Tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu.
Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar
dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia.
Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya,
Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:-
1-Menahan atau menyekat sumber kekuatan nafsu.
Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan
dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga.
Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa).
Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun.
Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu.
Malah mereka yang belum mampu berkahwin,
Nabi Muhammad S.A.W menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.
Selain menahan perut daripada banyak makan,
ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat.
Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.
Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar.
Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan
dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak.
Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.
2- Membebankan nafsu itu dengan ibadah.
Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat.
Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu.
Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil)
sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.
Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca Al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan Al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar
dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid).
Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan.
Pokok pangkalnya,
bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan.
Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendaknya tidak terbatas,
maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga.
Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.
3- Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskan nafsu.
Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah.
Nafsu itu makhluk Allah,
maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu).
Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai
dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.
Hubungan ini dibentuk melalui doa.
Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah.
Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan.
Malah inilah pesan Rasululllah S.A.W kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:-
“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu.
Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini:
“Ya Allah,
bantulah aku mengingati-Mu,
bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan
bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”
Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W
dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini.
Antara doanya itu ialah:
“Ya Allah, Ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku.
Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan.
Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”
Kesimpulannya:-
Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa.
Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan
secara berperingkat-peringkat.
Sabda Rasulullah S.A.W:
“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan sekalipun sedikit.”
Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit
tetapi istiqamah dan jangan pula sekadar “hangat-hangat tahi ayam”.
Selain itu hendaklah bermujahadah dalam beramal.
Dalam beramal sudah tentu ada halangan-halangannya,
ada ujian-ujiannya dan ada pula cabarannya yang banyak.
Jika tidak kuat mujahadah atau melawan nafsu, maka kita akan mudah terasa jemu.
Bila ada sesuatu yang menghalang dan jika pada masa itu kita tidak kuat mujahadah, langsung kita tinggalkan ibadah itu kerana terasa berat.
Mujahadah memerangi nafsu ini kena buat sungguh-sungguh.
Said Hawa dalam kitabnya Al-Asas fit Tafsir:
Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu
agar ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara.
Apabila nafsu dapat dikalahkan
seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah
dan mengetepikan kehendak peribadi.
Seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar
serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah.
Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat.
Berhubung dengan ini Abdullah ibnu Mubarak berkata,
'Jika cintamu benar,
kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu
sanggup mentaati sesuatu.'
Perjuangan untuk melawan hawa nafsu bukanlah suatu yang mudah.
Imam Al-Ghazali dalam Raudatut Talibin berkata,
'Berhati-hatilah kamu dengan hawa nafsu.
Ia adalah musuh kita yang paling ketat dan
yang paling sukar untuk dikalahkan.'
Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
yang bermaksud:
'Aku (Allah) telah sediakan bagi hambaKu yang soleh itu nikmat
yang tidak pernah dilihat oleh mata,
tidak pernah didengari oleh telinga dan
tidak pernah dirasai oleh hati manusia...
baarakallah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar