Rabu, 18 November 2015

Basirah.

Pengertian Cahaya Basirah.

Cahaya basirah ini, adalah kaedah penyaksian Allah dengan berpandukan kepada akal. 

Dalam bentuk amal ibadah pula, ianya beriktikad bahawa amal ibadah yang dikerjakannya itu, adalah datangnya daripada daya dan usaha dirinya sendiri dan hendak dituju dan dipulangkan semula ibadah itu kepada Allah. 

Melakukan amal ibadah itu, dengan harapan bagi memdapatkan balasan serta ganjaran pahala, balasan syurga serta takutkan neraka. 
Mereka lebih memandang amal itu dalam bentuk banyak atau sakannya ibadah 
(pentingkan kuantiti berbanding kualiti). 
Jika dibuat perbandingan, 
usaha ibadah golongan ini seumpama menggunakan sepenuh tenaga yang datangnya 
dari dirinya sendiri dan hendak dikembalikannya semula kepada Allah Taala.

Seumpama mengusahakan dan menanam padi ditanah sawah sendiri, baja sendiri, benih sendiri dan boleh dikatakan semuanya dikerjakan dengan harta sendiri. 
Setelah tanaman padinya dituai, segalanya akan diserahkan seratus peratus kepada sultan, tanpa ditinggal sedikit pun untuk dirinya. 

Bermaknanya disini bahawa segala ibadah golongan ini, 
dikerjakan dengan hasil dari kerajinan, ketekunan, ketaatan, kerajinan dan 
usaha yang datangnya dari keringat ikhtiar dirinya sendiri. 
Segala ibadahnya pula, akan diserahkan kembali semuanya kepada Allah Taala.

Dengan harapan mendapat pahala dan ganjaran syurga oleh Allah Taala 
atas ibadah yang dikerjakannya. 
Dengan itu berebut rebut dan berlumba lumbalah golongan ini mengerjakan ibadah. 

Memperbanyakkan ibadah sembahyang (solat), puasa, menunaikan haji, zikir dan sedekah dan sebagainya. 
Dengan harapan mendapat balasan dari Allah Taala atas amal ibadahnya. 
Dijaganya cara berpakaian, berserban besar, berjubah putih, kening dicelak, 
kayu sugi tidak pernah lekang didalam poket baju, disingkat dan dilipatnya kaki seluar 
agar kelihatan tergantung, ditanggalnya budaya memakai kasut dan menggantikan 
dengan budaya memakai selipar. 

Pada pandangannya islamik itu adalah pada cara berpakaian.
Golongan ini lebih menjaga zahiriah berbanding hakikat batin. 
Penampilan zahiriah itu telah dianggap sebagai islamik. 
Seolah olah pakaian itulah, Islam baginya. 
Golongan ini selalunya beranggapan bahawa ibadah mereka sahaja yang Islam. 
Ibadah orang lain itu, telah dipandang dan dianggapnya rendah. 

Sekiranya golongan ini melebihi zahiriah bagi tujuan mendatangkan zuk,
 itu adalah tidak benar, ramai dikalangan kita yang telah tersasar jauh dari landasan asal. Golongan ini beriktikad bahawa amal itu, 
datangnya dari dirinya sendiri dan hendak dituju kepada Allah...

Pengertian Ainul Basirah.

Ainul basirah itu, adalah kaedah penyaksian Allah dengan berpandukan kepada ilmu. 
Ia beriktikad bahawa amal ibadah yang dikerjakan itu, datang dari Allah dan dipulangkan semula kepada Allah, dengan tidak mengharapkan apa apa balasan serta ganjaran. 

Mereka adalah terdiri dari mereka mereka yang melihat Allah dengan menggunakan kekuatan ikhtiar ilmu, bukannya melalui kekuatan ikhtiar akal. 

Jika dibuat perbandingan, usaha ibadah golongan ini seumpama didatangkan oleh Allah kepada dirinya. 
Dikerjakan segala amal ibadah itu, bukan datangnya dari daya usaha ikhtiar dirinya. 
Segala daya usaha ibadahnya, hendak dikembalikannya semula kepada Allah Taala. Seumpama mengerjakan sawah padi.
Dengan tidak mengharap kepada apa apa balasan pahala. 
Ibadahnya ikhlas karena Allah Taala. 
Seumpama orang yang mengerjakan dan mengusahakan tanah sawah padi ditanah 
milik orang lain, baja orang, benih orang dan bilamana dituai, hasil tuaiannya diserahkan sepenuhnya kepada sultan, tanpa diambil sedikit pun untuk dirinya. 

Amal ibadahnya tidak berhajat untuk ditunjuk tunjuk kepada orang ramai. 
Pakaian zahirnya tidak bertujuan untuk mendapat pujian atau sanjungan orang. 
Pakaiannya kemas, bersih dan bagi mengambarkan keislamannya, 
bukan secara berlebih lebihan, tidak menunjukkan kayu sugi yang kotor dan berbau busuk itu didalam poket baju. 
Ia masih memilih untuk menggunakan ubat gigi dan berus gigi yang kebanyakan 
orang lain guna.
Gaya golongan tidak memilih jalan mengulung kaki seluar atau mengguna selipar 
untuk berjalan. 
Mereka yang tergolong dalam golongan ini, kelihatan bersih, berbau wangi dan kemas 
yang melambangkan keislaman yang sebenar. 
Cara hidup islamiknya itu, tidak ditunjuk atau dizahirkan dalam bentuk lahiriah 
pandangan mata, tetapi lebih kepada hati yang tulus bersih karena Allah Taala. 

Ibadahnya tidak mengharapkan ganjaran pahala atau balasan syurga. 
Malah dikerjakannya dengan ikhlas dari Allah dan kepada Allah. 
Tidak menunjuk nunjukkan ibadahnya kepada orang. 
Golongan ini beriktikad bahawa amal itu datangnya dari Allah dan kepada Allah...

Pengertian Hakkul Basirah.

Hakkul basirah adalah kaedah penyaksian Allah dengan menggunakan cahaya hakiki, 
iaitu melihat Allah secara hak, tidak berbelah bagi. 
Dalam bentuk amal pula, 
ia beriktikad bahawa segala kerajinan melakukan amal itu sebenar benar dan semata mata datangnya daripada Allah, kepada Allah, beserta dan dengan Allah. 

Datang kekuatan amalnya itu, 
sama sekali bukan atas dasar kekuatan akal atau kekuatan amal. 
Datangnya kekuatan amal ibadah itu, diatas dasar Allah Taala secara mutlak. 
Jika dibuat perbandingan, golongan ini seumpama orang yang mengerja dan 
mengusahakan tanah sawah padi ditanah milik bersama, baja bersama, benih bersama dan dikerjakan bersama.
Bilamana tanamannya dituai, hasilnya tidak diambil dan tidak diberi kepada sesiapa siapa dan tidak juga milik bersama. 
Ibadah golongan ini bukan bertujuan untuk diberi kepada Allah dan 
bukan juga datangnya dari diri. 
Datangnya kekuatan ibadah golongan ini, 
semata mata dari Allah, 
kembali kepada Allah, 
dikerjakan beserta dan beramal bersama dengan Allah. 

Daya dan upaya amal bukan lagi datang dari usaha sendiri, 
melainkan datangnya dari Allah swt itu sendiri. 
Binasa pergantungan kepada amal dalam pergantungan kepada keujudan Allah. 
Daya amal serta daya ganjaran pahala, 
sudah tidak lagi menjadi pilihan dan tidak lagi menjadi buruan.

Mereka tidak lagi melihat kewujudan diri, 
melainkan yang dilihat adalah keujudan Allah meliputi pada diri sendiri. 
Diri sendiri tidak lagi kelihatan olehnya karena terlihat Allah 
pada cahaya kewujudan ibadah itu. 
Terlindung, tertutup, terhijablah usaha diri oleh bayangan wajah kudrat Allah. 

Umpama lemas, tenggelam dan karam usaha diri didalam lautan 
kudrat dan iradat Allah Taala. 

Diri sendiri tidak lagi kelihatan karena ditenggelami air makrifat, 
hilang serta tenggelam diri kasar didalam sungai keEsaan Tuhannya, 
diri yang kasar tidak lagi kelihatan, 
yang nampak dan yang kelihatan hanya Allah. 

Inilah yang dimaksudkan dengan melihat Allah melalui kaedah hakkul basirah. 
Tidak sedikitpun bergantung harap kepada balasan pahala, 
balasan syurga atau dikerjakan ibadah itu karena takutkan neraka. 

Malahan dikerjakan ibadah itu benar benar karena Allah Taala, 
tanpa ada apa apa niat disebaliknya.

Basirah pertama adalah bermaksud melihat Allah dari penghayatan akal,
basirah kedua bermaksud melihat Allah dari penghayatan ilmu pengetahuan dan 
basirah ketiga adalah melihat Allah dari penghayatan hakiki. 

Penghayatan yang sebenar iaitu dari cantuman akal dan ilmu hati. 
Melihat Allah melalui hakkul basirah itu, 
adalah melihat Allah secara mutlak, 
tanpa dinding, hijab atau tanpa perantara. 

Hakkul basirah itu, ertinya sudah tidak lagi nampak yang dipandang, dilihat dan diperhatikan oleh kehendak mata hatinya, melainkan wajah Allah segalanya. 

Sudah terpadam dari cahaya akalnya, sudah terhapus dari hatinya dan 
sudah terputus hubungan kehendak hatinya pada yang lain selain Allah Taala.

Baginya yang ternampak, terpandang, terlihat dan yang terzahir itu, 
tidak lain melainkan hanya Allah Taala yang mutlak. 

SEMUA YANG ZAHIR TELAH HILANG LENYAP KEDALAM LAUTAN BATINNYA, 
YANG BAHARU TELAH BATAL APABILA NAMPAK YANG HAK. 

Hakkul basirah adalah kaedah melihat Allah yang melewati tahap fana (binasa), 
malahan telah sampai melihat Allah sehingga ketahap baqo (berkekalan). 
Perkara melihat itu, 
semestinya tidak mendahului perkara mengenal 
(Setiap yang kita lihat, semestinya didahului dengan mengenal). 
Sebelum perkara melihat Allah, 
semestinya perkara mengenal itu, 
mendahului perkara melihat. 
Natijah dari melihat itulah ertinya mengenal....

Amin Ya Allah...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar