Minggu, 25 Oktober 2015

SIAPA AKU 2

Pernahkah anda terfikir siapakah AKU ini..?
Pernahkah anda terbayang apakah AKU kita ini…?
Sebenarnya AKU kita ini adalah ROH kita, bukan badan kasar ini. Badan kasar ini akan mati sekiranya tiada ROH. Sekiranya tiada ROH, badan kita akan hancur binasa.
ROH kita inilah diri kita yang sebenarnya,.ROH ini hidup dan tidak akan mati. ROH inilah juga zat diri kita.
ROH ini juga limpahan Yang Maha Hidup iaitu Allah SWT. Allah itu hidup. Dia mempunyai sifat hidup. Maka hidup(ROH) kita adalah limpahan dari hidup Allah itu.
ROH ini juga digelar “bayangan” Yang Maha Hidup itu. ROH itu bayang kepada Yang Empunya Bayang. Yang Empunya Bayang itu ialah Allah, dan ROH kita itu adalah “bayangan” Allah itu. Demikian pendapat-pendapat ahli-ahli Sufi.
Allah itu tidak kelihatan, Maha Ghaib dan tidak ada satupun yang seumpama denganNya. Bagaimana kita dapat tahu adanya sesuatu yang tidak kelihatan dan tidak terperikan. Ibarat angin, kita tidak nampak angin, tetapi bagaimana kita tahu angin sedang bertiup dan angin itu ada? Jawabnya, kita tahu adanya angin itu kerana ada kesannya.
Bila daun pokok bergoyang, kita tahu angin sedang bertiup. Kalau kita rasa hembusan, maka itu adalah hembusan angin, sebagainya. Goyangan daun dan rasa hembusan itu adalah tanda-tanda adanya angin. Kita tidak nampak angina tetapi kita tahu adanya angina melalui tanda-tandanya.
Demikian jugalah keadaannya dengan Allah SWT. Kita tidak nampak DIa, tetapi kita rasa dan percaya adaNya melalui tanda-tandaNya. Tanda-tanda Allah itu ialah alam semesta raya ini. Tanda-tanda ini dalam bahasa Arab ialah “ayat”. Oleh itu, alam semesta raya dan diri kita ini adalah ayat-ayat Allah belaka.
ROH sangat tinggi martabatnya, melebihi peringkat malaikat. Tempatnya disisi Allah yang Maha Tinggi. ROH inilah yang mengenang Allah (zikrullah) seolah-olah kerjanya mengenang Allah sahaja. Seolah-olah makan minumnya “zikrullah” sahaja.
ROH yang suci ini sentiasa mentauhidkan Allah Yang Maha Suci. Najis padanya ialah menyekutukan Allah. ROH ini sangat cinta kepada Allah SWT. Ia memuja dan memuji Allah sentiasa. Allah itu kekasihnya. Cukuplah Allah itu baginya.
Tahukah anda bahawa AKU anda itu adalah ROH yang datang dari Allah, hidup dengan Allah, dan kembali kepada Allah. Allah itulah pengkalan tempat bertolak, lautan yang dilayari dan pelabuhan tempat berhenti.
Jika dikaji dalam-dalam anda akan sedar dalam pandangan kerohanian bahawa Allah itu adalah tempat permulaan perjalanan kita. Dialah tempat perjalanan itu sendiri, dan Allah itu jugalah destinasi akhir perjalanan hidup ini.
Tempat bertolak, perjalanan dan destinasi yang dimaksudkan disini bukanlah dari segi pandangan fizikal yang tertakluk kepada ruang dan waktu. Tempat perjalanan dan destinasi yang dimaksudkan di sini iailah dari segi pandangan rohaniah, perasaan dan khayali(thought) kita.
AKU atau ROH kita adalah tanda-tanda atau ayat-ayat Allah. ROH itu juga bayanganNya dan penzahiranNya. Dari segi pandangan kerohanian, Allah itulah Yang Awal, Yang Akhir, Yang Batin dan Yang Zahir.
AKU yang paling dalam itu bersifat kerohanian. Jika AKU itu dibersihkan pandangannya melalui zikrullah dan latihan kerohanian orang-orang Sufi, maka AKU itu akan mencapai satu tahap pandangan dimana ia rasa wujud ini adalah Esa juga.
Menurut pandangan ini, wujud itu ada bertingkat-tingkat, bertahap-tahap, dan pelbagai aspek, namun ia tetap satu. Segala yang ada kelihatan, baik yang zahir mahupun yang batin, semuanya satu wujud sahaja, pada hakikatnya. Inilah pandangan AKU yang paling dalam.
Sekali lagi diulangi bahawa AKU anda itu adalah ROH anda dan itulah juga diri anda sebenarnya.
AKU itu juga adalah ayatollah (tanda-tanda Allah) kerana seluruh alam raya, yang ghaib dan yang nyata, adalah tanda-tanda wujudnya Allah SWT.
AKU itu juga digelar ROHULLAH (ROH ALLAH) kerana ROH itu adalah hembusan dari ROH ALLAH atau limpahan dari ROH ALLAH.
AKU itu juga digelar Nurullah ( cahaya ALLAH) kerana setiap roh itu adalah cahaya. Digelar cahaya kerana setiap yang menampakkan sesuatu digelar cahaya . Nabi-Nabi itu cahaya Allah kerana melalui Nabi-Nabi itu kita dapat mengenal Allah melalui ajaran dan didikan mereka. ROH itu cahaya kerana melalui ROH itu kita kenal dan ‘nampak’ Allah.
AKU itu juga digelar Ma’lum dalam ilmuNya. Ma’lum ertinya ‘yang diketahui’. Allah itu ‘alim ( yang mengetahui). Setiap yang mengetahui tentu berpengetahuan (berilmu). Allah itu berilmu, sebab itulah ia ‘alim. Setiap yang ‘alim tentu ada ilmu dan ada perkara yang diketahuinya. Perkara yang diketahui itu digelar Ma’lum (yang diketahui). Allah itu ada ilmu dan dalam ilmuNya ada Ma’lum. ROH kita ini termasuk dalam ilmu Allah. Maka ROH kita itu Ma’lum Allah. Maka itulah dikatakan ROH itu Ma’lum dalam ilmu Allah.
AKU atau ROH itulah yang dapat mengenal Allah SWT bukan badan kasar ini yang mengenalNya. Melalui ROH itu kita mengenal Allah. Wadah atau bekas tempat Allah mentajallikan (menzahirkan) dirinya kepada kita ialah ROH kita. ROH itu digelar juga hati. Bukan hati fizikal itu tetapi hati yang bersifat kerohanian. ROH itu memiliki kesadaran (consciousness). Kesedaran tentang wuudnya Allah dan sifat-sifatNya yang terzahir dalam alam semesta raya ini. Yang melihat penzahiran atau tajalli itu ialah ROH kita.
AKU ini memang hampir dengan Allah. AKU dan Allah tidak bercerai-berai dari dulu, sekarang dan selamanya. Ibarat ombak tidak bercerai dengan laut. Dari sudut manapun Wujud Semesta Raya itu tetap mengelilingi AKU. Ia meliputi AKU dari kiri, kanan, atas, bawah, depan, belakang, luar, dalam bahkan dari mana sahaja. “ Hampir” dan “Mengelilingi” itu bukanlah dari segi ruang dan waktu yang boleh diukur dengan panjang, lebar, dalam, atau dari segi masa dan waktu. Hampir dan mengelilingi itu adalah dari segi pandangan rohaniah atau kerohanian. Hanya orang yang berada dalam pengalaman rohaniah sahaja yang faham akan maksudnya.
Wujud semesta itu “meliputi”, “merangkumi”, “berpadu”, dan “bersatu” dengan AKU. AKU terserap dalam Wujud Semesta ini.
Dari segi aku atau ROH atau diri, wujud AKU “bersatu” dan “berpadu” dengan Wujud Yang Esa dan Semesta itu. Kelihatan pada AKU bahawa Allah itu batin dan AKU itu zahirnya. Allah itu hakikat dan AKU itu bayanganNya. Dia asal dan AKU terbitanNya. Dia elektrik dan AKU lampu. Dia dalang dan AKU boneka. Gerak AKU digerakkan olehNya.
Ini adalah pandangan kerohanian yang paling dalam.
Memang AKU itu ada(wujud). Wujudnya dengan limpahan Wujud Yang Maha Agung (iaitu Allah). Hidup AKU limpahan hidupNya. AKU berdaya limpahan dayaNya. Berkuasanya dan berupayanya AKU adalah limpahan kuasa dan upayaNya. Aku berkehendak dan Diapun berkehendak. Kehendak AKU tertakluk kepada kehendakNya.
“Limpahan” disini bererti kurniaan atau terbitan atau penzahiran atau keluaran ataupun kesan.
Yang Maha Wujud itu Allah. AKU dan alam semesta raya adalah limpahan nama-nama dan sifat-sifat Yang Maha Wujud itu. Setiap nama dan sifat Allah terzahir pada AKU dan alam semesta raya ini.
AKU ini ada sifatnya iaitu hayat atau hidup, ilmu atau pengetahuan, pendengaran, penglihatan, kudrat atau kuasa, iradat atau berkehendak, dan berkata-kata. Semua sifat-sifat ini adalah limpahan dari sifat-sifat Allah belaka.
AKU yang hakiki itu tiada bercerai dan tiada terpisah dengan sifat-sifat Allah dan Allah itu sendiri. Wujud AKU itu sebenarnya diserapi oleh Wujud Semesta Raya itu. Iilah pandangan AKU yang bersifat rohaniah.
AKU yang bersifat rohaniah semata-mata itu terasa cukup baginya Allah sahaja. Allah itulah segala-galanya bagi AKU. Kepada Allah itulah AKU itu mengadu dan berharap. Pandangannya tertumpu pada Allah. Tenggelamlah AKU itu dalam lautan Ketuhanan Allah Yang Maha Luas dan Dalam.
Dalam keadaan perasaan menyerap dalam Lautan Ketuhanan Yang Maha Luas dan Dalam itu, AKU tidak berasa takut, tidak berasa dengki, tidak berasa kecil hati sesama makhluk.
Pada pandangan AKU itu, makhluk itu hakikatnya tiada apa-apa. Wujud makhluk bukan hakiki, hanya bayangan sahaja iaitu bayangan wujudnya Allah. Hanya Allah jua yang wujud. Demikian pandangan AKU.
Sungguhpun AKU itu berpandangan seperti yang tersebut dalam enjelasan-penjelasan yang terdahulu itu, namun AKU tidak akan menjadi DIA (iaitu Allah). AKU tetap AKU, DIA tetap DIA. Tetapi AKU dan DIa “bersatu” dan “berpadu” seolah-olah menjadi SATU. Ibarat bersatunya ombak dengan lautan, bersaatunya air dengan ais.
Pandangan ini bukan pandangan dari segi fizikal, akal dan berangan-angan, tetapi adalah pandangan ROH iaitu ROH yang dibersihkan dengan Zikrullah dan latihan jiwa dalam jangka waktu yang lama, dengan bimbingan guru sufi yang pakar dalam bidang Kerohanian dan Ketuhan
Setelah mencapai tahap pandangan ROH yang tinggi itu, maka kemana sahaja ROH itu menghadap di sana terzahir wajah Allah seolah-olah Ia berada dimana-mana jua.
Berkatalah mereka yang mengalami pandangan demikian:
Maha hampir tidak terkira
Bersatu bersama sehati sejiwa
Maha jauh namun hampir jua
Gerakku gerak Dia
Diamku diam Dia
Tindak-tandukku tindak-tanduk Dia
Hidupku pancaran hidupNya
Diriku bayangan diriNya
Sifatku gambaran sifatNya
Semua kata-kata mereka itu hanya perumpamaan untuk menjelaskan perasaan dan pandangan ROH mereka.
Kalau Dia matahari akulah cahayaNya
Kalau Dia lautan akulah ombakNya
Kalau Dia masin akulah garamNya
Kalau dia manis akulah gulaNya
Aku seorang berdua denganNya
Tapi aku berpadu denganNya
Maha dekat disamping maha jauhNya
Oh! Alangkah hebat wujudNya
Wujudku tenggelam dalam wujudNya
Fana dan Baqa dalam adaNya.
Demikian pandangan orang-orang Kesufian yang telah mencapai peringkat serasa seolah-olah berserta dengan Wujud Yang Maha Esa itu. Mereka mencapai tahap demikian kerana mereka menumpukan seluruh pandangannya terhadap Yang Maha Wujud itu dan penuh cinta denganNya.
Orang yang tidak pernah menjalani latihan rohaniah dan tidak tahu hal-hal kerohanian yang mendalam dan tidak pernah menempuh jalan kerohanian, mereka jangan cuba-cuba mentafsirkan sendiri pendapat mereka itu takut nanti tersesat pula.
AKU datang dari Allah. AKU adalah ma’lum(yang diketahui) dalam ilmu(pengetahuan) Allah. Kemudian AKU berada di alam ROH. Bila sampai masanya hendak lahir ke dunia ia dihembuskan ke bakal bayi dalam rahim ibu. Cukup masanya dalam rahim ibu itu, ia pun lahir ke dunia bersama adan fizikal yang berbentuk bayi.
AKU akan berada di dalam alam dunia sampai ajalnya sampai. Kemudian ia masuk pula ke alam Barzakh. Setelah berada sekian lama, maka ia akan dipertimbangkan di Hari Pengadilan. AKU akan masuk syurga atau neraka. Mudah-mudahan janganlah masuk neraka hendaknya. Maka AKU kembali ke hadrat Allah SWT. Dari Allah AKU dating kepada Allah AKU kembali. Di sana kekallah hidup bersama dengan Yang Maha Hidup (iaitu Allah) selama-lamanya. Itulah perjalanan AKU. Mengembara dari satu alam ke satu alam.
AKU itu sebenarnya bebas merdeka. Ia hanya bergantung kepada Yang Maha AKU(iaitu Allah). Ia tidak memiliki apa-apa. Ia hanya menerima limpahan wujud dari Yang Maha Wujud.
AKU tidak patut dipuji kerana ia “kosong”. Yang Maha Wujud Hakiki hanya Allah. AKU tidak memuji Ghairullah (selain Allah) kerana Ghairullah itupun kosong juga. Yang patut dipuja dan dipuji hanya yang Wujud Hakiki itu sahaja.
AKU hanya satu sinaran dari Matahari Ketuhanan. AKU hanya satu ombak dari lautan Ar-Rahman(iaitu Allah). AKU hanya satu ayat dalam karangan Al-Haq(yang benar) iaitu Allah. AKU hanya sebutir pasir dalam padang pasir Wujud Yang Maha Meliputi dan Maha Luas. AKU hanya satu bayangan dari bayangan Dia Yang Maha Ada. Itulah AKU yang tidak terpisah dengan Tuhanku.
AKU miskin papa, lemah, tidak berdaya dan tidak punya apa-apa. Yang Kaya Raya, Yang Gagah Perkasa, Yang Kuat dan Berdaya dan memiliki segala-galanya iailah Yang Maha Kaya dan Maha Kuat itu juga. Itulah Allah SWT.
Hidup AKU kembali ke hidupNya. Gerak AKU kembali kepada gerakNya. Diam AKU kembali ke diamNya. Sifat AKU kembali ke sifatNya. Nama AKU kembali ke namaNya. Amalan AKU kembali ke amalanNya. Wujud AKU kembali ke wujudNya.
Memang benar, AKU itu akan kembali kepadaNya, laksana cahaya kembali ke matahari, seperti ombak kembali ke laut. Tempat kembali itulah tempat AKU sebena
Sebagaimana tersebut dahulu, AKU itu adalah ROH. Itulah diri. ROH ini tidak tertakluk kepada ruang dan waktu. Ia bukan tua dan bukan muda. Tua dan muda itu hanya bagi jasmani dan keadaan dunia ini sahaja. Semua ROH adalah sebaya sahaja. Nabi Adam AS sebaya dengan Nabi Muhammad SAW. Kita sebaya dengan moyang kita. Begitulah sebagainya. Tiada tua dan muda bagi ROH. ROH tercita serentak sekaligus sahaja.
Kemudian ROH itu dilahirkan ke dunia melalui rahim ibu dengan badan kita sebagai sangkar atau sarungnya. Ia dilahirkan ke dunia menurut masa yang telah ditentukan. Siapa yang ditakdirkan lahir dahulu dialah yang tua dan siapa yang lahir kemudian dialah yang muda.
Dari segi rohaniah atau kebadanan ada tua dan ada yang muda, tetapi dari segi ROH sebaya sahaja.
AKU juga tidak tertakluk kepada tempat. AKU bukan Barat dan bukan juga Timur. Bukan juga dari Utara dan bukan juga dari Selatan. AKU tidak tertakluk kepada arah dan tempat.
AKU juga bukan tertakluk kepada bangsa. AKU atau ROH bukan berbangsa itu dan bukan berbangsa ini. Bangsa-bangsa itu hanya wujud dalam dunia nyata ini. Di alam AKU tidak ada bangsa-bangsa.
AKU adalah ma’lum dalam ilmu Allah, wujud dalam wujud-NYA. AKU adalah penzahiran sifatNya. Demikian AKU tenggelam dalam Yang Maha Aku (iaitu Allah SWT).
AKU tidak terkotorkan oleh kencing dan tahi. Tidak ada najis fizikal yang dapat mengotorkannya. Ibarat cahaya matahari, cahaya itu menyinari najis dan benda-benda kotor, namun cahaya itu tidak akan kotor. Ia menyinari tempat wangi dan tempat busuk, tetapi cahaya tidak akan wangi dan busuk, kotor atau bersih.
Najis pada AKU itu ialah syirik, menyekutukan Allah, mengatakan Allah lebih dari satu. Itulah najis bagi AKU. AKU yang bertauhid adalah ROh yang suci. ROH itu pada hakikatnya sentiasa percaya dengan adanya Allah dan mengesakanNya. Hanya setelah sampai kealam dunia barulah ROH itu tercemar oleh pengaruh keduniaan, pengaruh iblis dan syaitan, pengaruh kebendaan, pengaruh nafsu serakah dan sebagainya.
Kita perlu membersihkan jiwa atau AKU kita kembali sebagaimana aslinya dengan zikrullah (mengingat Allah) dengan lisan, hati dan perbuatan. Zikrullah itu ibarat air mutlak yang membasuh dan menyucikan najis syirik dari AKU itu. Bersihkanlah AKU itu hingga fana’ (terasa diri kosong, tiada apa-apa) dan kemudian mencapai setingkat lagi ke peringkat ‘baqa’ (terasa diri sentiasa bersama Allah). Terasa Allah ada dimana sahaja kita berada.
AKU yang bersih atau diri yang suci adalah diri yang mengesakan Allah hingga tidak terasa adanya diri. Yang ada hanya DIRI YANG BERDIRI SENDIRINYA iaitu Allah SWT
AKU yang hakiki itu tidak tertakluk kepada warna kulit dan bangsa. AKU itu bukan putih, hitam manis, kuning dan sebagainya. Sebagaimana adanya warna pada badan. AKU tidak ada warna dan tidak berbangsa-bangsa seperti bangsa Cina, India, Melayu, Arab dan sebagainya.
Badan kita berasal dari unsur-unsur tanah, air, api, dan udara tetapi ROH kita bukan dari unsur-unsur dunia nyata ini. AKU ghaib dari pandangan mata kasar namun ia tetap wujud.
AKU berasal dari tempat yang paling mulia. AKU berasal dari Yang Maha AKU (iaitu Allah). AKU berasal dari ilmu Allah masuk ke alam jasad ini dan kemudian kembali kepadaNya. Jadilah ROH itu sebagai Nur Allah sahaja. Ia pun kembali ke tempat asalnya iaitu ke hadrat Allah SWT.
AKU ini pada hakikatnya adalah boneka yang dilakonkan oleh Dalang (iaitu Allah). AKU ini dari satu ibarat lagi iailah keris yang dihunus oleh pendekar. AKU tidak berdaya upaya, gerak dan diam AKU adalah digerakkan dan didiamkan oleh Allah. Adanya AKU adalah limpahan dari adanya Allah.
Allah itu hakiki. AKU itu majazi atau relative sahaja. Kalau difaham dan diselidiki secara mendalam, akan terasa bahawa yang ghaib dan yang zahir dan yang awal dan yang akhir adalah Allah sahaja.
Pendeknya pada pandangan orang yang sangat hampir dengan Allah, alam dan dirinya lenyap sama sekali dan tinggallah Allah semata-mata. Ini dipandang oleh ROH yang bersih dan suci dan mentauhidkan diri kepada allah semata-mata.
AKU yang hakiki itu adalah nurullah (cahaya Allah) kerana dengan ROH, Allah kelihatan. Sesuatu yang menampakkan sesuatu yang lain adalah cahaya. Tanpa cahaya gelap gelitalah segala-galanya.
AKU juga ayatollah (tanda-tanda Allah) kerana ROH itu tanda-tandanya adanya Allah.
AKU juga digelar Rohullah kerana ROH itu adalah hembusan dari Roh Allah. Itulah AKU yang hakiki.
AKU dan alam semesta adalah penzahiran atau tajlli Allah. AKU ini adalah alam ke kecil kerana semua perkara yang ada dalam alam besar ini ada salinannya atau penzahirannya dalam alam kecil.
Alam semesta ini juga digelar Insan Kabir(manusia besar) kerana semua yang ada dalam alam kecil ini ada kenyataannya dalam alam besar.
Insan Saghir(manusia kecil) ini adalah diri(ROH) manusia itu dan Insan Kabir itu adalah alam semesta raya yang ghaib dan yang nyata. Alam kecil adalah Insan Saghir iaitu Manusia dan Alam Besar adalah Insan Besar iaitu Alam Semesta Raya.
Dalam alam dunia ini kita katakana si anu itu orang Bandar dan si anu itu orang kampong ataupun si anu itu berada di pejabat atau berada di rumah. Semua itu menunjukkan tempat dalam alam nyata ini. Tetapi bagi ROH itu semua tidak ada. Ia bebas dari tempat atau arah atau masa atau waktu.
ROH itu hidup. Ia tidak tertakluk kepada alam nyata atau alam kebendaan. ROH itu hidup dengan limpahan Yang Maha Hidup. Demikianlah AKU
AKU memang berserta dengan Allah, sejak dari dahulu hingga akan datang atau sejak awal hingga akhir. Tidak pernah bercerai dan berpisah dengan Yang Maha Aku(iaitu Allah). Sejak dari dalam ilmu Allah hingga sampai ke alam akhirat yang tidak ada hujungnya, AKU tetap bersama Allah.
AKU tidak keluar dan tidak masuk dalam lengkongan Allah. AKU itu memang berada dalam lengkongan Allah sahaja. Kalau Allah itu diibaratkan sebagai lautan, maka AKU itu ikannya. Ikan itu sentiasa dalam lautan dan tidak akan hidup tanpa air lautan itu.
‘Masuk’ dan ‘Keluar’, ‘berpisah’ dan ‘bersatu’, tidak termasuk dalam kamus AKU. AKU bukan seperti badan kasar yang tertakluk kepada ruang dan zaman.
AKU menyerahkan dirinya dan nasibnya kepada Yang Maha AKU. Cukuplah Dia mengawal dan memelihara AKU. AKU tidak perlu pada yang lain lagi. Tidak perlu pertolongan dari ghairullah(selain Allah), bahkan tidak ada ghairullah pada pandangannya. Cukup Allah bagi AKU.
AKU bodoh. Dialah yang mencerdikkan AKU. AKU lemah Dialah yang menguatkan AKU. AKU tidak tahu, Dialah yang memberiku tahu. AKU papa kedanan, Dialah yang memperkayakan AKU.
AKU bertanya, memohon, berharap kepadaNya sahaja. Seolah-olah AKU dan DIA berpadu dan bersatu dimana dan bila sahaja. Dan DIA ada dalam kesadaran (consciousness) AKU.
Renunglah ke dalam AKU. Dia berada dalam kesadaran AKU. Maha Halus dan Maha Seni. AKU terdengar bisikanNya. Dalam waktu sunyi sepi, paling baik mendengar bisikan hati nurani. Tanpa huruf, tanpa suara, tetapi AKU faham segala-galanya.
AKU kenal Dia dalam kesadaran batinku kerana AKU berhubung dengan Dia tanpa menyekutukanNya. Inilah satu hasil zikrullah.
AKU wujud dalam lautan Yang Maha Wujud. AKU sentiasa berada dalam lautan itu. Dalam lautan itulah AKU bermastautin. Itulah lautan wujud.
AKU memang ada kesadaran, limpahan Yang Maha Sedar(iaitu Allah SWT). Kesadaran AKU meliputi alam nyata dan alam ghaib, alam dunia dan alam akhirat. AKU sedar semua itu. Semua perkara itu ada ilmuku. Allah ada dalam kesadaran AKU. Begitu juga makhluk ada dalam kesadaran AKU. Segala yang ada dalam kesadaran AKU itulah ilmu AKU. Syurga, neraka, malaikat dan iblis ada dalam kesadaran AKU. Semua yang ada dalam ilmu atau kesadaran AKU itu adalah penzahiran Allah dalam kesadaran dan ilmu AKU.
AKU sentiasa cinta kepada DIA (Allah). Tidak mahu berpisah dan berjauhan dengan DIA. AKU sentiasa ingatkan DIA. Terasa azab jika tidak mengingatiNya. Puja dan puji hanya untuk DIA belaka. Perasaan cinta ini tidak akan ada pada AKU jika tidak dengan anugerahNya juga. Alangkah kerdilnya AKU berada dalam majlis DIA.
Dari pandangan ROH atau AKU yang hakiki, AKU tidak memiliki apa-apa tetapi ia dimiliki oleh Yang Maha Kaya (iaitu Allah).
AKU diperbadankan untuk menjalani hidup di dunia fana ini. AKU juga diberi nafsu. Kalau AKU ditakluki oleh badan dan nafsu, maka binasalah AKU itu, tetapi jika AKU yang menkluki badan dan nafsu, maka selamatlah AKU itu.
AKU membawa kita menuju Allah dan menyedari hakikat dirinya dan Tuhannya. Nafsu serakah membawa kita jauh dari Allah dan lupa akan hakikat diri kita. Lantaran itu hanyutlah ia dalam larutan kelupaan dan kesesatan dan akhirnya ia akan menyesal setelah ia meninggalkan badannya. Setelah ROH berpisah dari badan, maka sedarlah AKU itu kembali akan keadaan dirinya yang sebenar.
Badan kita ini amat kerdil, ibarat sebutir pasir di padang sahara, setitik air di lautan luas, sebiji bintang di cekrawala, melukut di tepi gantang, masuk tidak bertambah dan keluar tidak mengurang. Betapa kecil dan kerdilnya badan kita. Itulah wajah zahir AKU.
sumber : https://jiwa2kegelapan.wordpress.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar