuat bekal masuk syurga seorang diri.

Akhirnya buku Tuhan Manusia ini lahir dan memuatkan banyak maklumat yang pernah saya baca dari berbagai sumber. Buku Tuhan Manusia ini bagai merumuskan fahamn pluralisme agama dan Islam Liberal. Lebih menarik lagi, ia cuba mengaitkan isu murtad yang melanda umat Islam di negara kita dengan golongan ini.

Novel ini bercerita tentang sejarah lahirnya pluralisme agama bawaan John Hick juga Wilfred Cantwell Smith. Turut disinggung karya Harvey Cox, Secular City yang membawa faham sekularisasi. Novel ini sekali lagi membawa watak seorang muda sebagai hero. Watak Ali Taqi saya rasakan mengambil inspirasi tokoh Ali Shariati yang sering meletakkan harapan pada anak muda dan telah mempopularkan istilah rausyan fikr dan ulul-albab.

Saya puas membaca novel ini. Kemarahan saya kepada segelintir penulis latarbelakang agama luntur bila membaca novel ini. Novel ini merupakan novel wacana dan berbahas dan mematahkan hujah pendokong faham pluralisme agama. Ayat AlQur’an dan Hadith digunakan sebagai hujah. Faisal Tehrani yang memang seorang lulusan agama telah menggunakan ilmu yang ada untuk memberikan hujah-hujah dari sumber-sumber Al-Qur’an dan Hadith untuk menolak fahaman pluralisme agama.

Saya percaya buku ini mungkin sukar untuk diterima oleh pendokong pluralisme agama, Islam Liberal atau sekularisme. Itupun kalau mereka baca. Golongan ini memang gatal-gatal lubang telinga, dan perut rasa libang-libu bila mendengar orang berhujah dengan hujah Al-Qur’an dan Hadith. Penganut faham skepticism dan relativism akan menolak hujah tersebut, kerana bagi mereka kebenaran itu tidak mutlak, bergantung kepada individu. Bila ditunjukkan ayat AL-Qur'an pula mereka akan berdebat mengatakan Ayat Al-Qur'an tidak boleh dibaca secara tekstual.

Golongan yang mendokong faham barat ini melihat Islam dari kacamata barat. Mereka menggunakan konsep, tasawwur, pandang sejagat barat untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi umat Islam. Mereka memandang Islam sebagaimana peradaban sekular liberal memandang agama Kristian. Mereka menyangka konsep dan falsafah dalam Islam itu sama dengan apa yang ada dalam agama Kristian.

Kepada adik-adik dan rakan-rakan pembaca, bacalah buku ini. Fahamilah masalah dan bahaya yang sedang melanda. Moga akan lahir lebih ramai Ali Taqi yang boleh jadi penggerak dan pendorong perubahan dalam masyarakat. Nasib dan masadepan umat di tangan anak muda!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar