Sabtu, 17 Oktober 2015

KEWAJIPAN MEMBAYAR FIDYAH

► Assammualaikum semua rakan-rakan, semoga semuanya sihat dan ceria selalu… nampaknya Ramadhan Al Mubarak bakal menjelma tidak lama lagi , ramai yang tahu bagaimana cara mengira dan membayar fidyah. 
Oleh yang demikian untuk entri kali ini admin akan memaparkan cara pengiraan fidyah. Moga ada manafaat untuk semua, lapangkan sedikit masa dan lapangkan fikiran untuk memahami berapakah kadar fidyah dan siapakah yang wajib membayar fidyah …

APAKAH FIDYAH ?

► Fidyah berkait rapat dengan ibadah puasa di mana ada beberapa sebab dalam puasa wajib yang jika ditinggalkan akan dikenakan fidyah iaitu meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh.
Wanita hamil dan yang menyusukan anak terpaksa meninggalkan puasa serta menangguhkan qada puasa sehingga tiba Ramadan berikutnya.

► Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan Syarak.

► Firman Allah S.W.T. bermaksud: “…
Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. 
Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; 
dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184)

► Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: 
“Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan yang belum diqadanya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan bagi pihaknya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

► Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang itu dikenakan fidyah apabila meninggalkan puasa atau sebaliknya :-

- Seseorang yang meninggalkan puasa kerana bermusafir atau sakit, maka wajib ke atasnya mengqada puasa sebelum datangnya Ramadan tahun berikutnya dan jika dilaksanakan dalam keadaan sedemikian maka tiada dikenakan fidyah.

- Seseorang yang menangguhkan qada puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya kerana cuai atau tidak mengambil berat, maka dia dikira berdosa dan diwajibkan membayar fidyah berserta qada puasa mengikut bilangan hari ditinggalkan.

- Seseorang sakit berterusan hingga masuk Ramadan yang lain, dia wajib mengqada puasanya saja tanpa dikenakan fidyah.

- Sekiranya seseorang itu mati sebelum berkemampuan atau berkesempatan mengqada puasanya bukan disebabkan cuai atau sebagainya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqada bagi pihaknya serta tidak diwajibkan membayar fidyah bagi puasa ditinggalkannya.

- Sesiapa yang mati selepas mampu mengqada puasanya, maka walinya (bapa, datuk atau ahli keluarganya) disunatkan mengqada hari-hari ditinggalkan bagi pihaknya.

- Orang lain yang berpuasa bagi pihaknya adalah sah apabila 
mendapat keizinan salah seorang ahli keluarga terdekatnya. 
Jika dia berpuasa tanpa mendapat keizinan dan wasiat daripada si mati, 
maka puasa ganti itu tidak sah.

- Jika tiada seorang pun berpuasa bagi pihak si mati, maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkannya. 
Makanan itu wajib dikeluarkan daripada harta pusaka ditinggalkannya, 
sama seperti hutang. 
Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.

- Seseorang meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, 
sekiranya dengan berpuasa akan membawa kesulitan kepadanya, 
maka wajib membayar fidyah saja berdasarkan kesepakatan ulama.

- Seseorang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa, 
sekiranya dia tidak berkemampuan juga untuk membayar fidyah 
maka tiada apa-apa dikenakan ke atasnya.

- Seseorang yang mengalami sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, maka wajib membayar fidyah dengan kesepakatan ulama, 
kerana puasa tidak lagi diwajibkan ke atasnya.

- Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, jika meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wajib membayar fidyah berserta dengan qada puasa mengikut jumhur ulama.

KADAR BAYARAN FIDYAH

► Kadar bayaran fidyah adalah berdasarkan harga secupak makanan asasi penduduk setempat. Kadar tersebut berubah bergantung kepada kadar harga fitrah yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan setiap tahun.

► Kadar Bayaran Zakat Fitrah Negeri Sembilan adalah sebanyak 1 gantang bersamaan 2.751kg. Oleh yang demikian, kadar fidyah adalah bersamaan ¼ gantang iaitu sebanyak 688 gram.
Kadar fidyah yang diguna pakai oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan ialah sebanyak ¼ daripada harga fitrah yang telah diwartakan

Kiraan Fidyah :

► Puan Fatimah telah meninggalkan puasa sebanyak 5 hari pada bulan Ramadhan 1435H (2014), namun dia melambat-lambatkan qadhanya sehingga datang bulan Ramadhan 1436H ( 2015) , maka wajib bagi Puan Fatimah membayar fidyah di samping mengqadha puasanya yang tertinggal. Untuk mengetahui jumlah fidyah dalam bentuk sukatan atau timbangan adalah seperti berikut:

- Jumlah qadha puasa adalah kekal sebanyak 5 hari
- 1 hari puasa yang ditinggalkan dikenakan 1 cupak atau 688 gram.
- 5 hari puasa dikenakan 5 cupak (688 gram x 5 = 3,438 gram iaitu sebanyak 3 kg 438g).
- Sekiranya kadar fitrah pada 1436H adalah RM6.50, maka ¼ harga fitrah adalah RM1.625
- Oleh yang demikian, kadar fidyah bagi 5 hari yang ditinggalkan adalah sebanyak RM 1.625 x 5 = RM 8.125

Nota : Bagi yang masih berkesempatan dan sihat adalah lebih baik menggantikan puasa terlebih dahulu kerana masih ada masa menjelang Ramadhan akan datang.

Sebarkan !!!!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar