Kamis, 19 Mei 2016

Guruku

Guruku yang kucintai al-Allamah al-Mutakallim al-Adib al-Arif billah Prof. Dr. Hasan Syafiie r.a walaupun sudah mencapai umur 85 tahun (tua setahun dari Prof. Syed Naquib al-Attas), masih aktif mengajar dua kali seminggu di Masjid al-Azhar as-Syarif secara tradisional/talaqqi. Selain menjadi pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka Mesir, beliau juga giat mengajar di Darul Ulum Cairo University dan dijemput ke pelbagai muktamar.
Selama al-Faqir berguru dengan beliau, al-faqir mendapati banyak persamaan antara idea beliau dan al-Allamah Prof al-Attas. as-Syaikh Hasan sangat mementingkan pengekalan sistem pengajian tradisional untuk menghidupkan turath-turath Islam dan melahirkan insan-insan yang bertamadun.
Bagi saya, untuk mengatasi krisis 'loss of adab' dikalangan umat, dengan menghidupkan sistem pengajian tradisional, talaqqi, madrasah, pondok yang progresif, pembinaan insan adabi yang tinggi intelek dan spiritualnya lebih mudah tercapai.
Bahkan sistem pendidikan tanpa bayaran dan terbuka untuk umum inilah yang menjadi rahsia pembinaan tamadun Islam dahulu, dimana murid bukan sahaja mempelajari ilmu, bahkan mempelajari adab yang diwarisi daripada guru mereka dan bersambung kepada Nabi SAW. Ya, sistem ini adalah satu-satunya sistem yang mempunyai sanad riwayah, dirayah(kefahaman) dan tazkiyah(penyucian jiwa)..
Mengambil berat aspek pendidikan intelektual dan spiritual, setiap kali sebelum mengajar ilmu mantik(kitab Mi'yār al-'ilm, al-Ghazali) dan ilmu kalam(kitab al-Mawāqif, al-Īji) as-Syaikh Hasan akan menyirami jiwa-jiwa kami dengan 1-2 hadis daripada kitab Syamāil Muhammadiah yang memperihalkan keperibadian dan akhlak Nabi SAW.
Seawal jam 9:30 pagi, as-Syaikh Hasan datang bersendirian dengan teksi ke ruwaq al-Magharibah, Masjid al-Azhar. Beliau menceritakan, keretanya dijual kerana tidak suka mendengar perkataan buruk pemandu Mesir terhadap dirinya disamping menjaga hatinya daripada dikotorkan rasa benci dan prasangka buruk terhadap mereka.(memang maklum pemandu Mesir amat kasar dan buruk akhlaknya) Subhanallah!
Walaupun murid yang hadhir ketika itu kebiasaannya 3 atau 4 orang sahaja, Syaikh tetap memulakan pengajiannya. Beliau akan mensyarahkan setiap kalimah daripada kitab dengan dalam kepada kami. Kesungguhan as-Syaikh mengajar tampak apabila as-Syaikh berkali-kali bertanya, adakah kalian faham? as-Syaikh sanggup mengulanginya sehingga faham, dan kadangkala menggunakan papan putih untuk menerangkan.
Tatkala petugas Masjid membancuhkan teh untuknya, beliau akan memberikannya kepada murid-muridnya, sampai tahap, beliau akan meminum bekas anak muridnya yang tidak habis minum. Kata beliau, "Saya datang ke sini untuk berkhidmat kepada kalian dan bukan sebaliknya!". Beliau juga sangat marah sekiranya muridnya ingin tolong mengangkat kasut atau begnya.
Bicara tentang ketinggian akhlaknya panjang berjela-jela.. tak bisa diungkapkan segalanya disini.. walaupun sudah berumur(lahir 1930), beliau masih sanggup dan tidak jemu-jemu untuk berjuang mendidik ummah.. pengajian kitab al-Mawāqif ini saja sudah bertahun-tahun lamanya sejak sebelum al-Faqir datang ke Mesir lagi..
Di Malaysia kita boleh lihat cerminan akhlaknya pada seorang tokoh yang merupakan hasil didikannya dan hasil didikan Prof al-Attas, Prof. Wan Suhaimi Wan Abdullah al-Azhari hafizahullah, seorang pensyarah di CASIS, UTM.
Radhiallahu'ankum Sayyidunal Imam as-Syaikh Hasan Syafiie.. moga Allah panjangkan umurmu dalam kesihatan dan redhaNya..

Tidak ada komentar:

Posting Komentar