Minggu, 15 November 2015

RAHSIA MA'ARIFAT HAQIQAT SHOLAT

Sebahagian daripada ilmu “petunjuk” daripada Allah Ta'ala kepada hambanya yang terpilih. Pegangilah dan hayatilah ianya di dalam setiap amalan. 
Sebagai panduan dan persediaan menghadapi-Nya. Insya-Allah….

Adapun Rahsia Ma’rifat itu adalah rahsia bagi diri, 
tiada siapa pun boleh menghuraikan di atas rahsia diri masing-masing 
melainkan orang-orang ahli Sufi dan Wali sahaja yang boleh menghuraikan.

Seperti kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a. 
sesudah beliau menunaikan solat sunnat hajat, lalu ia berkata :

“Ya Tuhanku! 
Di manakah maqam yang yang lima itu di dalam diri hamba? 
Iaitu yang pertama Subuh, kedua Dzohor, ketiga ‘Asar, keempat Maghrib dan kelima Isya'.”

Maka tatkala itu bergerak-geraklah seluruh anggotanya maka diketahuilah beliau 
tentang kedudukan maqam yang lima itu. 
Maka berzikirlah ia tiada berhenti-henti daripada satu waktu kepada satu waktu.

1. Pada waktu Subuh maka bergerak-geraklah perumahan hatinya maka berkatalah ia,
 “Ya Tuhanku! Telah nyatalah hamba bahawasanya Subuh itu bermaqam di hati hamba.” 
Maka berzikirlah ia tiada berhenti-henti sampailah pada waktu Dzohor.

2. Apabila sampai pada waktu Dzohor, maka berdenyut lagi hatinya. 
Tatkala itu terasalah ia suatu benda yang pahit mengalir di batang lehernya. 
Maka berkatalah ia,
 “Ya Tuhanku! Telah nyatalah aku bahawasanya waktu Dzohor itu bermaqamnya 
pada hempedu ku.”
 Maka berzikirlah ia tiada berhenti-henti sampailah ia pada waktu ‘Asar.

3. Apabila sampai pada waktu ‘Asar maka bergeraklah berhampiran dadanya sebelah kiri. Maka katanya lagi, 
“Ya Allah! Ya Tuhanku! 
Ketahuilah hamba bahawasanya waktu ‘Asar itu bermaqamnya pada paru-paru hamba.” Maka berzikirlah lagi ia sampailah pada waktu Maghrib tiada ia berhenti-henti.

4. Setelah sampai pada waktu Maghrib berdenyut-denyutlah di dalam dadanya. 
Setelah diperhatikan denyutan itu, maka ia berkata lagi, 
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Telah nyatalah hamba bahawasanya waktu Maghrib itu bermaqam pada jantung hamba.”
 Maka berzikirlah ia daripada Maghrib sampailah ia pada waktu Isya’.

5. Setelah sampai pada waktu Isya’, maka berdenyut-denyutlah dadanya di sebelah kanan. Tatkala itu maka nyatalah ia waktu Isya’ itu pada limpanya. 
Maka bersyukurlah ia ke Hadhrat Allah Ta’ala. Katanya, 
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Dengan kerana Mu aku mengetahui akan segala-galanya.” 
Maka berzikirlah ia tiada berhenti-henti sehingga sampai pada waktu Subuh. 

Maka kedengaranlah pada telinganya,
 “Ya Abdul Qadir! 
Di dalam lima waktu itu bahawasanya terhimpun ia di dalam waktu Subuh.”

Maka telah nyata kedudukan maqam lima waktu itu pada diri kita 
oleh itu tiada boleh dinafikan tiap-tiap sesuatu itu. 
Bukannya kehendak ilmu yang luas tiada suatu pun yang boleh mengisbatkan kepada kita. Hanya pada diri kita sahaja yang boleh menandakan suatu itu di alam ini.

Maka berkata seorang ahli Sufi (Syeikh Kiryani r.a.) kepada sahabat-sahabatnya bahawasanya, 
“Hamba dapat mengetahui akan maqam yang lima ini adalah 
wujudnya pada lima haqiqat. Yang dinamai ia pada tiap-tiap waktu ini.”

1. Waktu Subuh menyatakan wujudnya Allah.

2. Waktu Dzohor menyatakan wujudnya Af'al Allah.

3. Waktu ‘Asar menyatakan wujudnya Qauli.

4. Waktu Maghrib menyatakan wujudnya Insani.

5. Waktu Isya’ menyatakan wujudnya Rasuli.

Maka berkata sahabat-sahabatnya kepada Syeikh Kiryani r.a., 
“Ya tuan hamba! 
Bolehkah tuan hamba terangkan lagi bagaimana cerita lagi di atas maqam yang lima itu? 

Kerana tidak sekali-kali hamba memahami dengan kata-kata tuan hamba itu!”

Maka berkatalah Syeikh Kiryani r.a. kepada sahabatnya, 
“Ya sahabat ku! 
Tiliklah keadaan diri mu senyata dahulu 
agar kamu dapat ketahui akan maqam yang lima itu.”

Adapun tatkala asalnya maqam yang lima waktu itu adalah 
diambil daripada cerita baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu. 
Tertulis di dalam kitabnya yang bernama “Darul ulum addeen”.

 Bahawasanya datang seorang hamba Allah mengadap baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu dengan berkata, 
“Ya Khalifah Amirul Mu’minin! 
Kenapakah waktu subuh itu tidak disamakan lima rakaat tiap-tiap waktu? 
Mengapakah waktu Subuh dua rakaat sahaja dan Maghrib tiga rakaat, 
sedangkan waktu lainnya empat rakaat?”

Maka jawab oleh baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu, “
Ya tuan hamba Sa’idah! 
Sebab-sebabnya waktu itu tidak sama akan rakaatnya, 
kerana mengikut kejadian alam ini. 
Tiada ia dijadikan oleh Tuhan dengan serentak. 
Melainkan dengan berperingkat-peringkat.”

Seperti sabda Rasulullah s.a.w. kepada ku, mafhumnya :
“Ya Ali! Ketahuilah oleh mu bahawasanya tatkala asal waktu itu,
 diibaratkan tatkala embun tunggal setitik gugur ke bumi menandakan 
adanya satu waktu dua rakaat yakni Subuh. 

Maka tatkala asal manusia pun daripada satu yakni Adam.
Inilah sebabnya Subuh itu dua rakaat. 
Menyatakan ia rakaat pertama itu kalimah Tauhid, 
yang kedua kalimah Rasul. 

Kalimah Tauhid itu asal daripada ibu sekalian amalan dan 
kalimah Tauhid juga asal daripada bapa, yakni bapa sekalian ilmu Laduni.”

“Inilah sabda Rasulullah s.a.w. kepada ku”! 
Maka bertanya lagi hamba Allah itu kepada baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu, 
“Ya tuan hamba Amirul Mu’minin! 
Apakah terkandungnya di dalam kalimah Tauhid dan kalimah Rasul?” 
Maka jawab baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu,
 “Ya Sa’idah! 
Adapun kalimah Tauhid itu nyata ia adanya Nur Muhammad iaitu 
Dzat Wajibal Wujud Kholiqul’alam.”

“Maka inilah sabda Rasulullah s.a.w. kepada ku!” 
Maka bertanya lagi Sa’idah, 
“Ya Amirul Mu’minin! 
Bagaimana pula dengan waktu-waktu yang lain itu?” 
Maka berkatalah baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu, 
“Ya Sa’idah! 
Adapun waktu-waktu yang lain itu mengikut cerita Rasulullah s.a.w. kepada ku 
adalah seperti berikut ini :

Waktu Dzohor 4 rakaat :
1. Rakaat pertama menandakan wujudnya Dzat Allah.

2. Rakaat kedua menandakan wujudnya Sifat Allah.

3. Rakaat ketiga menandakan wujudnya Asma’ Allah.

4. Rakaat yang keempat menandakan wujudnya Af'al Allah.

Waktu ‘Asar 4 rakaat, menyatakan kepada 4 alam :

1. Rakaat pertama menyatakan kedudukan di Alam Roh.

2. Rakaat kedua menyatakan kedudukan di Alam Mithal.

3. Rakaat ketiga menyatakan kedudukan di Alam Ajsam.

4. Rakaat keempat menyatakan kedudukan di Alam Insan.

Waktu Maghrib 3 rakaat, menyatakan kepada 3 diri :

1. Rakaat pertama menyatakan hal keadaan Diri Azali.

2. Rakaat kedua menyatakan hal keadaan Diri Terperi.

3. Rakaat ketiga menyatakan hal keadaan diri terdiri.

Waktu Isya’ 4 rakaat, menandakan 4 nama bagi diri yang batin :

1. Rakaat pertama menyatakan bersifat Wujud, mengesakan Dzat Allah.

2. Rakaat kedua menyatakan bersifat Ilmu, mengetahui akan Sifat Allah.

3. Rakaat ketiga menyatakan bersifat Nur, menyatakan ia akan Asma’ Allah.

4. Rakaat keempat menyatakan bersifat Syuhud, ma’rifat akan Af'al Allah
.
Maka inilah yang dinamakan Rahsia Ma’rifat. 
Maka bertanya lagi hamba Allah itu
 kepada Baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu, “Ya Amirul Mu’minin! 
Sekiranya jikalau hamba beramal dengan tiada ketahui jalan ini, apa hukumnya?”

Maka jawab Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu,
 “Ya Sa’idah! Siapa yang mengerjakan amalan dengan tiada mengetahui akan amalan itu adalah syirik semata-mata. 
Dan mereka ini dijatuhkan di dalam golongan orang yang fasiq.
 Walau bagaimana ‘alim sekalipun, fasiq jua hukumnya. 
Tiadalah ia berbau akan Syurga idaman.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar