Senin, 09 November 2015

DR. BURHANUDDIN AL-HELMY TOKOH PEJUANG HARAKI BERJIWA SUFI

Dr Burhanuddin Al-Helmy, anak Perak kelahiran Kampong Changkat Tualang, Kota Baru, dilahirkan pada 29 Ogos 1911. Bapanya, Haji Muhammad Noor, seorang petani yang alim dan ahli tasawwuf serta menerima pendidikan daripada beberapa orang guru kenamaan di Makkah termasuk Sheikh Mohammad Khatib Minangkabau. Ibunya bernama Sharifah Zaharah binti Habib Osman. Sejak kecil lagi Dr Burhanuddin mendapat asuhan dan bimbingan daripada ibu bapanya dari segi pendidikan agama. Beliau sudah bersembahyang fardu semenjak usianya tiga tahun, khatam al-Qur'an ketika berumur sepuluh tahun dan mampu menghafal lebih separuh isi kitab suci itu. Orang tuanya telah memberikan pelajaran agama dan didikan kerohanian kepadanya lantaran itulah beliau pernah mengungkapkan keterangan mengenai bapanya; Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan berthoriqat Naqsyabandi dan waraknya. Maka saya pun dari kecil dilatihnya warak dan mesti kuat beribadat mengikut-ikut dia sembahyang berjamaah, membaca al-Qur’an dan berzanji. 
(Burhanuddin, 1971: 36)
Sesungguhnya, pembentukan jiwa Islam semenjak kecil telah memupuk akhlak mulia serta semangat keIslaman yang tinggi ketika beliau dewasa dan sebagai benteng pertahanan yang kental daripa pelbagai serangan spiritual dan fizikal misalnya terpaksa menjalani tahanan ISA semasa berjuang di arena politik tanah air pra-merdeka.
:: PERJUANGAN ::
Dalam perjuangan, Dr Burhanuddin diberi mandat memimpin beberapa pergerakan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM - 1945), Presiden Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS - 1945), Presiden Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM - 1946), Pengerusi Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA - 1947), Penasihat PKMM (1947) dan Presiden Parti Islam se-Malaysia (PAS - 1956). Pada Januari 1965, Dr Burhanuddin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa terbabit menyokong Indonesia dalam konfrontasi Malaysia-Indonesia. Dr Burhanuddin jatuh sakit semasa di dalam tahanan dan penyakitnya tidak baik setelah dibebaskan pada bulan Mac 1966. Pembebasan beliau bersyarat – tidak boleh melibatkan diri dalam politik tetapi pada 22 September 1969 syarat tersebut ditarik balik. Namun pada 25 Oktober 1969 Dr Burhanuddin meninggal dunia kerana keuzuran ketika masih lagi menjadi Yang Dipertua PAS.
:: KEPERIBADIAN SUFI HARAKI ::
Dr. Burhanuddin mengisi masa lapangnya dengan membaca, menulis dan mendengar radio sehingga jauh-jauh malam atau dengan beribadat. Dari segi amalan peribadinya, beliau bersungguh-sungguh mengerjakan kewajipan sebagai seorang Islam, banyak berzikir dan kerap mengalirkan air mata apabila beliau menginsafi kekerdilan manusia dalam hubungan dengan Penciptanya. Beliau gemar mengamalkan sembahyang tahajjud di waktu dinihari dan pengikut setia Thoriqat Naqsyabandi.
(Saliha, 1997:22).
Dr. Burhanuddin seorang ahli sufi walaupun beliau tidak pernah mengatakan bahawa beliau seorang ahli sufi. Hal ini dinyatakan oleh seorang rakan seperjuangan beliau dengan menyebut:
"Sepanjang hayat saya, saya belum pernah lagi berjumpa dengan orang-orang yang berkebolehan seperti Dr Burhanuddin. Ramai yang sufi tetapi tidak pula alim bahasa, ramai pula orang alim bahasa tetapi bukan pula ahli politik, ramai orang ahli politik tetapi bukannya orang sufi, ada juga agaknya orang yang ahli bahasa merangkap ahli politik tetapi bukannya seorang doktor perubatan, dan doktor jiwa atau, mungkin ada memiliki segala-galanya yang dimiliki oleh Dr Burhanuddin umpamanya tetapi tidak serendah hati beliau terhadap semua manusia."
(Majid Saleh, 1991:5-6)
:: KARYA ::
Karyanya merangkumi pelbagai bidang seperti perubatan, politik dan tasawwuf. Antara karya dalam bidang politik dan tasawwuf ialah Perjuangan kita diterbitkan pada tahun 1946, Falsafah Kebangsaan Melayu (1954), Ugama dan Politik (1954), Ideologi Politik Islam (1957), Arab Perjalan Politik Tanah Melayu Sekarang (1963) dan Simposium Tasauf dan Tarikat (1972 cetakan ke-2). Salah satu catatannya dalam Agama dan Politik pada tahun 1954 menyebut: Politik itu berubah-rubah tetapi agama tetap. Agama tidak boleh disesuaikan dengan politik, tetapi politik itulah yang mesti disesuaikan dengan agama. Agama dengan sendirinya berisi berbagai-bagai ragam politik tetapi politik itu bukan agama.
(Kamarudin 1980: 158)
:: ALIRAN KEILMUAN KAUM MUDA & TASAWWUF THORIQAT ::
Dalam buku Simposium Tasauf dan Tarikat, beliau mencoretkan:
Dalam hal ini rasanya eloklah saya ceritakan sedikit hal-hal saya dengan tasawwuf ini. Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan berthoriqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara‘nya. Maka saya dari kecilnya dilatih secara wara‘nya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjamaah, membaca al-Qur'an dan Kitab Maulid karya al-Imam Jaafar al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.
Bila saya lepas belajar ke luar, di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula para guru kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba‘ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, al-Shaukani, ‘Abdul Wahhab al-Wahhabi, as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan akhirnya Tantawi.
Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi tasawwuf thoriqat dan menganggapnya jumud dan kolot. Pada saya, tasawwuf dan thoriqatnya itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur-aduk dengan bid‘ah. Pada saya kitab tasawwuf seperti karangan Imam Ghazali (w.505H/1111M) itu saya pandang seperti madu bercampur racun, kerana saya pandang dari segi bahas fiqh, tafsir dan hadith tidak kuat menurut kaedah rawi dan sebagainya. Ini berlaku di antara 1927 hingga tahun 1940.
Pendeknya, ilmu tasawwuf saya ketepikan. Nafsu saya tidak mahu langsung kepadanya, apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang ‘Malaya jadi Palestin kedua’ masih kedengaran diperkatakan orang.
Maka di India saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal Imam al-Ghazali r.a, al-Badawi, al-Rifa‘i, Syeikh Jalaluddin ar-Rumi q.s, al-Qushairi, Syeikh Ibn ‘Atho’illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula.
Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif (yang lurus) ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada Ulama’-Ulama’ bermazhab Imam Syafi‘i dan Ulama’-Ulama’ tasawwuf, sama ada Ulama’-Ulama’ itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui Ulama-Ulama’ fiqh, Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha sebagaimana yang diperjuangkan oleh Wali Songo (Q.S) di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf ini.
Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik. Bila kita perhalusi intisari alam metafizik dan pengertian alam mithal yang diterangkan ‘Ulama’-Ulama’ tasawwuf dipandang dari bahas ilmiah hari ini nampaklah kita di mana ilmu tasawwuf dan thoriqat-thoriqatnya.
(Sila rujuk risalah 'Simposium Tasauf Dan Tariqat’ oleh Pro Dr Burhanuddin terbitan Maktabah Haji Abdullah bin Mohd Nordin Ar-Rawi Pulau Pinang, cetakan pertama 1966)
Beliau juga pernah dijemput berucap di Persidangan Pembukaan Kongres Ahli-Ahli Thoriqat As-Sufiyyah Seluruh Malaya pada 20 Oktober 1960, di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Begitu juga di Sidang Mesyuarat Agung Persatuan Thoriqat As-Sufiyyah yang pertama pada 3 Jun 1962. Beliau menyeru:
“Janganlah lemah ahli-ahli Thoriqat Sufiyyah meneruskan jihad di tengah-tengah masyarakat kebendaan yang perlu disiram dengan siraman jiwa tauhid dan sufiyyah, dan awas, dan jauhkan diri daripada tasauf yang maghrur, tasawwuf yang dirasuk oleh tipu daya musuh-musuh Islam.”
Beliau turut menyarankan kepada para pencinta tasawuf tarikat dengan ucapannya: “Dalam meneruskan jihad Thiriqat Sufiyyah ini, susunlah lebih kemas lagi perpaduan dan siarkanlah pelajaran-pelajaran tasauf itu mengikut adab dan akhlak ahli-ahli tasauf. Jangan tiru-tiru ahli fiqah. Biarlah ahli fiqah dengan gelanggangnya! Tetapi ahli tasauf jangan tak bergelanggang, mestilah ada bergerak dalam gelanggangnya. Adakan yayasan dan perguruan tasawwuf secara zaman ini, jangan jadi pak turut sahaja. Islam membenci pak turut dan taklik buta. Semua ahli tasawwuf, mestilah betul-betul menjadi at-Tabi’ien al-‘Arifin as-Siddiqin.”
Demikianlah seorang tokoh pejuang Islam yang begitu komited dalam membangunkan bangsa dan negara dengan ruh agama bersendikan pengamalan tasawwuf thoriqat yang muktabar (benar) .
Wallahu 'alam.
Rujukan:
-Simposium Tasauf Tarikat
Oleh Pro Dr. Burhanuddin al-Helmy,
Cetakan pertama - 1996,
-Falsafah Kebangsaan Melayu (1954)
-Burhanuddin al-Helmy, Pejuang Tanah Melayu
-Tasauf Alam Melayu
Artikel ini disediakan bersempena dengan penuhubuhan rasmi Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA),
7 Norumahrumi‬vember 2015,
Masjid Putra, WP Putrajaya.
‪#‎ImanIslamIhsan‬ ‪#‎PERTAMA‬ ‪#‎TasawwufAlamMelayu‬ ‪#‎

Tidak ada komentar:

Posting Komentar