Minggu, 01 November 2015

MAKRIFAT LEBIH TINGGI NILAINYA

Makrifat lebih tinggi nilainya dari ilmu pengetahuan. 

Ilmu pengetahuan adalah pencapaian terhadap persoalan yang terpecah-pecah bidangnya. 

Makrifat pula adalah hasil pencapaian terhadap hakikat-hakikat yang menyeluruh 
yaitu hakikat kepada hakikat-hakikat. 

Tetapi, penyaksian mata hati jauh lebih tinggi dari ilmu dan makrifat karena penyaksian itu adalah hasil dari kemahuan keras dan perjuangan yang gigih disertai dengan upaya hati dan pengalaman. 

Penyaksian (shahadul Haq) adalah setinggi-tinggi keyakinan. 
Penyaksian yang paling tinggi ialah penyaksian hakiki oleh mata hati atau 
penyaksian yang haq. 
Ia merupakan keyakinan yang paling tinggi dan dinamakan haqqul yaqin. 

Pada tahap penyaksian hakiki mata hati, mata hati tidak lagi melihat kepada ketiadaan dirinya atau kewujudan dirinya, tetapi Allah s.w.t dilihat dalam segala sesuatu, 
segala kejadian, dalam diam dan dalam tutur-kata. 
Penyaksian hakiki mata hati melihat-Nya tanpa dinding penutup antara kita dengan-Nya. Tiada lagi antara atau ruang antara kita dengan Dia.
Dia berfirman:

"Dan Ia (Allah) tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada." 
( Ayat 4 : Surah al-Hadiid)

Dia tidak terpisah dari kamu. 
Penyaksian yang hakiki ialah melihat Allah s.w.t dalam segala sesuatu dan pada setiap waktu. 
Pandangannya terhadap makhluk tidak menutup pandangannya terhadap Allah s.w.t. 
Inilah makam keteguhan yang dipenuhi oleh ketenangan serta kedamaian yang sejati dan tidak berubah-ubah, bernaung di bawah payung Yang Maha Agung dan Ketetapan Yang Teguh. 
Pada penyaksian yang hakiki tiada lagi ucapan, tiada bahasa, tiada ibarat, tiada ilmu, tiada makrifat, tiada pendengaran, tiada kesadaran, tiada hijab dan semuanya sudah tiada. 

Tabir hijab telah tersingkap, maka Dia dipandang tanpa ibarat, tanpa huruf, tanpa abjad. Allah s.w.t dipandang dengan mata keyakinan bukan dengan mata zahir atau mata ilmu atau kasyaf. 
Yakin, semata-mata yakin bahawa Dia yang dipandang sekalipun tidak ada sesuatu pengetahuan untuk diceritakan dan tidak ada sesuatu pengenalan untuk dipamerkan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar